Tanggar 20 November 2025 merupakan Tarikh Ujian Mendengar Bahasa Melayu bagi calon SPM 2025. Semua calon SPM akan mengambil Ujian Mendengar Bahasa Melayu secara serentak di seluruh negara bermula jam 9.00 hingga 9.30 pagi. Calon perlu berada di pusat peperiksaan selewat-lewatnya pada jam 8.30 pagi. Pada jam 8.50 pagi, ketua pengawas akan memberikan taklimat.
Dalam artikel kali ini, cikgu akan kongsikan beberapa tip dan panduan sebagai persediaan akhir menjawab Ujian Mendengar Bahasa Melayu SPM.
- Gunakan pen untuk menjawab soalan. Jika salah potong dan tulis jawapan baharu. Penggunaan liquid paper atau correction tape dilarang sama sekali. Penggunaan pensel tidak digalakkan kerana jawapan akan kabur apabila diimbas untuk semakan pemeriksa.
- Jawapan bagi soalan objektif, bulatkan pada A, B, C atau D.
- Bagi soalan subjektif terhad, cukup sekadar tulis jawapan yang diperlukan sahaja; tidak perli salin kepala ayat yang panjang.
- Pastikan ejaan dan imbuhan betul dan tepat.
- Pastikan penggunaan simbol betul. Rujuk soalan dan ikut sebagaimana yang ada dalam soalan. Contohnya RM, gram, meter dan lain-lain.
- Tulis nombor bagi jawapan yang memerlukan anda menulis nombor. Bagi angka yang besar anda boleh menulis angka dan perkataan, contohnya 9 juta.
- Jika ada nama khas, pastikan huruf pertama ditulis dengan huruf besar, atau istilah tertentu seperti Internet yang dieja dengan huruf pertamanya dengan huruf besar.
- Baca soalan dalam setiap petikan dengan teliti pada minit pertama. Lihat kesemua lima atau enam soalan dalam sesebuah petikan yang diberikan. Analisis kata kunci untuk membantu menjawab soalan apabila audio dimainkan. Terutamanya pada soalan betul salah yang sering berada pada soalan terakhir dalam setiap petikan kerana penyataan tersebut merangkumi keseluruhan petikan dan bukannya pada akhir audio semata-mata.
- Semasa audio dimainkan pada kali pertama, terus jawab soalan-soalan yang dapat dijawab. Semasa bacaan audio kedua boleh digunakan untuk menyemak jawapan atau menjawab soalan yang masih belum dapat dijawab.
- Pastikan peralatan menulis cukup dan mempunyai alat tulis tambahan. Elakkan gangguan ketika audio dimainkan seperti terpaksa memanggil pengawas kerana pen kehabisan dakwat.
- Sentiasa berada dalam keadaan tenang. Pergi ke tandas dan lepaskan hajat siap-siap sebelum Ujian Mendengar Bahasa Melayu bermula kerana anda tidak dibenarkan keluar daripada dewan ketika ujian berlangsung selama 30 minit.

