Resensi Novel Bukan Hanya Ada Kita Karya Nazurah Aishah

Cikgu Muzz
By -
0
 

Judul: Bukan Hanya Ada Kita
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd
Penulis: Nazurah Aishah
Tahun: April 2013
Bilangan Halaman: 543 muka surat
 
Ulasan:
Kongsi. Satu patah perkataan yang mempunyai enam aksara. Mendukung satu makna yang belum bisa semua daripada kita untuk terima. Berapa banyak dalam kalangan kita suka berkongsi? Anak perempuan kecil, punya patung kesayangan Barbie Doll. Adakah anak kecil itu mahu kongsi Barbie Doll kesayangannya dengan seorang sepupu yang bertandang ke rumah? Jiran sebelah rumah, ada kereta sport yang nampak menggiurkan, apakah dia sanggup berkongsi walau hanya untuk sekali perjalanan? Tinggalkan anak kecil dan jiran itu, anda sendiri yang sedang membaca ulasan ini, sudah tentu mempunyai beberapa buah novel kesayangan, apakah anda sudi meminjam dan berkongsi novel itu dengan mereka yang mendambakan? Belum tentu anda sudi. Bahkan mendengar perkataan pinjam sahaja pun barangkali ada yang sudah anti. Itu baru pinjam belum lagi kongsi! Dan Bukan Hanya Ada Kita garapan Nazurah Aishah adalah sebuah kisah tentang perkongsian!
 
Jarang ada lelaki yang mahu hidup sendirian. Biasanya mereka mahu berteman. Isteri sudah tentu insan pendamping yang halal di sisi Tuhan. Lalu perkahwinan itu adalah sebuah perkongsian. Hidup berkongsi adalah saling melengkapi. Suami memenuhi kekurangan isteri dan isteri melengkapi kekurangan suami. Lantas mengapa Ahmad Zahrin masih mahu bernikah lagi sedangkan Sharifah Ruhaiza tidak ada kurang walau sekelumit jua bagi memenuhi keperluan seorang lelaki sebagai seorang isteri? Oman. Apakah berada di perantauan, jauh dari Aiza di utara tanah air, terasing daripada dua orang puteri membuatkan Zahrin lupa bahawasanya dia adalah seorang lelaki yang sudah berumah tangga? Tidak adakah rasa bersalah di dalam jiwa, saat berdampingan dengan gadis lain sedang wanita yang bernama isteri setia menanti merentasi tujuh lautan di benua sana?  Bukan tiada rasa bersalah yang bercambah. Bahkan tidak juga sengaja dia mencari bala. Cinta itu tidak dikejar. Sebaliknya rindu itu yang pugar. Menghambat dirinya untuk mengejar. Medina Azahra dinikahi di rantau luar.
 
Dia tidak membesar dalam sebuah keluarga yang tenang tanpa ombak. Bahkan ada gempa yang melanda, menjadikan kerukunan keluarga dibadai gelombang. Mummy diduakan oleh ayahnya. Dan dia terpaksa berkongsi kasih ayahnya dengan keluarga di sebelah sana. Lantaran itu dia benci. Dia benci poligami. Dia tidak gemar berbicara tentang lelaki. Bahkan sejarah hidupnya tidak tercatat kehadiran seorang teman lelaki. Tetapi mengapa dia boleh terpaut kepada seorang lelaki yang bernama suami? Di mana terbangnya prinsip hidup yang diagungkan? Adakah lelaki itu ahli magis hinggakan manteranya bisa membuatkan Medina lupa akan segala-galanya? Bukan! Zahrin bukan bomoh yang menjampi mantera. Bahkan tidak ada ayat bergula untuk memikat hati dan rasa. Tetapi mengapa jiwa ini meronta juga kepadanya biar sudah diketahui menerimanya bermakna perlu berkongsi! Medina Azahra sudah lari sebenarnya. Biar tidak meninggalkan Oman, tetapi dia sudah menjauh diri. Sayangnya, Medina lupa sejauh mana dia pergi, takdir itu tetap seiring kaki.
Isteri. Itu gelarannya. Ibu. Ini juga merupakan statusnya. Dia ada cita-cita. Dia juga punya kerjaya. Tetapi kerna sayangkan keluarga, dia rela berkorban menuntut ilmu di dalam negara. Lantaran kasihnya terhadap keluarga, dia tidak kisah untuk beralah. Jika beginilah sifat yang didukung seorang wanita yang bernama isteri, bukankah begitu bertuah insan yang memilikinya yang dinamakan suami? Lalu mengapa wanita ini dikecewakan? Kenapa wanita ini sanggup dibohongi? Di manakah silap wanita ini hingga dimadukan tanpa pengetahuan? Adakah kerna izinnya kepada suami merantau ke luar sana? Atau apakah kerna percaya yang tidak pernah surut bagaikan buih di lautan? Hati Aiza luluh. Berkepingan bagai kaca yang terhempas ke batu. Siapa yang boleh menerima, sebuah khabar yang kedengaran begitu kejam di telinga. Dimadukan tanpa pengetahuan. Dibohongi dalam kepura-puraan. Sedang lelaki itu bukan hanya miliknya seorang. Tetapi dikongsi bersama seorang wanita lain dan hubungan itu selama tiga tahun sudah terjalin.
 
Ini merupakan sebuah kisah rekaan. Tetapi bukan hadir di dalam khayalan semata. Masih wujud bahkan ada dalam kalangan warga. Sebuah kebenaran yang jarang tersingkap. Sebuah hakikat yang tidak diungkap. Bukan hanya ada kita. Sebaliknya ada insan lain juga. Yang menempa nama dalam ceritera insani di buana. Barangkali ada yang boleh menerima. Boleh jadi ada yang akan trauma. Tetapi akhirnya ketahuilah tidak ada satupun di dunia ini yang terjadi tanpa pengetahuan dan izin Dia. Sama ada yang baik atau jahat segala-galanya hadir dariNya. Lalu siapa kita untuk melawan takdir? Andai hidup inipun sudah menjadi suatu pinjaman, apakah selaku insan biasa kita punya hak yang mutlak untuk sesuatu yang tersisip di antaranya? Boleh jadi kamu membenci sesuatu, sedang ia merupakan yang baik bagimu,dan boleh jadi kamu mencintai sesuatu, sedangkan ia adalah amat buruk bagimu. Dialah yang mengetahui segalanya. Bukan Hanya Ada Kita menghadirkan dua wanita dan seorang lelaki atas tiket takdir dalam kehidupan insani. Jika mahu tahu hayatilah isi hati tiga jiwa ini...
 
Kesimpulan:
★★★★★

Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!