Sinopsis Novel Bimasakti Menari

Cikgu Muzz
By -
3

 


Nurul Hafsa memulakan hari pertama bekerja di Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor. Dia menerima kunjungan rombongan murid-murid dari Sekolah Rendah Kichihimahigashi, Hiroshima yang ingin mencerap bintang-bintang di Kuala Selangor. Malangnya, hasrat mereka tidak tercapai akibat langit terlalu cerah pada malam itu. Rombongan tersebut juga tidak dapat melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan. Puncanya, kelip-kelip terkeliru dengan pantulan cahaya dari kawasan sekitar.

Kegagalan tersebut membuatkan Nurul Hafsa ingin menjadikan kawasan Kuala Selangor sebagai Kawasan Simpan Langit Gelap. Tujuannya agar lampu-lampu di Kuala Selangor menggunakan gelombang yang rendah. Dengan ini, pantulan cahaya ke langit akan berkurang. Hasrat Nurul Hafsa itu disokong oleh Muhammad Taufik yang turut sama ingin menjayakan projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor. Hasil pengaruh bapa Muhammad Taufik, iaitu Tan Sri Muhaimin, mereka  berjaya membuat pembentangan projek Kawasan Simpan Langit Gelap kepada Pegawai Daerah, iaitu Dato Haji Mustofa al-Hamidi. Walau bagaimanapun, projek berkenaan mendapat tentangan daripada musuh perniagaan bapa Muhammad Taufik, iaitu Dato’ Johann Arlington-Majid. Permusuhan antara Dato Johann dengan Tan Sri Muhaimin bukan sahaja dalam perniagaan, bahkan juga bermula sejak bekas isteri Tan Sri Muhaimin, iaitu Wickham yang berbangsa Kaukasia memilih Tan Sri Muhaimin sebagai pasangan hidupnya.

Menteri Besar telah mengadakan satu majlis terbuka di dalam Dewan Kuliah 1 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam untuk mendengar pembentangan projek Kawasan Simpan Langit Gelap daripada Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik. Dato Johann Arlington-Majid turut hadir dalam majlis tersebut. Beliau telah mengemukakan pelbagai soalan semata-mata untuk mempengaruhi Menteri Besar agar membatalkan projek Kawasan Simpan Langit Gelap. Namun begitu, semua soalan Dato Johann Arlington-Majid dijawab dengan tuntasnya oleh Nurul Hafsa.

Sempena projek Kawasan Simpan Langit Gelap ingin  diwartakan, satu tender pembekalan lampu full cut off  akan dikeluarkan. Dato’ Johann Arlington-Majid bertambah marah kerana lampu-lampu itu tidak dapat dibekalkan oleh syarikat beliau. Lantaran itu, Dato’ Johann Arlington-Majid merancang perkara yang buruk terhadap Muhammad Taufik dan Nurul Hafsa supaya Menteri Besar membatalkan projek tersebut.

Muhammad Taufik telah diserang ketika balik dari masjid. Muhamad Taufik dijumpai berlumuran darah oleh Budiman dan Nurul Hafsa. Selepas menerima rawatan di hospital, Muhammad Taufik diminta mengikut ibunya pulang ke Otago, New Zealand. Sewaktu bersiap-siap untuk keluar dari hospital, Muhammad Taufik menerima jambangan bunga yang dibungkus dengan kain hitam berhias manik- manik kristal milik Nurul Hafsa. Secebis kertas terjatuh ketika dia meleraikan kain itu. Kertas itu tercatat kata-kata, Jumaat 8:30 pagi, stesen minyak PETRONAS, van putih, seorang diri.  Oleh hal yang demikian, sewaktu dalam perjalanan ke apangan terbang, Muhammad Taufik meminta pemandu Tan Sri Muhaimin berhenti di stesen minyak PETRONAS. Alasannya, dia hendak ke tandas. Muhammad Taufik telah diculik dan dibawa ke sebuah rumah di kebun  kelapa sawit. Di situlah juga Nuruf Hafsa ditempatkan. Dia diculik sewaktu balik dari mencerap kelip-kelip dengan Budiman.

Berita penculikan Muhammad Taufik telah menjadi berita hangat. Pihak polis menjalankan siasatan dan berusaha menjejaki penjenayah. Sementara itu, Nurul Hafsa telah dilepaskan oleh penculik di satu kawasan estet. Nurul Hafsa membuat laporan penculikannya dan Muhammad Taufik di balai polis dengan bantuan pemandu van. Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan, pihak polis berjaya mengesan sebuah rumah di kawasan peladangan di Bestari Jaya. Sepasukan Pasukan Gerak Khas telah dikerahkan untuk memberkas penjenayah sekali gus menyelamatkan Muhammad Taufiq.

Selepas peristiwa tersebut, hubungan Muhammad  Taufik dan Nurul Hafsa semakin rapat. Ibu bapa   Muhammad Taufik pula mengambil keputusan untuk bernikah semula. Sewaktu mengemas dulang-dulang yang digunakan itu, Muhammad Taufik melahirkan hasratnya untuk meminang Nurul Hafsa. Senyuman terukir pada wajah Nurul Hafsa apabila membaca satu mesej teks yang baru diterima menerusi telefon bimbitnya. Mesej tersebut berbunyi, “Kita ialah dua ekor kelip-kelip yang terakhir di dunia”.

Kredit: Sasbadi

Post a Comment

3Comments

  1. assalamualaikum cg, sy nak minta izin copy sinopsis ni boleh? sebagai kerja rumah sahaja, tak ada niat nak letak dlm blog lain.

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!