Baca petikan dan teliti pantun yang disertakan di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan.
Bidang kurikulum dan kokurikulum saling berkaitan dalam meningkatkan keupayaan dan kebolehan murid untuk mencapai kecemerlangan yang seimbang dalam kedua-dua bidang tersebut. Aktiviti kokurikulum mampu melengkapkan keterampilan fizikal, emosi dan sahsiah murid. Murid memperoleh pelbagai kebaikan semasa melakukan aktiviti kokurikulum. Antaranya, murid-murid dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat menerusi kokurikulum. Hal ini boleh mengurangkan penglibatan murid dalam gejala sosial seperti merokok, melepak, vandalisme, membuli atau merayau-rayau ke sana ke sini kerana mereka tiada masa untuk melakukan perkara-perkara tersebut.
(Dipetik dan diubah suai daripada rencana
“Kepentingan Aktiviti
Kokurikulum kepada Pelajar”,
oleh Jared Liw Zhi Long, Dewan Siswa, Januari, 2020)