Cerpen: Suamiku Abang Seksi - Episod 1

Cikgu Muzz
By -
0
 


EPISOD 1: SUAMIKU ABANG SEKSI
 
Petang. Fajar pagi tadi sudah berlalu bergantikan mentari yang garang. Masa tetap akan berlalu. Tidak pernah mahu berhenti walau sesaat cuma. Rugilah mereka yang membuang masa begitu sahaja. Sesungguhnya detik-detik yang berlalu itu tidak pernah akan kembali. Walau ditangiskan darah sekalipun, yang berlalu tetap akan pergi kerana hakikat kejadiannya sudah begitu.
 
Tiara mengintai jam tangan Vintage Omega yang tersarung cantik di pergelangan tangannya kirinya. Sekali pandang tak macam jam tangan pun. Rekaan eksklusif dengan gabungan unsur bracelet menjadikan edisi Omega ini tampak mahal. Apatah lagi dihiasi butir-butir permata dan disadur emas putih. Memang akan mencuri mata sesiapa sahaja yang terlihatkan pergelangan tangan gadis itu.
 
“Huh, dah dekat 5.30?” Pertanyaan itu lebih kepada dirinya sendiri.
 
Masa dirasakan begitu cepat berlalu. Terasa tidak cukup sehari untuk menyiapkan tugasannya. Peranannya sebagai pereka hiasan dalaman memerlukan tumpuan dan kreativiti yang tinggi. Kadang-kadang, penat lelah selama beberapa hari seakan-akan sia-sia sahaja apabila hasil rekaannya ditolak bos kesayangannya. Bukan salah Encik Jay  jika rekaannya dipandang sepi. Tetapi salah pelanggan yang tak menghargai hasil seninya! Eh, mana boleh salah pelanggan? Customers is always right, Tiara!
 
Tiara mula mengemaskan ruang kerjanya. Sudah hampir lima tahun dia bekerja dengan Pyramid Creative. Selama lima tahun ini juga dia selalu berfikir luar kotak untuk memberikan yang terbaik kepada para pelanggan syarikat tempat kerjanya.
 
Pyramid Creative menyediakan khidmat rekaan hiasan dalaman rumah dan laman. Adakalanya, tempahan rekaan hiasan untuk hotel dan bangunan-bangunan korporat serta kerajaan juga akan sampai ke meja mereka. Ada beberapa bahagian kerja di Pyramid Creative. Tiara ditempatkan di bawah seliaan Encik Jay, iaitu bahagian rekaan hiasan dalaman rumah. Bahagian ini hanya akan menguruskan rekaan hiasan dalaman rumah semata-mata. Tak kisahlah banglo, teres, semi-d, apartmen, waima rumah kampung sekalipun.
 
Tangannya lincah mengemaskan meja kerja. Ruang bawah meja dan sekitar partition tempat dia memerah idea juga dikemaskan. Serabut alamatnya lesaplah idea untuk kerja hari esok. Tambahan pula, permintaan bertambah sejak dua menjak ini. Almaklumlah, tak lama lagi nak raya. Hari ini baru masuk dua hari  berpuasa tetapi tempahan sudah dibuat oleh pelanggan sejak sebulan yang lalu pun ada. Kadang-kadang Tiara sendiri pun pening dengan sesetengah manusia yang lebih ghairah membuat persiapan menyambut Aidilfitri berbanding bulan Ramadan sendiri.
 
“Ah, malaslah nak fikir! Lantaklah! Duit sendiri kan? Kalau tak ada tempahan, tak ada pula kerja karang. Habis tu, tak ada kerja, nanti nak makan apa?” Omelnya perlahan. Dengar tak dengar sahaja suaranya.
 
Siap berkemas, Tiara memerhati sekeliling. Tinggal beberapa orang rakan sekerjanya sahaja yang masih setia dengan tugasan. Itupun semuanya yang bukan Muslim. Masing-masing khusyuk dengan tugasan sendiri. Pasti Ikram dan Manisah sudah pulang. Almaklumlah, bulan puasa. Sudah tentu mereka terkejar mahu sampai ke rumah berbuka bersama keluarga. Lainlah dia. Masih sendiri. Umurnya akan genap 30 tahun 1 Syawal ini. Tetapi dia masih belum punya sesiapa yang istimewa.
 
Tiara bukan tidak cantik. Memanglah tak serupa Miss Universe. Tetapi manisnya tetap ada. Dengan lesung pipit di sebelah kiri dan kulitnya yang putih gebu, memang pasti mencuri pandang mata sang arjuna. Bukan tidak ada lelaki yang mendekat. Tetapi hati Tiara yang susah untuk ditambat. Kisah lama bagaikan kuat melekat. Membuatkan Farisha sukar menerima mana-mana lelaki yang mahu menjerat!
 
Sekali lagi jam tangan Vintage Omega dijeling. Sudah 5.45 minit petang. Tiara sudah bazirkan 15 minit untuk mengemas. Ruangnya tak sebesar mana. Cuma kerja yang disertakan dengan fikiran yang melayang, pasti akan memakan masa yang lama. Menyedari kelewatan, pantas Prada berwarna hitam yang dihadiahkan seorang teman sempena ulang tahun kelahirannya yang lepas disambar. Kaki diatur ke arah lif. Punat ditekan. Dan dia sabar menunggu tiba ke aras bawah, tempat Mazda 6 miliknya terpakir.
 
