[Nota Komsas] Analisis Prosa Tradisional Asal Padi; Antologi Kuingin Berterima Kasih
oleh -Cikgu Muzz
Jun 14, 2021
0
SINOPSIS PROSA TRADISIONAL ASAL PADI Pada zaman dahulukala, terdapat sepasang suami isteri
yang sangat kaya. Mereka memiliki kerbau dan binatang ternakan yang banyak.
Harta mereka juga tidak ternilai banyaknya. Pada suatu hari, sepasang suami
isteri itu meninggal dunia. Mereka meninggalkan dua orang anak lelaki.
Kedua-dua orang anak itu masih belum mampu mencari nafkah sendiri. Anak sulung
suami isteri itu, iaitu Si Bongsu pula cacat. Kakinya kerekot, jari-jarinya
tumbuh melekat antara satu sama lain seperti itik dan kedua-dua tumitnya
berlubang. Sepeninggalan suami isteri itu, harta benda mereka telah dicuri oleh
orang jahat. Harta yang masih ada hanyalah sebuah kolam ikan. Pada suatu hari,
Si Bongsu melihat-lihat kolam ikannya. Dia ternampak tujuh orang puteri baru
sahaja selesai mandi dan bersiap-siap ingin pulang. Si Bongsu memohon untuk mengikuti
puteri-puteri itu pulang ke kayangan. Permintaan Si Bongsu telah diperkenankan
oleh puteri-puteri kayangan itu. Si Bongsu pun mengikut puteri-puteri itu ke
kayangan. Setiba di kayangan, ketujuh-tujuh orang puteri itu telah hilang. Tiba-tiba
Si Bongsu ternampak benda kuning berkilau-kilau yang dijemur di tengah dusun.
Si Bongsu menyangka bahawa benda kuning berkilau-kilau itu ialah selonggok
emas. Si Bongsu bertanya kepada empunya emas tersebut tetapi
empunya itu menyatakan bahawa benda berwarna kuning berkilau-kilau itu ialah
padi. Empunya padi itu juga menjelaskan bahawa padi itu amat enak dimakan. Si
Bongsu bercadang untuk menanam padi itu di bumi. Dia pun meminta izin daripada
empunya padi itu untuk mendapatkan padi tersebut. Empunya padi itu tidak
membenarkannya. Sebaliknya, Si Bongsu diberikan nasi untuk dirasai keenakannya
hasil padi itu. Pada suatu hari, Si Bongsu telah mengambil segenggam padi
lalu dimasukkan ke dalam mulut untuk dibawa pulang ke bumi. Malangnya, empunya
padi itu menyedari bahawa padinya telah dicuri. Empunya padi itu mencari Si
Bongsu dan mengejarnya. Empunya padi itu berjaya menangkap Si Bongsu di tangga
pelangi. Empunya padi itu telah membanting Si Bongsu sehingga tumit Si Bongsu berdarah
kerana terkena bucu tangga yang tajam. Selepas mendapatkan padi itu semula.
Empunya padi itu pun ingin kembali ke kayangan semula. Si Bongsu merayu untuk
mengikut empunya padi itu ke kayangan. Malahan dia sanggup menjadi hamba kepada
empunya padi itu. Permintaan Si Bongsu
diterima dan dia kembali ke kayangan
semula. Di kayangan, Si Bongsu hanya ditugaskan untuk menjaga dan mengawasi padi
yang sedang dijemur. Setelah beberapa lama, luka Si Bongsu pun sembuh. Dia
bercadang untuk pulang ke bumi. Oleh itu, Si Bongsu mengambil segenggam padi
dan butir-butir padi itu disembunyikan di lubang-lubang luka pada tumitnya. Si Bongsu
meminta izin kepada empunya padi untuk pulang ke bumi. Empunya padi itu
membenarnya Si Bongsu pulang ke bumi, tetapi dia perlu memeriksa Si Bongsu
lebih dahulu untuk memastikan bahawa padinya tidak dicuri. Si Bongsu membenarkan dirinya diperiksa oleh empunya padi itu. Kerelaan
Si Bongsu itu telah menyakinkan pemilik padi bahawa Si Bongsu tidak mencuri
padinya. Si Bongsu tiba di bumi dengan selamat. Dengan segera, dia menanam padi
itu. Padi yang ditanam Si Bongsu mengeluarkan hasil yang memuaskan. Sementara itu, padi di kayangan telah hilang daya hidup.
