Cerpen: Cinta Wad Pediatrik

Cikgu Muzz
By -
0

Zulaikha kelam-kabut pagi itu. Sehari selepas hujung minggu, sudah tentu menjadi faktor kemalasan untuk bergerak ke tempat kerja. Tambahan pula, semalam dia pulang lewat ke rumah. Keluar beli-belah bersama Farihah dan Maisara sebelum ke pusat karaoke menyumbangkan suara, akhirnya membawa bahana kepadanya pagi ini. Terlewat bangun. Terlepas Subuh. Tertinggal sarapan. Semuanya ter-!

Jam tangan Omega yang dibelinya di pasar malam Ampang Jajar minggu lepas dijeling sekilas. Sudah pukul 8.15 minit pagi.

Oh My Omega! Dah lewat 15 minit ni. Habislah aku! Baru praktikal dah buat perangai. Tapi bukan sengaja pun, jam bengong tu tak berbunyi. Padahal aku dah kunci pun semalam. Hurmm, bukan jam tu yang bengong, tapi bateri yang sengaja cari fasal. Time orang nak pergi kerja juga dia nak mampus!” Zulaikha kalut di dalam Viva Elite Exclusive Edition hadiah daripada datuknya sempena ulang tahun kelahiran yang ke-23 yang kebetulan sama tarikh dengan pengumuman keputusan peperiksaan semester lepas yang menyaksikannya berjaya mencapai angka 4 flat.

“Ish, lembaplah budak-budak ni! Nak melintas tu cepatlah sikit. Ni tidak, terhegeh-hegeh. Jalan macam itik pulang petang. Tak nampak ke lampu merah dah tukar hijau. Nak kena langgar kot. Nama aja masuk universiti tapi tak ada sensitiviti. Dah la aku lambat ni!” Bebel Zulaikha tatkala ada beberapa orang pelajar perempuan berjalan dengan gaya perempuan Melayu terakhir melintas jalan ke arah pintu utama UiTM cawangan Permatang Pauh yang tersergam di seberang jalan sebelah kanannya.

Panas hati melihat lenggok jalan yang macam kura-kura, Zulaikha pantas membunyikan hon. Berpaling kepala budak-budak itu. Zulaikha sekadar menjeling sebelum memecut pergi. Kalau ikutkan jarak dari UiTM cawangan Permatang Pauh ke KPJ Penang Specialist Hospital yang terletak di Bandar Perda itu tak adalah jauh mana. Cuma kelewatannya pada pagi itu membuatkan dia sedikit gopoh. Tambahan pula dia masih berpraktikal. Dan sehingga kini belum lagi mana-mana doktor yang menyelia tugasannya. Dengar kata doktor yang akan menyelianya sedang berkursus di luar negara dan akan kembali bertugas pada minggu ini. Cuma Zulaikha tidak pasti hari apa doktor itu akan muncul.

“Janganlah doktor tu datang hari  ni. Kalau tidak masak aku dibuatnya! Kalau masuk kerja pun lewat, yang lain-lain tak perlu cakaplah kan? Ni semua si Farihah punya fasal. Paksa orang pergi karaoke. Mentang-mentanglah dia tu fanatik Ziana Zain, habis disapunya lagu-lagu yang high pitch. Bingit telinga Zulaikha mendengar Farihah menyanyi. Maisara pula sekadar menahan tawa. Nak kutuk, kawan sendiri. Nak gelak, tak sampai hati. Sudahnya, Zulaikha dan Maisara sekadar mengikut saja rentak Farihah yang sempat merosakkan tiga lagu Ziana Zain berjudul ‘Berpisah Jua’, ‘Tiada Jodoh Antara Kita’ dan ‘Madah Berhelah’. Ambik engkau! Semua lagu sentap, okay! Almaklumlah, kawan baru break up dengan boyfriend.

Zulaikha memberhentikan Viva berwarna biru miliknya itu di tempat letak kenderaan khusus untuk staf. Pusing-pusing, jumpalah juga satu petak. Dah datang pun lewat, takkan nak jumpa tempat parkir yang baik punya kot. Selesai menarik brek tangan, Zulaikha mengeluarkan cermin kecil yang tersedia dalam beg tangan Lacoste miliknya. Nama saja gempak, Lacoste. Tapi harga dia tak adalah mahal sangat. Versi ciplak kot! Beli online saja. Apa susah, Shopee kan ada? Sekejap 11.11, sekejap 12.12, rabak poket dia dibuatnya.

Wajahnya dibelek. Mana tau, still ada tahi mata yang elok terletak, habis jatuh saham dia dekat hospital. Dahlah sekarang ni dia antara jururawat yang menjadi bualan dekat situ, haruslah dijaga penampilan. Biasalah orang glamor, semua nak pandang!

Puas hati dengan penampilan, Zulaikha keluar dari Viva. Button kunci automatik ditekan. Kemudian, Zulaikha pantas melangkah ke arah bangunan hospital. Sempat lagi dia menilik jam tangannya. 8.28 minit pagi. Hampir setengah jam dia lewat. Mulutnya terkumat-kamit. Bukan menjampi serapah. Cuma baca mana-mana doa yang terlintas di kepala. Kalut dia berjalan, sampai dah tak ingat gaya diva berjalan. Pada masa ini, hanya Wad Pediatrik yang nampak di mata. Lain-lain ditolak ke tepi. Sah-sah, punch card dia akan jadi merah hari ini.

