[Nota Komsas] Analisis Sajak Roti; Antologi Baik Budi Indah Bahasa

Cikgu Muzz
By -
0

MAKSUD SAJAK ROTI

Dari cerobong dapur
asap berjelaga berkepul
terkecur liur
harum berbau juadah tersohor.

Roti yang dibuat di dapur membangkitkan selera. Selera itu bangkit kerana baunya yang harum.

Perut yang lapar
selera kian meggelepar
menanti roti dibakar
rangup dan segar
terhidang seumpama permaidani terhampar.

Selera untuk makan roti bertambah apabila melihat roti dibakar, kemudian melihat roti yang rangup itu terhidang.

Kalau roti di depan mata
nafsu makan pun bergelora
berkeping-keping menggegar selera
perut pun kenyang terasa
tenang bersendawa.

Apabila roti sudah dihidangkan di hadapan mata, selera kian meningkat. Protagonis makan roti itu sampai kenyang dan bersendawa.

Bagi pemilik iman di dada
sendawa itu tidak sempurna
masih ada beban di bahu mereka
warga miskin belum terbela
masih merintih lapar dahaga.

Bagi orang yang beriman dan mempunyai perikemanusiaan yang tinggi, selepas berasa kenyang mereka teringat akan orang miskin yang tidak mendapat makanan seperti mereka. Orang yang beriman memikirkan tugas untuk membela orang miskin.

Bila begitu selamanya
kalimah syukur pun jelas tertera
di hati sanubari warga dunia
melangit damai dirasa
percikan iman segar berwarna.

Jika banyak orang yang beriman, maka berkuranglah orang yang menderita di dunia ini. Orang yang susah akan bersyukur kerana mereka dibantu oleh golongan yang berada dan beriman.


TEMA SAJAK ROTI
Orang yang beriman, ketika kenyang tidak melupakan golongan miskin.
 
PERSOALAN SAJAK ROTI
    1. Apabila roti dibakar, baunya membangkitkan selera.
    2. Ketika lapar manusia tidak dapat menahan nafsu makan.
    3. Apabila makan makanan yang sedap, manusia akan makan sampai kenyang dan bersendawa.
    4. Orang yang beriman tidak akan melupakan orang miskin ketika mereka berasa kenyang.
BENTUK SAJAK ROTI 
    1. Terdiri daripada lima rangkap.
    2. Rangkap pertama mempunyai empat baris dan rangkap kedua hingga kelima mempunyai lima baris.
    3. Bilangan katanya dua hingga enam patah kata sebaris.
    4. Terdiri daripada lima hingga empat belas suku kata sebaris.
    5. Bentuknya bebas.
GAYA BAHASA SAJAK ROTI
    1. Hiperbola. Contohnya, nafsu makan pun bergelora; melangit damai dirasa.
    2. Metafora: Contohnya, percikan iman.
    3. Personifikasi. Contohnya, selera kian menggelepar.
    4. Simile. Contohnya, terhidang seumpama permaidani terhampar.
NADA SAJAK ROTI
Didaktik.
 
NILAI SAJAK ROTI
    1. Kesabaran.
    2. Baik hati.
    3. Kesyukuran.
    4. Keimanan.
    5. Kesederhanaan.
PENGAJARAN SAJAK ROTI
    1. Kita hendaklah bersabar ketika menunggu untuk mendapatkan sesuatu.
    2. Kita hendaklah memikirkan orang lain agar orang lain turut mendapat rezeki.
    3. Kita hendaklah ingat akan keadaan orang lain yang kurang bernasib baik.
    4. Kita hendaklah melatih diri agar menjadi orang beriman.
Kredit: Sasbadi

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!