Sikap Penting Diri Masyarakat Malaysia Musuh Utama Hasrat Perangi Covid-19

Cikgu Muzz
By -
0
 


Gelombang ketiga Covid-19 melanda Malaysia pada suku akhir tahun 2020, sesudah selesai pilihan raya negeri Sabah. Meskipun, sesetengah pemimpin negara enggan mengakui tindakan perebutan kuasa di Sabah dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri tersebut yang memaksa pilihan raya diadakan menjadi punca penyebaran virus Covid-19 ke seluruh pelosok negara dengan lebih mengganas, namun itulah hakikat dan kenyataannya. Masakan tidak, rakyat Sabah dari Semenanjung terbang ke sana untuk mengundi, kemudian pulang kembali ke Semenanjung. Begitu juga majoriti pemimpin parti politik gigh berkampung di Sabah semata-mata pilihan raya kemudian pulang ke Semenanjung membawa ‘hadiah’.
 
Peningkatan kes Covid-19 secara mendadak hampir di semua negeri dengan keadaan di Sabah kronik pada ketika itu memaksa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekali lagi mengambil keputusan untuk menutup semua sekolah, apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan hampir di seluruh Malaysia bermula 9 Noveber 2020. Ini merupakan penutupan sekolah kali kedua pada tahun 2020, selepas kali pertama pada 18 Mac 2020 disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan penutupan sekolah berlarutan hingga akhir Jun. Sekolah dibuka pada 24 Jun untuk murid Tingkatan 5 dan 6 yang bakal menduduki peperiksaa sahaja pada ketika itu. Kalender akademik rasmi sekolah ternyata berubah sama sekali pada tahun 2020, sehingga impaknya berlanjutan pada Januari 2021, apabila sekolah hanya akan dibuka pada 20 Januari 2021, akibat perubahan takwim.
 
Meskipun sedar impak Covid-19 kepada sistem pendidikan tanah air. Walaupun majoriti ibu bapa dan waris serta guru berpandapat pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka jauh lebih positif dan memberikan impak yang berkesan kepada anak-anaak, namun sebahagian besar rakyat masih sambalewa dan amat mementingkan diri sendiri dalam merencakan kehidupan pasca PKPB yang berakhir pada 6 Disember lalu. Pelaksanaan PKPB yang tamat pada 6 Disember rupanya sama sekali tidak menerbitkan keinsafan kepada rakyat Malaysia. Masing-masing galak persis ayam yang dilepaskan dari reban!
 
Melihat situasi semasa, sempadan negeri yang dibuka; kita melihat masyarakat bergerak bebas ke sana sini dengan rancak seolah-olah Covid-19 tidak wujud. Aktiviti balik kampung, melancong, jalan-jalan cari makan, ambil angin, kenduri, hibur dan libur begitu meriah dengan adanya musim cuti sekolah yang masih panjang, tambahan pula cuti umum dan akhir tahun yang biasanya para pekerja akan cuba menghabiskan cuti berbaki yang tidak boleh dibawa ke hadapan. Di Pulau Pinang, misalnya, permulaan bot laju menggantikan feri lama untuk pengguna pejalan kaki dilihat penuh dan sesak, sepertinya bot itu hanya beroperasi sehari, dan jika tidak digunakan pada hari pertama operasi, nyawa akan dicabut serta-merta! Itu belum lagi golongan selebriti, artis, influencer yang hampir setiap hari mengemas kini media sosial mereka sama ada aktiviti bersama ahli keluarga atau rakan-rakan yang menyajikan pandangan percutian, jalan-jalan, makan-makan, santai, hibur dan libur di calet mewah, pulau, pantai dan bandar popular seperti Bandaraya Melaka dan Georgetown.

Salah satu sudutnya memanglah positif dalam merancakkan kembali industri pelancongan dan ekonomi tanah air apabila berlakunya aktiviti jual beli. Namun, khalayak juga perlu sedar dengan angka kes Covid-19 yang saban hari makin meningkat dengan hari terakhir 2020, iaitu 31 Disember mencatatkan angka tertinggi yang pernah dicatatkan dalam kes positif harian! Walau bagaimanapun, angka-angka ini nampaknya langsung tidak memberikan kesan kepada sebilangan masyarakat. Rutin harian bermotifkan kehendak seperti menyambut tahun baharu di lapangan secara terbuka umpamanya lebih penting bagi mereka. Laungan slogan duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar rumah nampaknya langsung tidak memberikan sebagai impak kepada sesetengah anggota masyarakat.
 
Dalam kepadatan masyarakat yang tidak betah duduk di rumah dan gigih keluar ke san sini itu, terselit juga mereka yang bergelar ibu bapa yang membawa anak-anak mereka berjalan. Tidak kisaha sama ada anak itu berstatus bayi, kanak-kanak, murid sekolah rendah atau murid sekolah menengah, semuanya diusung untuk pelbagai aktiviti di luar rumah. Jadi di manakah rasionalnya, apabila sudah mula wujud suara kebimbangan sekolah bakal dibuka pada 20 Januari 2021 nanti? Tahukah anda, sudah ada komen, perkongsian oleh ibu bapa yang menyuarakan kebimbangan terhadap anak-anak yang akan kembali ke sekolah apabila takwim persekolahan 2021 bermula dua minggu lagi? Kita cuba bersangka baik, mungkin mereka ini ialah ibu bapa yang betul-betul menjaga pergerakan dan tinggal di rumah sepanjang musim sekolah ditutup dan keluar apabila perlu, itupun tidak dibawa anak keluar bersama-sama. Bagaimana pula dengan ibu bapa yang kontra dengan sikap sedemikan? Adakah mereka juga bimbang sekolah bakal dibuka?
 
Amat menyedihkan sekali apabila kepentingan diri, kehendak, dan agenda kehidupan peribadi yang seharusnya boleh diletakkan ke tepi namun menjadi ancaman kepada dunia pendidikan tanah air. Bayangkan sudah dua kali peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sudah ditangguhkan. Hampir 400 ribu calon SPM 2020 terumbang-ambing tanpa satu kepastian yang utuh tentang nasib peperiksaan SPM yang sangat berkait dengan situasi semasa Covid-19 dalam negara. Tak dapat membayangkan jika institusi pendidikan terpaksa lagi ditutup untuk satu tempoh waktu yang lama. Dalam transisi peralihan pelaksanaan kurikulum baharu sepenuhnya pada tahun 2021, peperiksaan SPM akan ditaksir serba baharu. Murid Tingkatan 4 pada tahun 2020 perlu bekerja keras untuk SPM 2021, dalam masa yang sama calon SPM 2020 sebagai generasi terakhir KBSM pula masih belum selesai urusan yang tertangguh.
 
Demi kerberlagsungan pendidikan anak-anak di negara ini, tolonglah duduk rumah. Duduklah di rumah. Keluar bila perlu, dan perlu itu untuk yang wajib sahaja... Bercuti, melancong, jalan-jalan, mandi-manda pantai, makan-makan di negeri lain, kenduri-kendara; tangguhkanlah. Kita pernah mencapai angka 0 kes sehari, hanya dengan sikap tidak mementingkan diri sendiri kita boleh mencapainya sekali lagi. Sampai bila perlu harapkan kerajaan keluarkan arahan dalam erti kata lain perlu ‘paksa’ rakyat duduk di rumah. Gunakan akal, jangan turuti nafsu. Jangan lihat diri sendiri dalam semua hal dan keadaan, kadang-kadang kita perlu letakkan orang lain seperti barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam memerangi Covid-19 sebelum membuat keputusan dalam kehidupan seharian kita.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!