Sedang Zulaikha melangkah, tiba-tiba langkahnya sumbang. Tumit tinggi yang dikenakan, entah macam mana boleh berlaku kejam kepada tuannya sendiri. Itulah nak sangat jaga diva, sampaikan datang kerja pun bertumit tinggi. Zulaikha pasrah kalau hari itu memang ditakdirkan menjadi hari yang malang buat dirinya. Sudahlah datang lewat. Boleh pula jadi macam ni.  Sebolehnya, Zulaikha tak mahu melihat aksi dirinya jauh terlentang di hadapan umum. Dengan macam-macam mata yang memandang. Sah, saham dia jatuh merudum hari ni. Jadi eloklah dipejamkan saja matanya. Tapi mulutnya tetap terkumat-kamit. Bacalah doa apa saja, asalkan terlepas dari bala!

Aksi slow motion adegan jatuhnya terasa lambat benar. Apa fasal tak landing dekat lantai lagi ni? Sempat lagi kepala sengalnya berfikir. Tiba-tiba sel-sel neuronnya seolah-olah baru nak hidup. Kenapa macam ada tangan yang pegang aku? Aku dekat mana ni?

Zulaikha pantas mencelikkan mata. Memang betul. Tak adalah pula dia terlentang di atas lantai dengan gaya yang penuh kewanitaan. Tak ada maknanya Zulaikha nak jatuh terlentang, okay! Tapi, ada benda lain terjadi! Ada seseorang sedang memautnya. Dengan kata lain lebih kurang tengah peluk dialah. Lelaki pula. Muka tak nampak, sebab wajahnya membelakangkan Zulaikha. Zulaikha pun pusing muka ke belakang. Nak tahu juga siapa mamat tu!

Allahuma bariklana fima razaqtana waqhina azabannar!” Sebaris penuh doa makan pantas terluncur keluar daripada bibir Zulaikha. Mana tak terkejut? Pusing saja muka, nampak jelas muka mamat yang sedang memaut tubuhnya itu. Kalau setakat paut tak apa. Ini wajah mereka hanya seinci lagi nak berlaga. Menyesal pula Zulaikha turn back tanpa memberi signal. Sudahnya mulut dia pula yang sanggup khianat dekat tuan. Kalau melatah, Oh My Gucci kan nampak macam diva sikit. Tak pun, kalau keluar istighfar, adalah nampak macam sopan dan sesuai. Ini doa makan! Okay, Zulaikha rasa macam nak buat-buat pengsan!

“Awak okay tak Miss?” Suara mamat dekat hadapannya itu berbunyi.

Zulaikha pula ralit merapikan diri. Kononnya membetulkan baju dan rambut. Padahal nak tutup malu.

Miss, saya tanya ni? Okay ke tidak? Kalau tak okay beritahu.  Boleh saya tolong. Mana tahu karang salah bagi ubat ke, salah inject ke, tak fasal-fasal hospital kena saman. Dahlah jatuh pun melatah doa makan, sekarang orang tanya tak jawab pula. Ni, siap pakai high heels, lagi. Nak datang kerja ke, nak mengorat patient? Macam-macamlah!” Mamat tu tengok Zulaikha atas ke bawah sambil senyum sinis sebelum bergerak pergi dari situ.

Zulaikha rasa macam udang kena panggang. Habis merah muka. Berani betul mamat tu kata dia macam tu. Ingat dia apa? Dia best student kot. Apa kaitan melatah keluar doa makan dengan cuai dalam kerja? Bab kasut tumit tinggi? Itu stail kot!!

“Nak kena mamat ni tau! Kau tunggulah mamat, siap kau nanti. Eh, siapa mamat tu, hah? Mamat ke? Bukan kalau tengok attire dia macam doktor ke?” Melopong sekejap mulut Zulaikha.

“Doktor ke? Kenapa tak pernah nampak sebelum ni? Jangan cakap dia yang akan jadi penyelia aku! Oh My Prada!” Kelam-kabut Zulaikha mengatur langkah ke Wad Pediatrik yang terletak di tingkat satu bangunan hospital itu.

Pintu lif terbuka. Zulaikha meloloskan diri keluar dan menuju ke arah Wad Pediatrik. Ruang staf dihampiri. Beg tangannya dimasukkan ke dalam locker dan  flat shoes yang tersedia di dalam locker diambil bagi menggantikan tumit tinggi yang dikenakan. Memanglah tumit tinggi itu bergaya tetapi tidakkah gila jadi jururawat ke hulu ke hilir dengan tumit tinggi!

“Awal hari ni?” Tegur suatu suara. Yang pasti suara itu milik perempuan. Zulaikha boleh mengagak gerangan siapa suara itu. Nada suara yang lebih kepada sinis itu dibiarkan sepi oleh Zulaikha. Malas nak melayan.

“Amboi, sombongnya! Hei, aku tengah cakap dengan kau ni, tengoklah sini.” Naik satu oktaf suara perempuan itu.

Zulaikha bengang. Sudahlah hari ini serupa tak kena sahaja dalam diari hidupnya. Datang pula perempuan ni nak cari fasal. Menyampah betul bila terpaksa kerja satu tempat dengan perempuan yang meroyan sebelum beranak ni!

“Kau nak apa?” Zulaikha tetap juga memalingkan wajah menghadap Mastura. Staf tetap di hospital itu.

“Nak apa? Aku tak nak apa-apalah daripada kau. Yang kau tu, suka hati saja nak datang kerja ikut suka, ingat hospital ni bapa kau yang punya ke?” Mastura yang memang suka mencari gaduh dengan Zulaikha sudah memulakan sesi perang mulut.

