Contoh Perenggan Isi Karangan Menggunakan Lebih Daripada Satu Peribahasa (Soalan Karangan SPM 2019)

Cikgu Muzz
By -
0



Penggunaan peribahasa dalam penulisan karangan akan menjadikan karangan menjadi lebih menarik. Tambahan pula, penggunaan peribahasa, cogan kata, ungkapan menarik, dan petikan kata-kata tokoh merupakan antara kriteria yang membolehkan karangan calon SPM dinilai dan diletakkan pada aras cemerlang.

Walau bagaimanapun, calon perlu ingat bahawa pemilihan peribahasa perlulah sesuai dengan konteks dan ayat. Selain itu, cara menulis peribahasa dalam ayat juga perlu lancar dan divariasikan mengikut keadaan.

Berikut dikongsikan penulisan sebuah perenggan isi karangan yang menggunakan lebih daripada satu peribahasa. Contoh perenggan isi ini berdasarkan soalan karangan SPM sebenar, iaitu SPM November 2019.

SOALAN
Sikap segelintir masyarakat yang suka membuang sampah di merata-rata tempat dikatakan masih berlaku di negara kita. Bincangkan langkah-langkah untuk menangani masalah ini. (SPM 2019) – Contoh Perenggan Isi Aras Cemerlang

            Salah satu langkah yang boleh diimplementasikan sebagai usaha untuk menangani masalah sikap segelintir masyarakat yang suka membuang sampah di merata-rata tempat di negara kita ialah menerusi inisiatif kerajaan menganjurkan kempen kesedaran yang berkesan. Kempen kesedaran tentang penjagaan kebersihan kawasan setempat yang efektif dipercayai mampu membentuk sikap dalam diri masyarakat untuk membuang sampah di tempat yang betul. Kempen kesedaran ini hendaklah kreatif dan mampu memikat pelbagai peringkat usia masyarakat. Tamsilnya, kempen yang menggunakan golongan selebriti yang dikenali ramai boleh menjadi daya penarik sekali gus individu popular ini boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk meningkatkan kejayaan kempen kesedaran yang dilancarkan. Bukan itu sahaja, kempen kesedaran juga perlu disalurkan menerusi medium yang sesuai kepada masyarakat. Bagi mengikis tanggapan sesetengah pihak yang sering menganggap kempen kesedaran yang dianjurkan kerajaan sekadar melepaskan batuk di tangga medium penyebaran kempen perlulah selari dengan perkembangan dunia teknologi semasa. Justeru, kaedah kempen menerusi poster, gegantung dan paparan menerusi media cetak semakin kurang relevan sebaliknya penggunaan media elektronik seperti pengiklanan di media sosial harus dijadikan perantara untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk membuang sampah di tempat yang betul. Di samping memberikan panduan dan informasi pengurusan sampah dengan betul, kempen kesedaran ini juga boleh dijadikan serampang dua mata dalam mendidik masyarakat untuk mengamalkan sikap kitar semula barangan terpakai untuk mengurangkan kapasiti bahan terbuang. Hasil daripada kempen kesedaran yang berkesan boleh mendidik masyarakat untuk mengamalkan sikap dan nilai positif dalam menguruskan sampah secara betul seterusnya membudayakannya dalam kehidupan seharian. Ringkasnya, kempen kesedaran boleh menjadi salah satu wadah untuk mendidik masyarakat untuk tidak membuang sampah di merata-rata. Meskipun hasilnya tidak dapat dilihat dalam sekelip mata, namun kesannya pasti akan ada persis didikan pujangga, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.
    1. Batu loncatan – sesuatu yang dijadikan permulaan untuk mencapai hajat yang lebih besar.
    2. Melepaskan batuk di tangga – membuat kerja separuh jalan, ala kadar atau tidak serius.
    3. Serampang dua mata – mendapat dua faedah serentak melalui satu kerja.
    4. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain – suatu kerja yang dilaukan sedikit-sedikit dengan sabar, lama-lama akan membuah kan hasil.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!