Cemerlang. Menurut Kamus Dewan cemerlang
ditakrifkan sebagai bersinar, bercahaya, berkilauan, gilang-gemilang. Takrifan ini
jelas menunjukkan bahawa konsep cemerlang itu sendiri sebagai menonjol. Oleh itu,
apabila menyebut tentang guru cemerlang, maka dapat disimpulkan bahawa guru
cemerlang merupakan guru yang bersinar, berkilauan dan gilang-gemilang mengikut
bidang masing-masing.
Persoalannya, adakah guru yang tidak memohon laluan cemerlang itu kurang cemerlang? Pastinya tidak! Definisi cemerlang dalam kalangan guru itu merujuk kepada kerja buat yang dilakukan oleh guru itu sepanjang berada dalam profesion keguruan. Manakala konteks Guru Cemerlang (GC) pula merupakan laluan khas yang diwujudkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai penghargaan kepada guru-guru yang cemerlang untuk menikmati laluan gred kerjaya yang lebih pantas. Sama ada guru yang cemerlang mahu mengambil peluang memohon GC atau guru yang cemerlang itu mahu menjadi guru biasa yang cemerlang terserah dan terpulang kepada empunya diri guru itu sendiri.
Ramai sebenarnya guru-guru yang cemerlang di Malaysia. Guru-guru ini bekerja dan menabur bakti tanpa mengharapkan balasan yang lebih melainkan gaji bulanan yang diterima. Namun, status Guru Cemerlang itu tidak menarik minat mereka. Kadang-kadang mereka rasakan prosesnya lelah. Prosedurnya payah. Ada yang beranggapan tidak berbaloi untuk berhempas-pulas sedangkan kuota yang ada sedikit sedangkan yang memohon ramai. Itu belum lagi, jumlah yang akan berjaya kerana akan ditentukan oleh perjawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam.
Di satu sudut yang lain pula, ada sesetengah guru yang berasa diri mereka cemerlang mahu mencuba dengan memohon Guru Cemerlang. Dapat atau tidak belakang kira. Lulus atau gagal itu soal kedua. Yang penting pertamanya cuba dahulu. Andai ada rezeki maka adalah; jika tiada rezeki di situ maka pasti ada di laluan yang lain. Itulah fikiran positif dan keyakinan diri yang tertanam dalam kebanyakan guru yang mengisi permohonan guru cemerlang.
Bagaimanakah dengan anda?
Diri saya pula bagaimana? Ya, saya memilih untuk mencuba. Paling kurang sekali dalam profesion ini. Perjalanannya panjang. Persediaannya teliti. Ada ketikanya rasa macam mahu berpatah balik. Ada ketikanya rasa macam menyesal isi. Namun, itulah yang dinamakan perjalanan. Mac 2025 hingga Ogos 2025. Enam bulan tempoh masa dalam 12 karier sebagai seorang guru ini pastinya akan tertanam dalam ingatan sampai bila-bila, hatta sekalipun selepas pencen. Bagaimanakah keputusannya? Saya sendiri tidak tahu. Sementelahan tahun hadapan Julai atau Ogos baru diketahui.
Pada asalnya saya tidak menghebahkan sangat tentang permohonan; pastinya rasa malu seandainya ditakdirkan gagal. Namun, jauh di sudut hati ada perasaan hati yang membisik untuk berkongsi. Ya, akhirnya; saya ada di sini untuk membuka satu label baharu dalam blog ini dengan nama GURU CEMERLANG. Tujuannya untuk berkongsi. Apa-apa yang saya faham, tahu, hadap dan lalui; insya-Allah akan saya coretkan untuk tatapan guru-guru yang singgah di sini. Semoga bermanfaat selagi mana catatan-catatan ini wujud di alam maya... 💓