Sejak Zulaikha datang berpraktikal di situ beberapa minggu yang lalu, kedua-dua mereka tak pernah sebulu. Ada saja yang tidak kena pada pandangan mata Mastura tentang Zulaikha. Padahal Zulaikha tidak pernah pula melakukan apa-apa yang tidak sepatutnya. Mula-mula, Zulaikha rasa semacam juga. Tetapi bila ada beberapa jururawat lain menjelaskan bahawa perangai Mastura yang sememangnya begitu lebih-lebih lagi kepada orang yang boleh dianggap sebagai pesaingnya, maka diabaikan sahaja perangai tiga suku Mastura itu. Biasalah perempuan yang kurang keyakinan diri seperti Mastura itu memang mudah rasa terancam, apatah lagi dengan dirinya yang penuh ciri kewanitaan yang anggun lagi diva.  Sempat lagi Zulaikha masuk bakul angkat sendiri!

“Sejak bila pula hospital ni jadi milik bapa engkau, sampaikan aku kena bagi laporan bagai dekat kau?” Zulaikha tidak menjawab persoalan Mastura. Sebaliknya dibalas pula dengan pertanyaan dengan nada suara yang sarkastik. Ini Zulaikha la, bukan sebarang lubang kalau nak jolok. Lagi hebat dari sarang tebuan tau. Silap hari bulan, lari kerja dekat hospital lain!

“Kau jangan nak kurang ajar pula! Tak sedar diri. Baru masuk nak tunjuk kepala. Sudahlah baru praktikal. Tak hormat langsung dekat senior.” Mastura tidak mahu mengalah. Kalau dulu tak ada siapapun yang berani nak lawan cakap dengan dia. Tetapi sejak Zulaikha masuk, selamba saja kata-kata dia dibalas. Berapi pula tu. Tambahan ramai pula staf yang nampak macam memihak kepada Zulaikha. Rasa terancam itu memang bertambah-tambah di dalam hati. Nak pula Zulaikha memang cantik. Tak seperti dia yang kena tempek bedak sekilo untuk tutup lubang jerawat yang bersepah dekat muka.

“Memanglah adat orang muda hormat orang tua. Yang baru respect yang lama. Tetapi kena tengok keadaan jugalah. Kalau nak orang hormatkan engkau, kau sendiri kena hormat orang lain dulu. Jangan asyik hendak saja, tapi memberinya langsung tidak. Rasionallah sikit.” Zulaikha tetap dengan prinsipnya. Mengalah hanya pada yang layak untuk dia kalah. Dengan perempuan tak berapa nak betul macam Mastura ni, kena ajar sedikit. Kalau dia mengalah, makin naik tocanglah Mastura nanti. Boleh jadi haru-biru hidupnya, baki hari praktikal dekat situ bukannya sehari dua, lama lagi.

“Kau tak payah nak berfalsafah sangatlah. Ingat diri tu baik sangatlah. Tudung pun tak pakai. Nak ajar orang pula!” Mastura semakin galak membidas. Sengaja dia menyentuh hal menutup aurat. Biar kelu mulut Zulaikha nak menjawab. Tak sabar dia nak tengok Zulaikha terdiam kematian hujah.

“Kau ingat kalau pakai tudung tu dah kira baiklah. Macam engkau ni, memang pakai tudung. Tapi sayang tak cukup kain. Nasi lemak 50 sen kau tu, kau ada tutup ke? Kalau nasi lemak biasa tu tak apalah juga, ini kes nasi tambah! Boleh pula kau tayang. Sampaikan mamat Bangla cuci tandas tu pun meleleh tengok. Yang tu kira dah cukup sopan? Baik? Pleaselah!” Kalau Mastura mahu lihat dia tewas, minta maaf sajalah. Ini Zulaikha. Pendebat terbaik zaman sekolah dulu.

Bibir Mastura bergetar. Menahan marah yang bukan sedikit. Bukan sahaja hasratnya untuk melihat Zulaikha mati akal di hadapannya tidak menjadi kenyataan. Bahkan dia dibidas dengan begitu teruk. Sampaikan dia pula yang kelu tak ada suara. Ah, Zulaikha melampau! Aset dia yang satu itupun dikritiknya. Perempuan ni memang nak kena.

Amarah yang menggila dengan bisikan syaitan membuatkan akal sering hilang kewarasan. Mastura mengangkat tangan kirinya mahu melempang pipi Zulaikha. Mulut yang petah berkata-kata mengkritiknya sebentar tadi mahu diajar.

Tetapi sayang hasratnya kali ini juga tidak kesampaian. Zulaikha yang menyedari tindakan Mastura pantas mengelak. Bukan sekadar mengelak, malah tangan kiri Mastura juga dicengkam dan dipusingkan. Terjerit Mastura dibuatnya.

“Tolonglah lepaskan aku Ikha. Aku janji aku takkan bagi tau siapa-siapa. Sebelum ni pun kau selalu datang lambat aku yang tolong kau kan. Hari ni saja aku terlupa. Tolonglah maafkan aku. Aku dah tak tahan kena buli setiap hari macam ni.” Mastura menangis teresak-esak. Gaya dah macam heroin sinetron yang kena bantai dengan watak antagonis dah.

Zulaikha bingung. Tangan Mastura dilepaskan. Perempuan ni bukan main tadi. Siap nak lempang dia lagi. Sekarang boleh pula buat drama air mata. Tak fahamlah. Psiko betul.

“Tolonglah, Ikha. Janganlah kau fitnah aku macam kau cakap tadi. Aku nak kerja sini lagi. Kesian dekat mak aku. Dia tak berapa nak sihat. Adik-adik aku pun sekolah lagi. Aku nak kena guna duit untuk semua tu. Tolonglah jangan tuduh aku macam-macam dekat orang atasan Ikha. Aku sanggup buat apa saja yang kau suruh, asalkan benda tu tak salah.” Mastura dah terduduk dekat lantai siap merayu-rayu dengan memegang kaki Zulaikha. Mujur kawasan itu tersorok, kalau tidak percuma saja orang lain dapat tengok wayang free pagi-pagi lagi.

