
Permainan tradisional
semakin kurang dikenali oleh generasi muda pada hari ini. Huraikan pendapat
anda tentang cara-cara mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan
remaja.Panajngnya huraian anda hendaklah tidak kurang daripada 180 patah perkataan.
Dunia berputar
pantas menjadikan paksi kehidupan pada hari ini bertunjangkan teknologi. Oleh hal
yang demikian, tidak hairanlah apabila generasi muda pada hari ini sangat akrab
dengan teknologi seperti telefon pintar dalam kehidupan sehari-harian. Hal ini dapat
dilihat dengan jelas apabila masa senggang golongan remaja lebih banyak
dihabiskan bersama-sama telefon pintar untuk bermain permainan video. Situasi ini
secara tidak langsung telah menghakis kewujudan permainan tradisional dalam
kamus hidup anak-anak zaman moden kini. Persoalannya, apakah cara-cara yang
boleh dilakukan bagi mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan remaja?
Marilah kita
capahkan lensa perbincangan dengan meneliti langkah perdana, iaitu pihak
sekolah mengadakan aktiviti bertemakan permainan tradisional di bawah bidang
kokurikulum. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak sekolah mempunyai waktu
yang secukupnya semasa perjumpaan aktiviti kokurikulum untuk membudayakan
permainan tradisional. Sebagai contoh, semasa perjumpaan sukan dan permainan,
aktiviti permainan tradisional boleh diadakan antara rumah sukan. Implikasinya,
golongan remaja akan terdedah akan permainan tradisional. Oleh itu, sudah
terang lagi bersuluh peranan pihak sekolah mendedahkan permainan tradisional
pada peringkat sekolah menjadi salah satu langkah untuk menghidupkan kembali
permainan tradisional dalam kalangan generasi muda.
Selanjutnya, pena
perbincangan dibawa meneliti cara kedua mempopularkan permainan tradisional
dalam kalangan remaja, iaitu melalui tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh
ibu bapa dalam mendidik anak-anak sejak kecil untuk mengenali permainan
tradisional persis pesanan peribahasa melentur buluh biarlah daripada
rebungnya. Ibu bapa boleh membelikan anak-anak permainan tradisional seperti
gasing dan layang-layang dan memperuntukkan masa untuk bermain bersama dengan
anak-anak mereka. Impaknya, di samping anak-anak mengenali permainan
tradisional hubungan kekeluargaan juga dapat dieratkan. Malah, anak-anak juga
tidak akan terlalu taasub dengan telefon pintar yang lebih banyak mudaratnya
jika disalahgunakan. Bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa peranan ibu
bapa memperkenalkan permainan tradisional kepada anak-anak juga menjadi salah
satu inisiatif untuk mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan generasi
muda pada hari ini.
Tak tumbuh tak
melata, tak sungguh orang kata, justeru usaha kerajaan mengadakan kempen
berkenaan permainan tradisional juga diyakini sebagai alternatif padu dalam
mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan remaja. Hal ini dikatakan
demikian kerana pihak kerajaan mempunyai akses dan modal yang secukupnya untuk
mendekati golongan muda di seluruh pelosok negara bagi mengenali permainan
tradisional. Dalam merealisasikan usaha ini, platform media sosial dan media
arus perdana boleh menjadi jambatan yang menghubungkan golongan muda dengan
informasi menarik berkaitan permainan tradisional. Kesannya, golongan muda ini
akan lebih terdedah untuk mengenali permainan tradisional yang menjadi warisan
turun-temurun di Malaysia.
Sebelum tirai
perbincangan dilabuhkan, jelaslah bahawa semua pihak perlu bersinergi bagai aur
degan tebing dalam usaha mempertahankan permainan tradisional di Malaysia agar
terus bertahan dan tidak hilang ditelan zaman. Tugas dan tanggungjawab
mempopularkan permainan tradisional tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada
pihak berkuasa sahaja sebaliknya setiap warganegara di Malaysia perlu memainkan
peranan masing-masing dalam memperkenalkan dan memupuk minat dalam kalangan
generasi muda pada hari ini untuk meneruskan legasi permainan tradisional. Menerusi
usaha ini permainan tradisional seperti batu seremban, galah panjang dan wau
dapat dipelihara dan terus dimainkan meskipun dunia kecerdasan buatan
mendominasi dunia.