[Nota Komsas] Analisis Sajak Kuingin Berterima Kasih; Antologi Kuingin Berterima Kasih

Cikgu Muzz
oleh -
1
 

MAKSUD SAJAK KUINGIN BERTERIMA KASIH
Sesekali kuingin berterima kasih
kepadamu hujan bagai tetamu
jiwa pun menjadi dingin
api amarah menjadi terpadam

Sesekali penyajak ingin berterima kasih kepada hujan yang turun menenangkan jiwa.

 

Sesekali kuingin menyemai budi
kepadamu tanah yang hidup
kerana perutmu setia menghamilkan
rezeki buat petani

Sesekali penyajak ingin berbudi kepada tanah kerana tanah memberikan hasil untuk para petani.

 

Sesekali kuingin berbisik kepadamu
ikan-ikan riang
liar di belantara samudera
kerana sudi membebaskan cerita
nelayan tua di pondoknya

Sesekali penyajak ingin berbisik kepada ikan-ikan yang hidup di lautan kerana ikan-ikan itu telah menghilangkan derita nelayan tua yang tinggal di tempatnya.

 

Sesekali kuingin kalungkan kagum
kepadamu pejuang negara
kerana tanganmu pernah berdarah
darah kesetiaan seorang warga
kepada watan tercintanya

Sesekali penyajak ingin merakamkan kekagumannya kepada pejuang negara yang setia berkorban demi negara tercinta.

 

Sesekali kuingin pula menjadi bunga
menebarkan keharuman
di taman-taman keresahan hidup
menyerahkan keinsafan
kepada keangkuhan perang

Sesekali penyajak ingin menjadi kuntuman bunga menyebarkan haruman di hati manusia yang resah dan menginsafkan manusia terhadap kekejaman perang.

 

Alangkah indahnya dunia
andai semua merenung
kekosongan hidup ini.

Penyajak menyatakan bahawa dunia ini sungguh indah sekiranya manusia merenung setiap ruang kehidupan ini.

 
TEMA SAJAK KUINGIN BERTERIMA KASIH
Kesyukuran dan penghargaan akan segala nikmat yang dikecapi dalam kehidupan.
 
PERSOALAN SAJAK KUINGIN BERTERIMA KASIH
      1. Penghargaan terhadap nikmat hujan yang menjadikan kehidupan menjadi tenang.
      2. Kepentingan tanah yang menyumbangkan hasil untuk para petani.
      3. Ikan merupakan sumber rezeki kepada nelayan.
      4. Penghargaan kepada para pejuang yang setia berjuang dan berkorban demi negara tercinta.
BENTUK SAJAK KUINGIN BERTERIMA KASIH
      1. Berbentuk bebas.
      2. Terdiri daripada enam rangkap.
      3. Rangkap pertama dan kedua mempunyai empat baris; rangkap ketiga, keempat, dan kelima mempunyai lima baris; rangkap keenam mempunyai tiga baris.
      4. Bilangan katanya dua hingga lima patah kata sebaris.
      5. Terdiri daripada tujuh hingga empat belas suku kata sebaris.
      6. Rima akhir bagi rangkap pertama: abcd; rangkap kedua:  abca; rangkap ketiga: abccc; rangkap keempat: abcbb, rangkap kelima: abcbd; rangkap keenam: abc.
GAYA BAHASA DAN UNSUR BUNYI SAJAK KUINGIN BERTERIMA KASIH
      1. Metafora. Contohnya, darah kesetiaan.
      2. Repetisi. Contohnya, Sesekali kuingin (baris 1, rangkap 1, 2, 3, 4, dan 5).
      3. Simile. Contohnya,  kepadamu hujan bagai tetamu.
      4. Asonansi. Contohnya, kepadamu hujan bagai tetamu(perulangan vokal a).
      5. Aliterasi. Contohnya, Sesekali kuingin kalungkan kagum (perulangan konsonan k).
NILAI SAJAK KUINGIN BERTERIMA KASIH
      1. Berterima kasih.
      2. Kerajinan.
      3. Simpati.
      4. Patriotisme.
      5. Keinsafan.
PENGAJARAN SAJAK KUINGIN BERTERIMA KASIH
      1. Kita perlulah berterima kasih atas segala nikmat yang kita kecapi dalam kehidupan.
      2. Kita hendaklah rajin mengusahakan tanah.
      3. Kita hendaklah bersimpati dengan golongan susah.
      4. Perjuangan dan pengorbanan para pejuang tanah air hendaklah dihargai.
      5. Kita harus merenung kehidupan ini.
Kredit: Sasbadi

Catat Ulasan

1Ulasan

Catat Ulasan