“Kenapa pula dah ni? Mastura?” Suara lelaki yang menegur dari belakang membuatkan Zulaikha berpaling spontan. Tertelan air liur dibuatnya.

“Mastura?” Lelaki itu masih mahukan penjelasan daripada Mastura.

Mastura hanya menggeleng. Dia sudah berdiri tetapi wajahnya masih menunduk memandang hujung kasut yang tersarung di kaki. Lelaki itu memandang sejenak ke paras wajah Zulaikha sebelum mendengus kuat.

“Mastura, awak masuk bilik saya sekarang. Dan awak. Sebelum balik dari kerja hari ini pastikan awak berikan penjelasan kepada saya untuk semua benda yang saya dengar tadi.” Lelaki itu memberikan arahan dan berlalu pergi.

Mastura membuntuti lelaki itu. Seketika dia berhenti daripada melangkah. Berpaling ke belakang. Dan dihantarnya sebuah senyuman yang cukup sinis dengan wajah yang penuh kepuasan kepada Zulaikha.

Zulaikha hanya kaku di tempatnya. Lelaki itu ialah lelaki yang sama di koridor semasa dia masuk kerja pagi tadi. Doktor rupanya. Sempat dia mengintai nama lelaki itu di nama tag yang dipakai. Hisham.

“Pandai betul Mastura ni berlakon. Ni dah masuk dalam bilik doktor, entah apalah yang direka cipta. Boleh bagi anugerah penulis skrip terbaik sekali dengan pelakon terbaik. Ah, lantaklah. Penyelia aku Dr. Danial bukannya Dr. Hisham. Itu yang Kak Habsah, Ketua Jururawat di Wad Pediatrik beritahu. So, kalau Mastura ni nak cerita apapun, ikut suka dialah. Ada aku kisah? Lagipun kebenaran pasti akan menang walaupun pada awalnya nampak macam nak kalah aja kan? Ala, biasa macam tu kan dalam filem, tambah kalau filem Hindustan!

Zulaikha memulakan rutin pada hari itu. Insiden bersama Mastura disimpan rapi. Tak perlu nak cerita kepada siapa-siapa. Tak payah nak buat dosa kering dengan menjaja cerita. Wad Pediatrik dikunjungi. Rona wajah dimaniskan. Senyuman indah terletak elok di hujung bibir. Nampak cantik lekuk yang terhasil pada pipi sebelah kirinya. Sudahlah kulitnya putih mulus. Hanya dilekapi dengan mekap yang nipis. Bibir dioleskan dengan pelembab. Bulu mata dengan maskara. Memang manis wajah seorang jururawat bernama Intan Zulaikha.

Bagi Zulaikha sendiri, dia berhias bukan mempunyai niat lain yang tersorok. Tidak langsung terlintas untuk menunjuk-nunjuk kecantikan diri atau berasa bangga dengan apa yang dimiliki. Dia bukan perasan. Tetapi memang ramai yang memuji kecantikan dirinya. Dan keanggunannya akan lebih terserlah jika bersolek dengan gaya yang diva. Dia hanya tampil ringkas ke hospital. Namun, penampilan tetap dijaga kerana pelanggannya terdiri daripada golongan kanak-kanak.

Wad Pediatrik memang khusus untuk kanak-kanak. Daripada bayi hingga yang tangkas berlari semuanya ada. Mereka datang daripada pelbagai golongan. Berbeza kaum dan agama. Setiap daripada kanak-kanak itu ada masalah tersendiri yang membuatkan mereka terpaksa bermalam di wad. Bagi Zulaikha kanak-kanak itu begitu istimewa. Suatu peringkat umur yang tidak tercela dengan dosa. Suatu perantara masa yang menyaksikan minda tidak sesak dengan pelbagai persoalan yang tidak pernah berkesudahan.  Itulah zaman kanak-kanak. Makan, minum, bermain, kemudian tidur. Tidak pernah sekalipun memikirkan masa hadapan. Ah, alangkah indahnya andai zaman itu diulang kembali!

Jiwanya yang hampir dengan kanak-kanak membuatkan Zulaikha memilih cabang kerjaya ini. Peribadinya yang suka menolong sedari kecil menyedarkannya akan profesion kejururawatan. Sukanya pada anak-anak kecil mendorongnya memilih pediatrik sebagai pengkhususan semasa alam pendidikan. Melihat ketawa kanak-kanak yang polos itu, memberikan satu nafas kekuatan kepada Zulaikha. Kanak-kanak itu bernafas atas ruang udara yang sejahtera seolah-olah mereka tidak mengalami apa-apa kesakitan sedangkan hakikat yang terbentang jelas menunjukkan setiap seorang daripada mereka mempunyai masalah kesihatan yang membuatkan mereka diam di dalam wad ini.

Zulaikha menghampiri sebuah katil di dalam Wad Pediatrik. Melihat sekujur tubuh yang lena, membuatkan Zulaikha berhati-hati menghenyakkan punggung di atas tilam. Luqman. Kanak-kanak yang berumur dua tahun tujuh bulan. Melihat dari luar Luqman memang nampak biasa seperti kanan-kanak lain. Tetapi memang benar kata pujangga, kiambang memang cantik pada pandangan permukaan dengan bunganya yang kuntum mengembang, tetapi di dasarnya akar tidak sama sekali menjejak ke dasaran.

Luqman seorang kanak-kanak yang istimewa. Walaupun dia hampir mencecah usia tiga tahun tetapi memang tidak fasih berkata-kata. Maklum ibunya, Luqman memang sedikit lambat untuk menangkap apa-apa sahaja yang diajarkan. Malah minumnya juga masih dengan botol susu. Luqman sering menghidap demam panas. Demam panas yang dialaminya itu membuatkan tonsil selalu membengkak. Kata doktor, jika antibiotik yang diberikan tak berkesan, maka Luqman perlu dibedah.