******
 
Mazda 6 berwarna merah saga diparkir di sebelah jalan. Pejabat tempat mencari rezekinya tidak jauh dari bazar Ramadan ini. Tiara keluar dari kenderaan. Orang ramai masih lagi bersesak-sesak mencari juadah berbuka puasa. Mujurlah pandemik Covid-19 sudah berakhir. Kalau tidak, bayangkan begitupu mudahnya virus pembunuh itu boleh tersebar di bazar Ramadan seperti ini.
 
Tanpa membuang masa, Tiara mula menyeberang jalan. Kanan dan kiri jalan raya diperhatikan. Bila tiada kenderaan baru dia mula melintas. Tak sanggup dia perjudikan usia. Sudahlah muda lagi. Kahwin pun belum! Sambil berjalan, Tiara mula memikirkan juadah apa yang mahu dicari untuk waktu berbuka nanti. Nafsunya bukanlah besar, tetapi setiap kali melihat pelbagai jenis makanan, mesti terasa mahu dibeli. Sudahnya, dia makan sedikit sahaja. Selebihnya masuk ke dalam perut dua orang teman serumahnya, Watie dan Saleha.
 
Gerai pertama yang dikunjungi oleh Tiara ialah gerai yang menjual kuih-muih. Tiara memang suka makan kuih. Pantang bila berpuasa, tak kisah hari biasa atau pada bulan Ramadan, mesti kena ada kuih yang tersedia ketika waktu berbuka. Tiara tidak betah makan makanan yang berat seperti nasi, mi dan seumpamanya ketika berbuka. Dia hanya akan menjamah kuih-muih dan buah-buahan terlebih dahulu. Kemudian, usai solat baru dia akan menjamah sedikit makanan berat. Bukan diet atau menjaga badan, tetapi seleranya memang menurun tiap kali berpuasa mencari keredaan Tuhan.
 
Tiba di sebuah gerai yang menjual aneka jenis kuih, Tiara pantas memilih kuih-muih yang berkenan di hati. Hari ini dia memilih Lopes, Seri Muka, Kuih Lapis dan Lompang. Semuanya dia suka. Cukuplah rasanya untuk mereka bertiga. Kemudian, Tiara mula mencari gerai yang menjual martabak. Teringat pesanan Watie semalam, yang teringin makan martabak untuk berbuka hari ini. Bukan Watie tidak boleh pergi membeli sendiri. Tetapi mereka mengamalkan sistem giliran. Tiara, Watie dan Saleha akan bergilir-gilir membeli juadah berbuka di bazar. Ketiga-tiga mereka merupakan wanita berkerjaya. Maka, tiada masa untuk memasak di rumah kecuali pada hujung minggu.
 
Martabak untuk Watie sudah dibeli. Begitu juga dengan nasi tomato daging untu Saleha. Sekarang tinggal untuk dirinya sahaja.
 
“Apa erk yang aku nak makan lagi?” Tiara mengajukan pertanyaan kepada diri sendiri.
 
Hurmm, jalan-jalan dululah. Tengok mana yang berkenan nanti!”
 
Lantas kedua-dua belah kakinya mula mengitar kawasan bazar Ramadan di Seberang Jaya itu. Agak luas juga kawasan bazar ini. Bermacam-macam aroma makanan sedang menembus rongga hidungnya. Namun sedikitpun tidak menggugat nafsu makannya. Dia bukan budak kecil yang baru mahu belajar berpuasa. Setiap satu jam mengira detik untuk berbuka!
 
Tiara sampai di hadapan sebuah gerai. Lepas itu, sepasang kakinya dah tak bergerak-gerak lagi. Nak tahu kenapa? Sebab gerai itu menjual nasi briyani. Tiara memang gila dengan nasi briyani. Apatah lagi bersusun lauk-pauk atas meja. Pantas dia mula mendekat. Sempat lagi dia menghidu aroma yang lazat. Nasi briyani daging itu diminta satu. Kemudian, sambal merah udang galah yang begitu menggoda itu dipilihnya sebagai lauk tambahan.
 
Dalam hati, bukan girang kepalang.  Dah lama tak makan udang galah. Ada orang cakap tak elok makan makanan laut dicampur dengan darat. Ah, ada dia kisah? Yang penting dia suka dan sedap. Tak ke ikan di laut, asam di darat, dalam periuk hidup muafakat?
 
Usai mendapatkan juadah, Tiara kembali mengatur langkah. Jam tangan Vintage Omega diperhatikan sekilas. Jarum menunjukkan pukul 6.40 petang. Tinggal kurang lebih sejam sebelum berbuka. Mujur tempat tinggalnya tidak berapa jauh dari tempat kerja. Dan bazar ini pula memang hampir dengan Pyramid Creative. Sedang asyik memikirkan sama ada jalan akan sesak atau tidak, tiba-tiba sesuatu yang tak terjangka berlaku. Tiara terlanggar seseorang. Bukan sekadar langgar biasa. Perlanggaran antara seorang lelaki dan wanita. Lebih malang, perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua mereka basah!
 
******

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!