BAHAN 1: PETIKAN TEKS
Baca petikan di bawah dan teliti bahan grafik yang disertakan di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Semangat kejiranan merupakan unsur penting dalam kehidupan bermasyarakat. Secara ringkas, jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita. Perbezaan agama, bangsa, adat dan budaya tidak seharusnya dijadikan sebagai sempadan untuk memisahkan atau menjadi banteng daripada amalan hidup sesama jiran tetangga. Mungkin alasan kesibukan seharian dalam mengejar karier masing-masing menyebabkan amalan kejiranan semakin dilupakan. Pacuan perkembangan teknologi pada hari ini juga menjadi penyumbang kepada kealpaan masyarakat terhadap amalan hidup berjiran. Aktiviti yang berkaitan dengan kejiranan semakin kurang dijalankan juga menjadi penyebab.
Jiran
tetangga perlu mengamalkan amalan bertegur sapa seperti bertanya khabar atau
bertukar-tukar pandangan supaya hubungan kejiranan semakin kukuh. Sebenarnya
semangat kejiranan mampu mendatangkan impak yang ketara terhadap kesejahteraan
masyarakat. Bagi mengukuhkan semangat ini setiap jiran hendaklah mempunyai matlamat
hidup yang sama yang inginkan perpaduan
agar kehidupan berjiran akan berkekalan.
Amalan ambil peduli terhadap sesuatu keadaan yang dihadapi jiran dapat
membantu memupuk semangat hidup berjiran.
Hal ini demikian kerana banyak masalah kejiranan dapat diselesaikan apabila
masing-masing saling mengambil peduli sesama jiran. Begitu juga dalam hubungan
kejiranan yang melibatkan masyarakat yang berbeza bangsa dan agama, sikap
saling menghormati kepercayaan masing-masing dan mengamalkan amalan mulia
seperti ikhlas dan saling menghormati akan dapat membentuk hubungan kejiranan
yang utuh.
Di samping itu, dalam etika kejiranan, kita hendaklah mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang menggores perasaan jiran. Hak mereka sebagai jiran perlu kita hormati seperti tidak berbuat bising dan tidak menganggu ketenteraman mereka. Hubungan kejiranan memerlukan kita saling bertemu. Oleh itu, kita perlu meluangkan masa untuk berkunjung ke rumah jiran juga dapat mengeratkan semangat hidup berjiran. Hal ini memungkinkan kita lebih mengenali sesama sendiri. Sekurang-kurangnya berkunjunglah ke rumah jiran pada hujung minggu atau sempena hari-hari perayaan tertentu. Selain itu, aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan seperti program Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bukan sahaja menjaga keselamatan sekitar kejiranan, malah mewujudkan hubungan sosial yang positif sesama jiran tetangga. Jika masyarakat hari ini berjaya mengamalkan cara hidup berjiran dengan baiknya, maka hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang hidup aman dan harmoni bawah paying perpaduan akan tercapai kerana jiran sepakat membawa berkat.
(Dipetik
dan diubah suai daripada ‘Muafakat Melahirkan masyarakat Harmoni’ oleh Md. Nizar Parman Dewan Siswa Mac 2016)
BAHAN 2: GRAFIK
>>> Jawapan