Meskipun sakit. Luqman tetap ceria. Dengan bahasa yang mungkin hanya dia sahaja yang fahami, Luqman riuh bercerita. Pergerakannya lincah. Kalau berjaga pasti tidak mahu diam di tempatnya. Ada sahaja yang mahu dilakukan. Ada sahaja yang mahu disepahkan. Penat jururawat di sini untuk mengawalnya. Bahkan nama Luqman agak popular di Wad Pediatrik ini kerana selalu juga dia keluar masuk.

Sehinggalah, Zulaikha berpraktikal di situ. Bagaikan ada tarikan magnet antara Zulaikha dan Luqman. Jika jururawat lain mengalami kesukaran untuk mengawal Luqman tetapi tidak bagi Zulaikha. Dengan mudah sahaja dia dapat menundukkan kenakalan Luqman. Zulaikha sama sekali tidak mengumpan Luqman dengan coklat atau permainan. Bagi Zulaikha pemberian seperti itu tidak ubah seperti membentuk pemikiran negatif dalam minda kanak-kanak. Apa yang Zulaikha lakukan hanyalah sentuhan. Sentuhan penuh kasih-sayang yang lahir dengan keikhlasan membuatkan ada hubungan hati yang terjalin antaranya dan Luqman. Lalu tidak hairanlah, Luqman boleh mendengar kata Zulaikha dengan mudah.

“Kaicha!” Luqman yang baru tersedar daripada lena menggoyangkan tangan Zulaikha yang duduk di situnya.

Zulaikha yang sedang mengelamun tadi tersenyum nipis. Kelakar pula mendengar Luqman memanggilnya sebegitu. Sepatutnya bunyi yang perlu kedengaran adalah Kak Ikha, tetapi Luqman yang memang ada masalah pertuturan itu memanggilnya dengan versi yang tersendiri. Tak kisahlah. Yang penting dia faham. Sweet apa panggil Kaicha!

“Ya, Man? Kak Ikha ni. Man nak apa?” Zulaikha membelai rambut Luqman yang lebat. Luqmna masih lagi berbaring.

“Kaicha, Man lapar.” Luqman buat muka kesian, sambil mengusap-usap perut.

Zulaikha melihat ke meja di sebelah katil. Ada dulang makanan di situ yang masih banyak berbaki. Mungkin tak terusik.

“Akak dah suruh dia makan tadi. Dia tak nak. Dia kata nak tunggu Kak Ikha dia suapkan. Lepas tu akak tengok dah tertidur. Tak sampai hati pula akak nak gerak dia.” Kak Ramlah yang juga salah seorang jururawat di Wad Pediatrik di situ bersuara sambil melayan seorang lagi kanan-kanak yang merengek selang beberapa katil di dalam wad itu.

Zulaikha rasa bersalah. Memang pagi tadi dia agak terlewat. Kemudian bertikam lidah dengan Mastura membuatkan hampir jam 9.00 pagi baru dia dapat menjengah ke dalam wad. Kalau tidak dalam pukul 8.30 memang Luqman sudah bersarapan pagi. Lalu, pantas Zulaikha mengambil sekeping roti yang tersedia di dalam dulang itu dan disapukan dengan mentega. Kemudian ditaburkan secubit gula sebelum disuakan ke arah mulut Luqman. Bibir kecil itu pantas terbuka. Menggigit dan mengunyah sarapan pagi dengan senyap. Zulaikha yang memandang tersenyum bahagia.

Dalam pada itu ada sesusuk tubuh di hujung sana yang lama memerhatikan telatah Zulaikha melayan Luqman. Lama dia berdiri sambil menyandar tubuh pada dinding bangunan. Renungannya tepat kepada Zulaikha. Entah apa yang bermain dalam ruang mindanya. Seketika kemudian dia kembali keluar dari wad itu.

********************

Sudah dua tiga hari berlalu sejak kejadian yang tidak diinginkan bersama Mastura. Zulaikha sendiri sudah berjumpa dengan Dr. Hisham. Anehnya dia langsung tidak dihujani dengan soalan-soalan yang berkaitan dengan insiden itu. Sangkanya pasti dia akan dimarahi. Maklumlah, Mastura kan pelakon terbaik. Entah apa yang dicakapkan kepada Dr. Hisham, mana dia tahu! Tengok-tengok, Dr. Hisham cuma tanya tentang tugasnya di Wad Pediatrik. Antaranya sama ada dia selesa atau tidak, boleh menyesuaikan diri, dan lain-lain yang berkaitan kerja. Tak lama manapun, adalah dalam sepuluh ke lima belas minit.

Peliknya, sejak kejadian itu juga Zulaikha dah tak nampak wajah Mastura. Kalau tidak tiap-tiap hari perempuan itu nak buat kacau. Terasa aman pula tak nampak wajah Mastura.

“Duduk berangan kat sini? Luqman kat dalam tu dah tercari-cari awak.” Suara yang tiba-tiba membisik pada cuping telinganya dari arah belakang membuatkan bulu tengkuk Zulaikha berdiri. Suara itu. Suara lelaki itu!

Air liur ditelan kesat. Zulaikha berkalih tubuh. Dekat benar lelaki itu berdiri di belakangnya. Sehinggakan rasa panas dari bicara lelaki itu seolah-olah masih melekat pada belakang telinganya.

“Erk, saya nak masuk dah ni, doktor.” Tergagap Zulaikha membalas pertanyaan Doktor Hisham. Kemudian pantas dia mengatur langkah. Tak sanggup berlama-lama di situ. Tiba-tiba dia rasa seram. Oh My Gucci!

