Judul: Ranting Cinta Si Plato
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd
Penulis: Norhayati Berahim
Tahun: Mei 2010
Bilangan Halaman: 717 muka
surat
Ulasan:
Setiap novel ada kisahnya. Cerita ini sudah lama juga
tahu tentang kewujudannya. Lewat penceritaan teman-teman yang meminati
Norhayati Berahim, juga melalui jemari sendiri yang galak menyelongkar profil
penulis ini di laman maya. Bahkan ada sekali kurang lebih dua tahun yang lalu
terjumpa novel ini di sebuah toko buku di Pulau Pinang. Lebih menguntungkan
ketika itu toko buku berkenaan sedang menawarkan diskaun yang berbaloi. Tetapi
apakan daya, biarpun peluangnya ada sebaliknya belum ada izin daripada Dia
untuk memiliki novel ini. Bukan kerna tiada ongkos di kocek sebaliknya kondisi
novelnya yang sedikit uzur dengan kotor dan rabak pada plastik yang
membungkusnya. Barangkali sudah lama terbiar atau tersorok tanpa sedar. Jodoh
andai sudah ditentukan pasti bertemu biar berjarak ribuan batu. Jun lalu saat
sedang menunggu tibanya bas ekspres di Pudu Sentral, kaki mengintai sekitarnya
mencuci pandang. Saat terlihatkan Kedai Buku 1 Malaysia di tingkat atas bangunan
yang sudah berubah rupa itu, pantas saja hati melonjak girang. Lebih bahagia
apabila yang diinginkan ada di situ. Yang dicari menanti di situ. Dengan rupa
yang elok, juga harga istimewa. Pantas tangan menyambar. Wang dibayar. Dan
empunya novel itu sudah bertukar.
Ini kisah Plato mencari ranting cinta. Ini falsafah
Socrates pabila diajukan tentang erti cinta. Ini fahaman dua tokoh tentang apa
itu cinta? Dan sebaris tajuk ini sudah membuatkan hati nanar mendambakan isi
cerita! Ranting Cinta Si Plato. Bukankah enak kedengaran? Ketahuilah, hakikat
rasanya yang lebih lazat daripada perkhabaran. Tidak tahu bagi mereka yang di
luar sana, tetapi jika diaju dan ditanya, hati ini tetap kuat mengatakan
karya-karya Norhayati Berahim sentiasa tidak lekang membisikkan makna tentang
kehidupan. Itulah juga yang diterima lewat menyudahkan pembacaan di awal pagi
Ramadan ke dua puluh enam ini. Tidak banyak novel di luar sana yang mengajar
pembaca untuk merenung dan mengintai kamar jiwa tentang hakikat kehidupan dan
manusia usai selesai sesebuah pembacaan, tetapi Ranting Cinta Si Plato mampu!
Dibicarakan tentang cinta, rasa, kehidupan dan pengorbanan. Diadun dengan
begitu cantik sehinggakan roh hanyut di sebalik setiap tulisan.
Cerita ini mengisahkan Sofea yang berkahwin dengan
Alfian. Perhubungan cinta sejak lama merantai jiwa dan menzahirkan kepercayaan.
Lalu kerana taat dan kasih Sofea akur dan alah dengan setiap kekurangan Alfian.
Tetapi bisakah hati seorang isteri tetap bertahan saat diri diduakan dan
kebenarannya terbongkar tanpa sempat meraih secebis alasan? Ya, Sofea
menjadi isteri kedua! Dan kebenaran itu terungkai setelah Alfian kembali semula
kepada penciptanya, kepulangan abadi yang tiada ruang kembali. Ranting Cinta Si
Plato juga menghadirkan Muaz. Watak seorang lelaki dalam pakaian doktor. Jiwa
yang tulus dalam kerjaya. Membantu sehabis daya. Mengabdikan masa yang ada
dengan bantu tenaga. Rumah Hospis menjadi astana kedua. Insan-insan yang
menunggu mati menjadi teman kepada doktor muda ini. Dan suatu kenyataan, Muaz
dan Sofea pernah bertentang mata suatu ketika dahulu di Ireland. Bahkan bukan
sekadar bersua, malah berbicara dan berkongsi tawa.
Itu antara sepintas tentang tiga watak utama dalam
ceritera ini. Selain mereka ada banyak lagi sisi yang bisa membuka pandangan
hati. Tentang mualaf Haji Abdullah, bapa Sofea misalnya. Hubungan Sofea
dan abangnya yang sebapa berlainan ibu yang juga berlainan agama, Wisnu dan
David. Dan pastinya Mami Kwan yakni bekas isteri Haji Abdullah yang menyayangi
Sofea dengan teramat tulus. Jujur, saat di hujung kalam, ada episod Muaz
mengunjungi Mami Kwan. Saat itu, Alfian sudah tiada dan Muaz sudah mengisi
kekosongan yang ditinggalkan dalam jiwa Sofea. Lalu bilamana lelaki itu tidak
teragak-agak melangkah masuk ke rumah milik bangsa lain, dan mahu pula menjamah
hidangan di rumah itu, ada digambarkan pandangan Mami Kwan terhadap Muaz. Ah,
pandangan itu! Seolah-olah menusuk ke dalam kalbu. Kenapa dan mengapa? Galilah
sendiri, tidak mahu ditelanjangkan segalanya di sini.
Puas. Itulah satu perkataan yang mampu menggambarkan
perasaan tika jemari mencantumkan aksara ulasan ini. Jika anda mahu melihat
kehidupan daripada kaca mata insan lain, maka carilah di dalam karya-karya
Norhayati Berahim. Di dalamnya ada terisi banyak rona. Pelbagai rencah dan
perisa. Daripada pelbagai golongan dan bangsa. Merentasi dunia dan bahasa.
Terasa sedikit ralat kerana agak mengenalinya lewat. Namun, tetap bersyukur
kerana masih sempat biarpun terlambat. Barangkali bukan semua novel beliau yang
pernah hati ini merasa. Tetapi daripada beberapa buah yang dikunyah, Ranting
Cinta Si Plato sememangnya meninggalkan kesan yang ketara. Jika yang dicari
momokan gadis jelita juga jejaka tampan yang menggoda dan mencairkan minda,
pasti kecewalah di akhir cerita. Sebaliknya, jika yang diingini itu adalah
pengisian. Jika yang didambakan itu adalah santapan minda. Maka, kisah ini akan
mengajak manusia untuk berfikiran. Tentang hakikat takdir dan ketentuan.
Tentang hujan dan matahari. Tentang rama-rama dan beluncas. Semua yang terjadi
itu ada musabab. Dan terpulang kepada insan untuk berfikir dan mencari jawab.
Kesimpulan:
★★★★★