BAHAN 1: PETIKAN TEKS
Baca petikan di bawah dan teliti bahan grafik yang disertakan di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Peredaran zaman telah merubah kecenderungan remaja
pada masa ini untuk mengisi waktu terluang. Jika masa dahulu, remaja akan
mencari rakan sebaya untuk menjalankan aktiviti di luar rumah secara
berkumpulan dan berbentuk fizikal. Namun pada hari ini, kebanyakan remaja lebih
berminat untuk berkurung sendirian di bilik dengan memberikan tumpuan terhadap
peranti elektronik masing-masing.
Menurut Dr. Norharlina Bahar, pakar psikiatri
kanak-kanak dan remaja, tanda ketagihan peranti elektronik disifatkan sebagai
kegagalan menjalani rutin seharian. Selain itu, dapat mengganggu emosi seseorang
dan kemurungan apabila tidak mempunyai peranti elektronik di depan mata.
Penggunaan peranti elektronik secara berlebihan menyebabkan mereka ketagih dan
ini akan mengganggu proses penyediaan generasi akan datang yang berwibawa,
berdisiplin dan berkemahiran tinggi. Di samping itu, boleh menjejaskan
penglihatan mereka dan menyebabkan mata menjadi rabun.
Secara umumnya, penggunaan peranti elektronik secara
berlebihan akan menyebabkan pembaziran masa yang kritikal dan masalah kesihatan
seperti obesiti, kekurangan kemahiran bersosial dan berkemungkinan menyebabkan tingkah laku
ganas, tekanan kemurungan dan kecelaruan identiti. Remaja yang ketagihan penggunaan peranti elektronik juga akan mengurangkan
tumpuan mereka terhadap pelajaran atau tugasan yang diberikan.
Dari sudut perkembangan emosi pula, remaja akan terdedah
dengan masalah daya tumpuan yang rendah dan kawalan emosi yang tidak disusun
dengan baik. Dalam aspek pergaulan dan berkomunikasi, remaja yang ketagihan peranti
elektronik akan menjadi lebih pendiam, kurang sabar dan tidak mempunyai teman
rapat dan penguasaan bahasa yang tidak
berkembang. Isu remaja dan masalah ketagihan peranti elektronik ini bukanlah
sesuatu perkara baharu. Ketagihan peranti menjadi semakin kritikal akibat daripada
perkembangan teknologi komunikasi yang semakin bervariasi. Ditambah pula
keadaan ekonomi semasa yang menuntut ibu bapa mencari nafkah demi menyara keluarga,
sehingga anak remaja semakin terabai dan tidak terkawal.
Kesimpulannya, peranti elektronik menjadi satu
keperluan untuk menjalankan rutin harian, namun begitu, remaja seharusnya bijak
memanfaatkan kecanggihan teknologi tersebut, bukannya terjerumus ke lembah
ketagihan.
(Dipetik dan diubah suai daripada
‘Punca dan Kesan Ketagihan Peranti Elektronik’
Dewan Siswa, Bil. 6 2019)
Assalamualaikum cikgu..boleh saya nak copy petikan dan jawaban ?
ReplyDelete