“Nasib baik tak keluar doa makan lagi. Kalau tak saya dah makan awak tadi.” Spontan suara Doktor Hisham yang keluar membuatkan langkah Zulaikha terhenti. Bila dia berpaling  melihat lelaki itu,  terkejut beruk dibuatnya.

Doktor Hisham sedang berdiri sambil bersilang kaki dengan kedua-dua tangannya dimasukkan di dalam kocek seluar. Dan tatkala Zulaikha memandangnya, Doktor Hisyam merenung nakal sambil mengenyit mata. Mahunya, jantung Zulaikha tak tergolek keluar. Sudahlah Doktor Hisham tu handsome. Kalau buat aksi macam Bond ni tak ke terkulai dibuatnya Zulaikha nanti. Ah, kegedikan sudah mula melanda. Zulaikha, behawe! Ini hospital!

Zulaikha masuk ke dalam Wad Pediatrik dan menghampiri katil Luqman. Luqman tiada di situ. Baru sahaja kakinya mahu melangkah ke arah katil yang lain, tiba-tiba telinganya menangkap suara Luqman yang memanggilnya lemah. 

Pantas Zulaikha melihat sekeliling. Agak mengejutkan apabila dia melihat Luqman sedang mengerekot di atas lantai. Hampir separuh badannya terperosok di bawah katil. Dengan cepat sepasang tangan Zulaikha mendapatkan Luqman. Ditariknya anak itu ke atas katil lalu dibaringkan. Suara Luqman yang agak lemah merisaukan Zulaikha. Tangan Zulaikha melekap di atas dahi Luqman. Agak panas.  Luqman masih meracau-racau dengan bahasa yang tidak difahami.

Zulaikha mahu bergerak dari situ untuk memanggil jururawat yang lebih pakar, atau kalau perlu terus menghubungi doktor. Tetapi tangan Luqman yang kemas memegang pergelangan tangan kanannya menahan dia di situ. Luqman terus meracau-racau sebelum matanya terkatup.

“Man. Luqman!” Zulaikha menampar lembut pipi kanak-kanak itu. Sayangnya Luqman tidak bereaksi.

“Luqman! Bangun dik. Jangan takutkan akak.” Luqman masih tetap begitu.

Panik mula menguasai diri walaupun Zulaikha tahu dia tidak boleh berperasaan seperti itu. Pantas dia mula berfikir. Tak perlu tunggu lagi. Kakinya bergerak laju. Daripada melangkah kepada berlari. Bilik Doktor Hisham dituju. Pada ketika ini tidak ada nama lain yang terlintas dalam ruang mindanya selain nama doktor lelaki muda itu.

Sampai di pintu bilik Doktor Hisham, Zulaikha terus menerpa. Tidak ada salam mahupun ketukan di muka pintu. Doktor Hisham yang sedang tekun di meja kerja memanggung kepala. Kerutan jelas kelihatan di dahi melihat reaksi Zulaikha yang cemas.

“Doktor tolong saya doktor. Tolong selamatkan Luqman. Dia pengsan. Badan dia panas sangat. Saya takut jadi apa-apa dengan  dia doktor. Cepat doktor!” Zulaikha tidak memberikan ruang kepada Doktor Hisham bersoal-jawab. Ditariknya lengan doktor muda itu ke Wad Pediatrik.

Sesampai di wad yang menempatkan Luqman, sudah ada jururawat lain yang memberikan bantuan kecemasan.

“Bawa dia ke bilik rawatan.” Arah Doktor Hisham sambil berlalu ke bilik rawatan. Jururawat tadi mengangguk seraya membawa Luqman ke bilik rawatan.

Zulaikha terduduk di situ. Tangisannya mula bergema. Biasanya dia kuat. Tetapi entah kenapa dia menjadi lemah pada hari itu. Mungkin kerana sayangnya tumpah kepada Luqman melebihi seorang jururawat kepada pesakitnya.

Ah, polosnya Luqman! Apakah sudah waktunya dia dijemput Tuhan? Fikiran Zulaikha sudah berkecamuk. Bermacam-macam yang mendatangi ruang emosi.

Tak lama. Sekejap sahaja Doktor Hisham berada dalam bilik rawatan. Kemudian kelibatnya datang mencari Zulaikha yang masih sendu di atas katil Luqman.

“Ikha.” Sepatah Doktor Hisham memanggil. Namun, Zulaikha tetap begitu. Kaku tidak bereaksi.

“Hey, Zulaikha.” Doktor Hisham mendaratkan punggung di sisi Zulaikha.

“Doktor jangan cakap apa-apa. Saya tak dapat nak terima kenyataan. Luqman tu masih kecil. Polos. Suci. Dia tak tahu apa-apapun  tentang dunia ni. Hidupnya cuma makan, main dan tidur. Saya bahagia sangat dengar dia panggil saya Kaicha. Bagi orang lain mungkin dia budak lembam. Tapi saya suka dia. Hati dia bersih.” Zulaikha tidak dapat lagi membendung kesedihan. Air mata sudah mula berjuraian. Sangkanya Luqman sudah tentu telah pergi kepada penciptanya.

Doktor Hisham mengeluarkan sapu tangan berwarna merah hati bercorak geometri dari kocek seluarnya. Diberikan kepada Zulaikha. Zulaikha menyambut. Dikesatnya air mata. Dibuang hingus sekali!

“Erk, sorry doktor. Nanti saya basuh, ya?” Zulaikha sedar keterlanjuran. Senang-senang saja guna sapu tangan orang untuk buang hingus bagai.

“Tak apa, awak simpan saja sapu tangan tu. Kalau Ikha nak lebih daripada itupun saya boleh bagi.” Doktor Hisham membalas.

Zulaikha jadi bingung. Dahlah kepala dia tengah biul. Doktor Hisham ni pula nak bergurau pun tak kena tempat. Bukankah dia tengah sedih dengan pemergian Luqman.

