Latihan Karangan Domain Peribadi: Usaha-Usaha Mengelakkan Tekanan Mental Dan Emosi

Cikgu Muzz
By -
0
 


KARANGAN BAHAGIAN B: DOMAIN PERIBADI
Tekanan atau depresi sebenarnya penyakit mental biasa dihidapi dalam kalangan masyarakat kini. Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 264 juta manusia daripada semua kategori umur menghidap penyakit depresi yang majoritinya wanita. Depresi juga penyebab utama kecacatan di seluruh dunia dan penyumbang utama punca penyakit global. Sungguhpun penyakit ini tidak lagi ganjil dalam kalangan masyarakat, namun tidak boleh dipandang remeh dan dijadikan norma.
 
                        (Dipetik dan diubah suai daripada ‘Segera Bertindak Atasi Tekanan, Depresi’ oleh Munyatul Mushalli Saadon, Universiti Islam Antarabangsa, Berita Harian)
 
Petikan di atas berkaitan dengan tekanan atau depresi yang dialami oleh manusia yang diakibatkan oleh pelbagai faktor. Sebagai seorang remaja, huraikan usaha-usaha yang akan anda lakukan untuk mengelakkan tekanan mental dan emosi menyerang anda. Panjang karangan anda hendaklah antara 350 hingga 500 patah perkataan.
 
Panduan Menulis
Pendahuluan:
Murid boleh menggunakan idea dalam petikan soalan untuk menulis pendahuluan. Tidak ada kesalahan untuk berbuat demikian. Pada masa yang sama bukan satu kewajipan juga untuk menggunakan petikan dalam mana-mana bahagian penulisan karangan. Ini bermakna terpulang kepada murid  sendiri untuk membuat pilihan. Tulis sebuah pendahuluan yang menarik, bertepatan dengan tema soalan dan pastikan diakhiri dengan ayat arah yang menjelaskan hala tuju penulisan karangan. Saranan kepanjangan perenggan pendahuluan ialah antara 80 hingga 100 patah perkataan.
 
Perenggan Isi:
Memandangkan karangan Bahagian B untuk SPM 2021 dan seterusnya menetapkan had bilangan patah perkataan antara 350 hingga 500 patah perkataan, maka cadangan cikgu ialah memadai dengan tiga atau empat perenggan isi sahaja. Penilaian pemeriksa lebih terarah kepada kematangan penulisan calon. Oleh itu, perenggan isi yang ditulis dengan jelas dan terperinci serta matang lebih berpotensi untuk mendapat markah yang cemerlang. Buatlah percaturan bilangan patah perkataan untuk setiap perenggan isi dalam 80 patah perkataan (empat isi) hingga 100 patah perkataan (tiga isi).
 
Kesimpulan:
Penulisan perenggan kesimpulan adalah sama penting dengan perenggan-perenggan lain. Murid perlu membuat satu rumusan penulisan dengan memasukkan cadangan dan harapan. Menulis peribahasa atau bahasa indah pada hujung penulisan ini juga boleh menjadi satu batu loncatan untuk memikat hati pembaca dan pemeriksa. Cadangan kepanjangan menulis perenggan kesimpulan ialah antara 80 hingga 100 patah perkataan.
 
Apakah kata kunci menurut kehendak soalan di atas?
Sebagai seorang remaja, huraikan usaha-usaha yang akan anda lakukan untuk mengelakkan tekanan mental dan emosi menyerang anda.

Soalan memerlukan calon untuk menulis usaha-usaha mengelakkan tekanan mental dan emosi dari perspektif remaja, iaitu diri calon itu sendiri.  Oleh itu, kata kunci ialah usaha-usaha mengelakkan tekanan mental dan emosi.
 
Gunakan persoalan APA, SIAPA, MENGAPA, BAGAIMANA, DI MANA, BILA untuk membuat percambahan minda berkenaan dengan tema dan kehendak soalan.
    1. APA – Usaha-usaha untuk mengelakkan tekanan mental dan emosi.
    2. SIAPA-  Usaha ini perlu dilakukan oleh remaja sahaja.
    3. MENGAPA – Usaha ini perlu dilakukan untuk hidup lebih sihat dan sejahtera.
    4. BAGAIMANA – Inilah isi-isi yang perlu difikirkan, iaitu usaha-usaha untuk mengelakkan tekanan mental dan emosi.
    5. DI MANA – Boleh dijadikan sebagai huraian atau contoh untuk isi.
    6. BILA – Boleh dijadikan sebagai huraian atau contoh untuk isi.
Cadangan Isi-Isi Karangan:
    1. Mendalami ilmu agama.
    2. Merujuk guru kaunselor.
    3. Menjalani aktiviti riadah.
Contoh Perenggan Isi:
            Salah satu usaha yang boleh saya lakukan untuk mengelakkan tekanan mental dan emosi ialah dengan mendalami ilmu agama. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan menambah ilmu pengetahuan agama saya dapat memahami hakikat kejadian diri serta menerima setiap ketentuan hidup sebagai suatu ujian daripada Tuhan dengan sabar. Tamsilnya, membaca dan memahami ayat-ayat Al-Quran dapat memberikan saya kekuatan jiwa untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan usia remaja. Kesannya, jiwa akan menjadi lebih tenang sekali gus dapat menjauhi stres daripada bersarang di minda. Jelaslah mendalami ilmu agama persis sambil menyelam minum air kerana di samping memberikan aura positif kepada mental dan emosi, saya juga dapat menambahkan pahala. Oleh yang demikian, sudah terang lagi bersuluh mendalami ilmu agama merupakan suatu wadah yang terbaik untuk mengelakkan tekanan mental dan emosi buat diri saya.
 
(127 patah perkataan)
 
Uji Minda
Berdasarkan penerangan panduan menulis karangan di atas dan contoh perenggan isi yang diberikan, tulis sebuah perenggan pendahuluan yang lengkap bagi tajuk karangan di atas. Seterusnya, pilih mana-mana satu isi yang dinyatakan di atas dan huraikan menjadi sebuah perenggan isi yang lengkap. Anda boleh menggunakan teknik menulis karangan IMBaKUP seperti yang digunakan oleh cikgu dalam contoh perenggan isi di atas.

Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!