SOALAN
Gejala sosial dalam kalangan remaja semakin membimbangkan. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan remaja terlibat dalam gejala sosial.
Gejala sosial dalam kalangan remaja semakin membimbangkan. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan remaja terlibat dalam gejala sosial.
Dasawarsa ini, sama ada
kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara
yang semakin gah di persada dunia, kepincangan sosial yang berlaku dalam
kalangan masyarakat Malaysia adalah semakin ketara. Remaja yang jiwanya harus
bersih daripada titik-titik noda semakin hanyut dibawa arus dunia tanpa
sempadan dalam kancah sosial yang tidak bernoktah. Saban hari media tidak
lekang memaparkan pelbagai masalah sosial melibatkan golongan remaja. Persoalannya,
apakah punca-punca yang mendorong remaja terlibat dalam gejala sosial?
Salah satu punca yang
mendorong remaja terlibat dalam gejala sosial ialah kurangnya didikan agama. Hal
ini dikatakan demikian kerana didikan agama yang kurang akan menyebabkan remaja
mudah terpengaruh dengan bisikan dan godaan untuk melakukan perkara-perkara
yang mungkar. Tamsilnya, tanpa didikan agama yang utuh remaja tidak mampu
membezakan perbuatan halal dan haram dengan sepenuhnya. Maka, tidak hairanlah
apabila sesetengah remaja bergaul bebas antara lelaki dan perempuan sehingga
boleh berlakunya zina. Justeru, tanpa didikan agama yang utuh bakal menggoncang
benteng pertahanan iman golongan remaja sehingga memudahkan mereka tergelincir
dalam gejala sosial.
Selain itu, pengaruh rakan
sebaya juga merupakan salah satu indikator utama yang dikenal pasti sebagai
faktor kuat yang menyebabkan remaja terlibat dalam gejala sosial. Hal ini
dikatakan demikian kerana sebahagian besar masa dalam kehidupan remaja
dihabiskan bersama rakan sebaya sama ada pertemuan secara bersemuka atau
perbualan menerusi media sosial. Lantas remaja mudah terikut dengan gaya hidup
dan tindak-tanduk rakan sebaya mereka sementelah terlalu banyak masa dihabiskan
bersama-sama. Antara gejala sosial dalam kalangan remaja yang sangat
dipengaruhi oleh rakan sebaya ialah gejala merempit dan perbuatan vandalisme. Sehubungan
itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa pengaruh rakan sebaya juga merupakan
salah satu penyumbang keterlibatan remaja dalam gejala sosial.
Di samping itu, pengaruh
budaya luar juga merupakan salah satu punca yang boleh menyebabkan keruntuhan
akhlak remaja. Hal ini dikatakan demikian kerana pengaruh budaya luar seperti
budaya barat yang jauh menyimpang daripada ajaran agama Islam mampu menggugat
iman remaja yang masih senipis kulit bawang. Tamsilnya, budaya hedonisme yang
mengagung-agungkan hiburan dan kewujudan kumpulan berhaluan liberal seperti ‘Black
Metal’ berupaya menjerumuskan remaja dalam kancah sosial. Natijahnya, remaja
akan mudah terikut-ikut dengan budaya tidak sihat yang tidak selari dengan
norma kehidupan masyarakat timur. Oleh itu, jelaslah bahawa pengaruh budaya
luar juga merupakan salah satu virus yang boleh memusnahkan akhlak dan moral
golongan remaja di negara ini.
Konklusinya, jelaslah
bahawa terdapat pelbagai punca yang mendorong seseorang remaja terpengaruh
dalam gejala sosial. Ada sebahagian punca tampak jelas pada pandangan mata
kasar, namun ada juga yang tersirat dan perlu dikaji dengan lebih teliti. Apa-apa
pun jua punca yang menarik seseorang remaja ke kancah sosial, ibu bapa
memainkan peranan yang cukup besar dalam memastikan anak-anak mereka selamat
dari aspek fizikal, mental, dan emosional secara seimbang dan menyeluruh. Oleh itu,
didikan awal dan kawalan secara berterusan oleh ibu bapa terhadap remaja
diyakini sebagai penawar ampuh dalam memerangi gejala sosial yang semakin
menghimpit anak-anak muda yang bakal mewarisi kepemimpinan negara ini.