Untuk melihat kalau-kalau ada padi ditanam di bumi, empunya padi di kayangan
pun menghantar seekor burung pipit ke bumi. Burung pipit itu pun terbang ke
bumi dan mendapati padi di bumi sedang berbuah. Burung pipit telah makan padi
tersebut. Kemudian, burung pipit kembali ke kayangan semula dan memberitahu empunya
padi bahawa tiada padi ditanam di bumi. Empunya padi itu tidak mempercayai
kata-kata burung pipit kerana melihat warna putih menyeliputi paruh burung
pipit. Keadaan itu menandakan bahawa burung pipit telah makan padi. Burung
pipit mengatakan bahawa jika empunya padi tidak mempercayainya, empunya padi
boleh menghantar seekor burung lagi. Empunya padi itu pun menghantar Si Tekuri
ke bumi. Empunya padi memberitahu kedua-dua ekor burung itu bahawa Si Tekuri
akan membunuh burung pipit jika ada padi ditanam di bumi. Sebaliknya, jika
tiada padi ditanam di bumi, burung pipit akan membunuh Si Tekuri. Selepas kedua-dua
burung itu tiba di bumi, Si Tekuri mendapati ada padi ditanam di bumi. Burung pipit
itu akhirnya telah dibunuh oleh Si Tekuri. TEMA PROSA TRADISIONAL ASAL PADI Kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah. PERSOALAN PROSA TRADISIONAL ASAL PADI
Sikap tidak berputus asa dalam melaksanakan sesuatu
tugas.
Kekayaan yang dimiliki di dunia tidak akan kekal dan
tidak boleh dibawa mati.
Kebijaksanaan dalam melaksanakan tugas atau kerja amatpenting.
Masyarakat yang hidup berlandaskan budi pekerti.
Pembohongan akan diketahui juga akhirnya.
Perbuatan mencuri harta orang merupakan gejala tidak
baik.
WATAK DAN PERWATAKAN
PROSA TRADISIONAL ASAL PADI Si Bongsu
Anak yatim piatu.
Cacat, iaitu kakinya kerekot dan jari-jari kakinya
tumbuh melekat seperti kaki itik.
Seorang yang bersopan santun.
Bersifat berani.
Tidak mudah berputus asa.
Empunya padi
Petani, iaitu menanam padi di kayangan.
Seorang yang gagah.
Bersifar baik hati.
Seorang yang bijak.
GAYA BAHASA PROSA TRADISIONAL ASAL PADI
Bahasa Indonesia. Contohnya, oleh-oleh.
Bahasa klasik. Contohnya, jera; gerangan; hatta.
Hiperbola. Contohnya, Mereka menuju ke
kayangan dengan mempergunakan pelangi sebagai tangganya.
Peribahasa. Contohnya, untung tidak
dapat diraih, malang tidak dapat ditolak.
Simile. Contohnya, Kakinya kerekot,
jari-jarinya tumbuh melekat satu sama lain, seperti kaki
itik.
LATAR PROSA TRADISIONAL ASAL PADI Latar Masa
Pada zaman masyarakat tradisional.
Pada zaman pengaruh Hindu.
Latar Tempat
Di bumi.
Di kolam ikan.
Di tangga pelangi.
Di kayangan.
Latar Masyarakat
Masyarakat yang percaya akan tahyul dan animisme.
Masyarakat petani.
Masyarakat yang berakhlak buruk.
NILAI PROSA TRADISIONAL ASAL PADI
Kecekalan.
Keberanian.
Kebijaksanaan.
Kerajinan.
Ketaatan.
PENGAJARAN PROSA TRADISIONAL ASAL PADI
Kita harus menjaga harta pusaka ibu bapa kita dengan
baik.
Kita hendaklah bijaksana menyelesaikan masalah.
Kita hendaklah hidup dengan sifat rajin berusaha dan bekerja.