
Ujian Bertutur
Bahasa Melayu (UBBM) akan datang lagi untuk edisi ke-5 bagi tahun 2025. Bermula
3 November 2025 sehingga 6 November 2025 calon SPM 2025 sama ada calon sekolah,
calon tumpang, calon ulangan atau calon persendirian; semuanya akan bertarung
dengan minda dan ketenangan dalam menterjemahkan kemahiran bertutur menggunakan
bahasa Melayu.
Pada tahun 2025
ini, calon akan berada di Bilik Menunggu dan diselia oleh dua orang pengawas. Pengawas
Bilik Menunggu akan bertanggungjawab merekodkan kehadiran calon serta memastikan
calon yang berada di dalam Bilik Menunggu merupakan selari seperti yang
didaftar oleh SU Peperiksaan SPM di sekolah masing-masing. Apabila sampai
giliran, seorang calon akan dipanggil dan skrip Ujian Bertutur individu akan
diberikan kepada calon. Pada ketika ini, calon boleh membaca secara senyap. Baca
petikan dan cuba fahami keseluruhan kandungan.
Selesai 3 minit,
calon akan tinggalkan skrip dan bergerak ke Bilik Pentaksiran. Calon akan
diberikan skrip yang sama seperti tadi di dalam Bilik Pentaksiran yang dihuni
oleh dua orang pentaksir yang akan menilai keseluruhan perjalanan UBBM. Masa 5
minit diperuntukkan kepada calon, untuk membaca petikan dengan kuat dan
menjawab 4 soalan pemahaman.
Soalan 1 dan 2
adalah berdasarkan petikan kefahaman, justeru jawapan ada dalam petikan yang
dibaca. Ketika pentaksir mengajukan soalan, pastikan mata tertumpu pada teks
kefahaman. Perkataan yang ada dalam soalan yang ditanya oleh pentaksir 100%
akan ada bulat-bulat dalam teks yang dibaca. Oleh itu, baca terus ayat yang
mengandungi perkataan dalam soalan yang diajukan oleh pentaksir. Jika tak pasti
jawapan antara dua ayat, maka baca saja kedua-dua ayat itu dengan cepat. Tak perlu
pun ambil kepala ayat daripada soalan pentaksir; jangan buang masa untuk hafal
kepala ayat daripada soalan pentaksir sedangkan pada ketika itu mata anda perlu
menganalisis jawapan dalam teks.
Soalan 3 dan 4
pula merupakan soalan KBAT. Jawapan perlu difikirkan sendiri oleh calon. Soalan
3 dan 4 perlu dihuraikan, sama ada dengan huraian dan contoh, atau salah satu;
tidak boleh jawapan yang terlalu ringkas kerana sukar untuk memperoleh markah
yang cemerlang. Begitu juga dengan kepala ayat, tak perlu buang masa minta
pentaksir ulang soalan semata-mata untuk mengingat kepala ayat dalam soalan
yang panjang. Cukup sekadar ‘Pada pendapat saya, langkah pertama ialah...’ Meskipun,
jawapan untuk soalan 3 dan 4 perlu dihuraikan namun perlulah bijak mengatur
masa. Jangan cakap terlalu lama untuk soalan 3 sehingga tiada masa yang cukup untuk
soalan 4.
Bahagikan masa
dan kawal proses bertutur anda dalam taksiran individu. Maksudnya di sini
adalah anda yang mengawal proses bertutur tersebut. Jika soalan 1 dan 2,
pentaksir boleh tahu jawapan anda dari mana hingga ke mana, kerana sekadar baca
daripada teks; justeru selepas habis ayat yang dibaca pentaksir akan terus
ajukan soalan yang berikutnya. Berbeza dengan soalan 3 dan 4, pentaksir bukan
ahli nujum untuk meramal tempoh anda bertutur. Oleh itu, selepas habis saja isi
dan huraian untuk soalan 3, sekiranya tiada isi tambahan atau idea tersekat,
terus minta pentaksir untuk bacakan soalan ke 4. Jangan buang masa dengan diam
lama dan menunggu untuk tindakan pentaksir. Mungkin pentaksir menunggu dengan
beranggapan anda sedang berfikir, anda pula menunggu pentaksir membaca soalan
seterusnya. Buang MASA!
Begitu juga
selepas selesai soalan ke 4. Kalau cikgu jadi calon, sebelum dihalau keluar sebab
dah habis masa 5 minit, selagi itu cikgu akan duduk di dalam dan tambah isi untuk
soalan-soalan yang perlu. Ini baru 3 minit 80 saat dah keluar sebab dah jawab
semua. Tidakkah rugi? Memang masa wajib anda berada di dalam Bilik Pentaksiran
untuk taksiran individu cuma 3 minit, sebab tu loceng akan berbunyi sekali apabila
cukup 3 minit. Namun, manfaatkan baki masa yang anda. Apabila anda telah jawab
soalan ke-4, dan masih ada masa, tak salahpun jika anda memberitahu pentaksir
untuk ulang mana-mana soalan atau anda nyatakan bahawa anda mahu menambah
jawapan untuk soalan tertentu dan teruskan bertutur.
Akhir sekali,
ingatlah dalam taksiran individu UBBM ini perkara yang paling mustahak ialah
seberapa tepat jawapan bagi keempat-empat soalan yang anda nyatakan. Peribahasa,
bahasa indah, ungkapan atau bunga bahasa itu bonus tambahan. Jika bahasa anda
sehebat pujangga bahasa sekalipun jika isinya tidak relevan dan idea yang
dikemukakan tidak tepat dengan kehendak soalan, maka tiada gunanya juga.
Sebelum
mengakhiri coretan pada kali ini ingatlah kunci kejayaan dalam taksiran
bertutur ini juga ialah ketenangan. Jangan gopoh-gapah. Tenang-tenang saja. Pentaksir
yang datang nak tanya soalan saja pun, bukan nak menghakimi jauh sekali nak
jatuhkan hukuman. Fikir positif, banyakkan doa; insya-Allah semoga
dipermudahkan urusan.