“Kaicha! Kaicha! Man dan okay! Kaicha janganlah nangis.” Luqman menerpa ke arah Zulaikha dan bercakap dengan dialek ciptaan sendirinya tetapi masih dapat difahami Zulaikha. Luqman siap menyapu titisan air mata yang masih berbekas pada pipi Zulaikha. Terharu hati Zulaikha melihatnya. Bahkan sesiapapun sahaja yang melihat pasti akan tersentuh dengan adegan itu.

“Itulah, lain kali jangan buat kesimpulan sendiri. Tengok betul-betul. Dengar betul-betul. Dan kemudian fikirlah dengan betul-betul. Budak tu letak ubat di bawah lidah pagi tadi, kemudian di ludahnya keluar. Itu yang demam dia tiba-tiba saja terlebih panas. Ugut sikit tadi, semua dia dah cakap dalam bilik rawatan.” Luqman hanya sengih mendengar penjelasan Doktor Hisham.

Luqman sudah mula sedikit bertenaga walaupun demamnya masih ada. Zulaikha yang malu dengan tindakannya yang meluru, sibuk melayan Luqman. Ditidurkannya Luqman sambil ditepuk perlahan-lahan badan kanak-kanak itu.

Melihat Zulaikha diam, Doktor Hisham bangun dan mahu berlalu pergi. Menapak beberapa langkah, doktor muda itu berhenti semerta. Dia berpaling dan berdeham kecil. Zulaikha memandang kepadanya.

“Nasib awak tak peluk saya masa buat drama air mata tadi kan? Kalau ya pun peluk, saya tak marah. Suka lagi adalah!” Selamba Doktor Hisham menutur dan menapak keluar.

Zulaikha yang mendengar sudah berbahang di pipi. Sekarang ini dia pula terasa seperti mahu pengsan!

********************

Petang itu di pantri, Zulaikha tidak banyak berbunyi. Kalau tidak kecoh juga dia berbual dengan jururawat yang meluangkan masa minum petang di pantri itu sambil minum kopi. Hari itu Kak Habsah turut menyertai mereka. Zulaikha diam membancuh teh o. Diambilnya seuncang teh berjenama Lipton dan dimasukkan ke dalam teko. Air panas yang telah mendidih dituang ke dalam teko. Kak Ramlah pula membakar roti menggunakan pembakar roti.  Kak Habsah sekadar duduk dan memerhati.

“Senyap saja kamu hari ini, Ikha.” Kak Habsah memecahkan kesunyian di dalam pantri itu.

“Tak ada apalah kak. Tak tau nak cakap apa.” Sumbang pula kedengaran suara Zulaikha.

“Selalunya kamu yang bunyi lebih. Nak cerita budak Luqman tu buat inilah, buat itulah. Hari ni tak ada apa-apa nak cerita ke?” Tanya Kak Habsah lagi.

“Ala, Kak Habsah ni tanya macam tak tahu pula. Dah heboh satu wad ni dengan drama pagi tadi kan?” Kak Ramlah pula menyampuk dengan senyuman nipis.

“Ikha, tak ada apa-apa nak dimalukan. Biasalah kalau jururawat macam kita ni beremosi begitu. Cuma jangan terlalu ikutkan dengan emosi. Akak faham. Kamu dah sayang Luqman tu macam adik sendiri, itu yang kamu panik dan beremosi macam tu. Tak ada salah apanya. Kamu jangan rasa malu, ya.” Kak Habsah sebagai orang yang berpengalaman menasihati Zulaikha.

 “Memang saya terlebih emosi pagi tadi kak. Tapi saya tak kisah pun orang nak cakap apa. Cuma saya malu dengan Doktor Hisham. Boleh pula saya tarik doktor ke wad. Mesti Doktor Hisham fikir saya ni bukan-bukan. Lepas tu saya siap boleh menangis depan dia lagi. Malulah saya kak.” Zulaikha mengadu rasa dengan nada suara yang meleret.

“Baguslah tu, biar Doktor Hisham tahu yang kamu betul-betul ikhlas dalam profesion. Sayangkan pesakit sampai beremosi macam tu. Tinggilah markah yang kamu dapat nanti.” Celah Kak Ramlah pula.

Zulaikha rasa pelik. Apa kaitan markah prestasinya dengan Doktor Hisham. Bukankah Doktor Danial yang akan menilainya. Berlapis tiga kerutan di dahi Zulaikha.

“Eh, Kak Ramlah! Bukan Doktor Hisham yang selia Ikha. Kak Habsah kata hari itu Doktor Danial. Ikha pun tak tahu Doktor Danial tu siapa. Sampai sekarang tak nampak batang hidung. Lama benar pergi kursusnya.” Jelas Zulaikha.

Kak Ramlah dan Kak Habsah saling berpandangan. Seketika kemudian terletus ketawa yang kuat. Lagi hairan Zulaikha dibuatnya.

“Ikha, Doktor Hisham dengan Doktor Danial tu orang yang sama. Nama penuh dia Danial Hisham Bin Dato Arif Omar. Tetapi biasanya dia guna nama Hisham saja. Akak saja perkenalkan dia sebagai Danial kepada kamu. Tak sangka pula kamu dah keliru dan tak tahu secara langsung siapa penyelia kamu secara langsung.” Kak Habsah menerang panjang lebar.

Zulaikha terkedu. Habislah dia. Terlanggar di koridor. Drama sebabak dengan Mastura. Terlebih over tarik tangan doktor. Beremosi lebih sampai cengeng. Habislah markah dia.  Habislah nanti datuk tarik balik Cik Viva kalau dia gagal praktikum ini.

