Penulis: Acik Lana
Penerbit: Booku Enterprise
Tahun: September 2020
Bilangan Halaman: 945 muka surat
Kekasih Khayalan menampilkan Arissa sebagai watak utama. Ditampilkan sebatang kara selepas kematian ibu dan ayah kandungnya, Arissa cuma mempunyai seorang ibu dan adik tiri yang tidak sebulu. Harta peninggalan ayah Arissa melontarkannya dalam konspirasi ibu dan adik tirinya. Pertemuan Arissa dengan Luth cukup istimewa. Hanya dia seorang sahaja yang mampu merasakan kehadiran Luth. Siapa sangka Luth hadir untuk mempertemukan Arissa dengan Noah, sedangkan di dalam hati Arissa, sudah ada getaran buat Luth. Mampukah Arissa menerima kehadiran Noah, sedangkan Luth selalu ada antara dirinya meski tanpa diundang? Kekasih Khayalan menyingkap tabir cerita antara ilusi dan kenyataan.
Acik Lana merupakan suatu nama yang cukup dikenali dalam industri penulisan novel genre pop. Mula meledak dengan karya Aku Bukan Mistress di bawah terbitan Kaki Novel, kini Acik Lana selesa dengan label penerbitan miliknya sendiri, iaitu Booku Enterprise. Kekasih Khayalan merupakn novel kelapan hasil tulisan beliau yang diterbitkan di bawah label Booku Enterprise. Acik Lana yang sebelum ini sinonim dengan novel-novel cinta klise tampil dengan sedikit kelainan dalam Kekasih Khayalan sebagai buah tangan terbaharunya.
Pemilihan lokasi Cameron Highland sebagai latar tempat utama dalam Kekasih Khayalan membuatkan pembaca seperti ingin terbang ke sana dalam sekelip mata. Ini membuktikan penulis berjaya mewarnakan latar dengan cukup baik dengan unsur pemerian yang tampak realistik. Elemen kekeluargaan dan kasih sayang tidak dapat dipisahkan daripada novel Melayu kerana di situlah nilai murni dipupuk dalam kalangan pembaca. Arissa ditampilkan sebagai seorang anak yang kurang kasih sayang selepas kematian ibu kandungnya ditambah pula apabila bapanya berkahwin lain. Manakala, Noah dipotretkan sebagai seorang anak yang disisihkan oleh ibu kandungnya sendiri tanpa sedar kerana tidak dapat menerima kehilangan seorang lagi anaknya, iaitu Luth. Secara total, Kekasih Khayalan berbicara tentang misteri kewujudan Luth, dan persoalan-persoalan tentang kenapa Luth masih wujud di dunia yang bukan lagi menjadi miliknya. Pastinya Kekasih Khayalan menjadi sebuah novel yang lain daripada lain dalam senarai koleksi di bawah jenama Acik Lana.
★★★