Penutupan
sekolah Fasa I pada Mac 2020 yang berlarutan hingga Jun 2020, kemudian Fasa II
bermula November 2020 hingga akhir Mac 2021, dan kini sekolah masih ditutup
dalam Fasa III bermula awal Mei hingga menjengah awal Ogos, dan tak tahu sampai
bila berterusan, apatah lagi angka kes harian positif Covid sangat menakutkan
dengan berbelas-belas ribu orang direkodkan positif wabak tersebut. Lantaran
itu, muncul persoalan apakah cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk
membuka semula sekolah secara berperingkat-peringkat bermula September 2021
akan dapat direncanakan seperti yang dirancang? Hanya masa yang akan
menentukannya.
Berbalik kepada
penutupan sekolah secara bersemuka ini, sebenarnya sesi pembelajaran masih lagi
berlangsung mengikut takwim persekolahan 2021. Cumanya pendekatan yang
digunakan ialah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Setelah lebih
setahun PdPR dilaksanakan, isu kehadiran dan keterlibatan murid dalam PdPR yang
dilaksanakan oleh guru masih menjadi polemik yang tidak berkesudahan. Ada kelas
hanya dihadiri oleh seorang atau dua orang murid sahaja daripada jumlah
keseluruhan murid di dalam kelas yang lebih 30 orang.
Guru menghadapi
cabaran terbesar untuk memikirkan bagaimana untuk memastikan murid terus
positif untuk menyertai PdPR. Manakala bagi murid pula bukan mudah untuk
berhadapan skrin komputer riba atau peranti elektronik saban hari dalam tempoh
berjam-jam lamanya. Situasi yang dihadapi kini sangat berbeza dengan PdP
bersemuka. Pelbagai faktor lain seperti kekangan teknologi, capaian Internet, limitasi
pengetahuan teknologi maklumat dalam kalangan guru dan penggunaan kaedah PdP
untuk PdPR yang sama berulang kali boleh menjadi sebab musabab kegagalan
sesebuah PdP dalam talian.
Itu belum lagi
dengan tekanan daripda pihak guru sendiri. Rata-rata guru bukan sahaja perlu
mengajar bahkan perlu juga menjaga anak-anak sendiri untuk belajar. Dalam angka
500 000 orang guru di Malaysia yang majoritinya berjantina perempuan juga perlu
menguruskan hal ehwal rumah tangga, lantaran taska dan pengasuh tidak
beroperasi atau ramai yang tidak berani untuk mengambil risiko jangkitan
Covid-19. Belum lagi karenah dan birokrasi yang mengejar bilangan waktu. Belum
lagi Ketua Jabatan yang gila graf kehadiran mencanak selalu. Tambah lagi
kehadiran murid yang perlu direkodkan bukan satu, tetapi ada yang sampai tiga
atau empat sistem berlainan mengikut pentadbiran sekolah masing-masing.
Semua ini
membuatkan khalayak menjadi lelah. Guru, murid dan ibu bapa; ketiga-tiganya
sama-sama teramat letih dalam membayangkan sampai bila norma kehidupan akan
kembali menjadi normal. Makanya, dalam catatan ini suka saya ingin berkongsi
salah satu usaha seorang guru yang bertindak kreatif untuk memancing kehadiran
dan penglibatan murid dalam PdPR. Puan Masliza Mansor telah mengambil pendekatan sijil
digital bagi menghargai murid beliau dalam rekod Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)
yang dilaksanakan oleh beliau.
Ketika
diajukan apakah kriteria yang dilihat sebelum seseorang murid itu dianugerahkan
sijil digital tersebut, jawab beliau sijil dikeluarkan selepas murid menyertai
PdPR dan menjawab kuiz. Tambah beliau, yang hadir, yang jawab kuiz dengan
betul, yang menguasai isi kandungan pelajaran akan dianugerahkan sijil. Kata
Puan Masliza lagi, setiap kali sesi PdPR akan ada PBD yang dilaksanakan dan ini
salah satu kaedah yang diimplementasikan oleh beliau. Menurut beliau, anak-anak
murid yang menerima sijil digital ini teruja dan lebih bersemangat. Justeru,
beliau hanya memilih yang betul-betul layak sahaja untuk menerimanya bagi
memelihara nilai sijil digital tersebut. Dalam erti kata lain, murid yang
sekadar hadir tanpa sebarang respons ditaksir tidak menguasai isi kandungan
pelajaran pada hari itu dan tidak layak menerima pengiktirafan tersebut.
Pendekatan
ganjaran ini sebenarnya telah begitu lama wujud dalam dunia pendidikan. Dalam Teori
Behaviorisme, ganjaran merupakan salah satu indikator yang boleh membentuk sesuatu
perubahan tingkah laku manusia. Justeru, penganugerahan sijil digital ini boleh
menjadi satu wadah yang boleh digunakan oleh guru untuk menarik lebih ramai
penyertaan murid dalam sesi PdPR yang dilaksanakan. Sebagai seorang guru
Malaysia yang melafaz ikrar dan sumpah setia untuk mendidik anak bangsa, tidak
mustahil ada masa kita akan lelah tetapi tidakkan sesekali kita mengalah.
Teruskan berjuang, cikgu!