Penglibatan
dalam aktiviti kokurikulum memberikan banyak faedah kepada murid. Huraikan
faedah-faedah tersebut. (SPM 2018)
Aktiviti kokurikulum merupakan suatu
aktiviti di luar bilik darjah yang dilaksanakan di sekolah. Semua murid
diwajibkan terlibat dalam aktiviti kokurikulum. Persis kata peribahasa tak
kenal maka tak cinta, murid perlu mengetahui kebaikan aktiviti kokurikulum
terlebih dahulu, baharulah mereka akan berasa seronok melibatkan diri dalam
aktiviti kokurikulum tersebut. Persoalannya, apakah faedah-faedah melibatkan
diri dalam aktiviti kokurikulum kepada murid?
Salah satu kebaikan menyertai
aktiviti kokurikulum kepada murid ialah dapat mengasah bakat kepimpinan. Hal
ini demikian kerana aktiviti kokurikulum memberi banyak peluang kepada murid
untuk menjawat jawatan penting sebagai pemimpin. Sebagai contoh, murid boleh
mengambil peluang mengasah bakat kepimpinan menerusi jawatan pengerusi dan naib
pengerusi dalam aktiviti unit beruniform serta persatuan. Ringkasnya, mengasah
bakat kepimpinan merupakan salah satu faedah aktiviti kokurikulum kepada murid.
Selain itu, kepentingan menyertai
aktiviti kokurikulum seterusnya kepada murid ialah dapat membina keyakinan diri
untuk berkomunikasi di khalayak ramai. Hal ini penting untuk membentuk
personaliti murid yang unggul. Misalnya, aktiviti berpidato dapat mengasah gaya
komunikasi yang matang dalam diri murid di samping membina keyakinan diri untuk
tampil di khalayak ramai. Tegasnya, membina keyakinan diri merupakan salah satu
kepentingan menyertai aktiviti kokurikulum kepada murid.
Di samping itu, membina ukhwah juga
merupakan kelebihan menyertai aktiviti kokurikulum kepada murid. Hal ini
demikian kerana kebanyakan aktiviti kokurikulum melibatkan aktiviti berkumpulan
yang menuntut kerjasama dan semangat berpasukan. Sebagai contoh permainan bola
sepak memerlukan kerjasama kesemua ahli pasukan untuk merebut kejuaraan sekali
gus tali silaturahim dapat dipererat. Jelaslah, kelebihan menyertai aktiviti
kokurikulum secara tidak langsung dapat mengukuhkan ikatan persahabatan sesama
murid dan guru.
Kesimpulannya, aktiviti kokurikulum
hendaklah disertai oleh semua murid. Murid boleh memilih aktiviti kokurikulum
yang diminati agar berasa seronok melakukan aktiviti yang akan dijalankan. Melalui
penyertaan dalam aktiviti kokurikulum murid dapat menambahkan ilmu pengetahuan
sekali gus mengelakkan diri daripada diibaratkan seperti katak di bawah
tempurung. Oleh yang demikian, murid seharusnya tidak memandang enteng terhadap
kepentingan aktiviti kokurikulum kerana manfaatnya akan kembali kepada diri
murid itu sendiri.
PENERANGAN
- Dalam karangan di atas, semua perenggan mengandungi empat ayat sahaja.
- Perenggan pendahuluan terdiri daripada ayat tema, ayat kumpulan sasaran, ayat bahasa indah dan ayat tugasan.
- Perenggan-perenggan isi pula terdiri daripada ayat isi, ayat huraian, ayat contoh, dan ayat penegasan.
- Manakala, perenggan kesimpulan terdiri daripada ayat pandangan, ayat cadangan, ayat bahasa indah dan ayat harapan.
- Penulisan karangan ini menggunakan Teknik TEKUMBIT untuk pendahuluan, Teknik Aku Makan Coq Pisang untuk perenggan isi dan Teknik Panah Cinta Buah Hati untuk kesimpulan.
- Untuk melihat panduan menulis perenggan pendahuluan menggunakan Teknik TEKUMBIT, anda boleh membuat carian dalam blog ini kerana sudah dikongsikan dalam catatan terdahulu.