“Ehem!” Suara lelaki berdeham di ambang pintu pantri kedengaran. Doktor Hisham tersenyum menawan di situ.

“Ermm, Kak Habsah baru teringat ada sedikit kerja nak buat. Ramlah, jom ikut tolong akak. Ikha minum dengan doktor, ya?” Usai berkata-kata Kak Habsah dan Kak Ramlah meninggalkan pantri. Kak Habsah sempat mengenyit mata kepada Doktor Hisham sebelum keluar dari pantri lagi. Doktor Hisham hanya tertawa kecil.

Keadaan menjadi sedikit kekok apabila hanya tinggal Zulaikha bersama Doktor Hisham di dalam pantri.

“Minum, doktor.” Zulaikha menghulurkan secawan teh kepada Doktor Hisham.

Doktor Hisham menyambut dan melabuhkan duduk pada salah sebuah kerusi di situ. Arahnya bertentangan dengan Zulaikha.  Doktor Hisham mencicip teh itu.

“Hummm, manis! Macam tuannya.” Pendek saja kata-katanya. Tetapi kenapa macam beribu-ribu patah kata pada pendengaran telinga Zulaikha. Oh, apa kena dengan Cik Hati ini? Janganlah buat hal!

“Saya tahu, Ikha masih tak kenal saya sebagai penyelia lagi. Hari ini saya kenalkan diri secara rasmi. Doktor Danial Hisham penyelia Intan Zulaikha sepanjang berpraktikum di Wad Pediatrik dekat sini.” Doktor Hisham hanya santai berbicara.

“Maafkan saya doktor. Saya ingatkan Doktor Danial dan doktor adalah orang yang berlainan.” Zulaikha menjelaskan kekeliruan.

“Tak apa, saya faham. Lagi satu awak tak perlulah nak buat kesimpulan sendiri yang saya akan beri markah awak markah yang rendah fasal Mastura hari tu. Sebenarnya, saya dah laporkan hal Mastura kepada pengurusan dan dia digantung selama dua minggu. Dah banyak aduan tentang dia. Tetapi sayang tak ada bukti. Bila saya nampak dengan mata kepala sendiri baru boleh ambil tindakan. Saya dah lama dekat situ. Cuma bila dia nak lempang awak baru saya munculkan diri.” Terang Doktor Hisham.

Zulaikha hanya diam. Terasa pula bila dikatakan dia suka buat kesimpulan sendiri. Ni mesti fasal pagi tadi.

“Erk, doktor tentang pagi tadi saya minta maaf. Saya tahu, saya over sedikit sampaikan tarik tangan doktor masuk dalam wad. Saya minta maaf, ya. Tak sengaja sebenarnya.” Zulaikha mengambil peluang itu untuk menuntut kemaafan di atas keterlanjuran tindakannya.

“Tak apa. Tak ada apa-apapun. Lagipun berlapik kan? Kalau tak berlapik lagi saya suka. Tapi kena tunggu halallah kan. Itupun kalau awak sudi kahwin dengan sayalah.” Selamba saja Doktor Hisham meluncurkan kata.

Zulaikha telah air liur. Kesat saja terasa. Biar betul Doktor Hisham ni. Dia tengah lamar aku ke ni? Zulaikha cuba mencubit lengannya. Sakit! Maknanya dia tak bermimpi.

 “Awak tak mimpi, Ikha. Saya memang dah lama tunggu seorang gadis yang penuh kasih sayang dalam hatinya. Seorang gadis yang lemah-lembut. Hormatkan orang yang lebih dewasa. Sayangkan kanak-kanak. Pandai mempertahankan diri. Dan semua itu ada pada awak selama saya perhatikan awak senyap-senyap. Saya dah nak masuk 32 tahun pun. Rasa macam tak sesuai nak bermain cinta lama-lama. Sudi tak awak jadi ibu kepada anak-anak saya, dan sayangkan mereka seperti kasihnya awak kepada Luqman?” Doktor Hisham melutut sambil menghulurkan sekeping roti bakar kepada Zulaikha sebagai simbolik lamaran.

Kali ini Zulaikha memang betul-betul rasa macam nak pengsan. Sudahlah dilamar. Dengan sekeping roti pula tu. Hilang sudah kedivaan dia. Paling tidak kalau tak dapat cincin Tiffany dapat Habib pun boleh tahan lagi. Ini roti! Oh My Gardenia!

Doktor Hisham masih melutut. Huluran roti bakar masih tidak bersambut.

“Memang saya harapkan jejaka idaman saya melamar macam ni. Rasa serupa dalam filem pun ada. Tapi saya tak sangka, yang doktor akan lamar saya dengan roti bakar. Semua perempuan harapkan dilamar dengan sebentuk cincin tapi lain pula yang terjadi hari ni. But, I like it!  It’s so sweet!

“Jadi jawapannya...?” Doktor Hisham masih lagi mengharapkan jawapan yang jelas daripada bibir Zulaikha.

Yes!” Sepatah kata yang cukup membuatkan kuntuman senyum bahagia menghiasi bibir Doktor Hisham.

Roti bakar yang dihulur tidak disambut oleh Zulaikha. Sebaliknya disuakan mulutnya yang sedikit terbuka. Doktor Hisham memahami maksud di sebalik perlakuan Zulaikha. Dicubitnya sedikit roti bakar itu kemudian disuapkan ke dalam mulut Zulaikha.

Zulaikha tersenyum lebar. Tak sabar pula nak ceritakan kisah lamaran ni kepada cucu-cicitnya kelak. Aik, Ikha, baru dilamar sampai ke cucu dan cicit dah difikirkannya. Sengal betul! Remang petang itu menjadi saksi apabila cinta antara seorang doktor dan jururawat pelatih termeterai di Wad Pediatrik.


T. A. M. A. T

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!