Contoh Karangan Percubaan SPM 2021: Budaya Masyarakat Penyayang
oleh -Cikgu Muzz
Januari 26, 2022
0
“Sifat penyayang tidak boleh
diwarisi, tetapi boleh dipupuk dan dibaja dalam jiwa insan sejak kecil. Semua
ini harus mengingatkan kita betapa kehidupan manusia harus dibina dan diasaskan
atas rasa kasih sayang. Ia adalah sifat sejagat, sangat mulia dan harus menjadi
sandaran hidup. Sifat empati beginilah yang menjadi tali yang mengikat nilai
keinsanan menjalani kehidupan dengan orang sekeliling kita.” – Khaled Nordin,
Berita Harian (2015) Huraikan
pendapat anda tentang budaya masyarakat penyayang di Malaysia. Panjangnya
huraian anda hendaklah antara 350 hingga 500
patah perkataan. Masyarakat di Malaysia terdiri
daripada pelbagai kaum. Keistimewaan rakyat di negara kita yang terdiri
daripada kaum Melayu, Cina dan India sebagai kaum utama yang mendominasi
populasi rakyat di Malaysia menjadikan negara yang terkenal dengan menara berkembar
tertinggi di dunia ini sangat istimewa. Memiliki rakyat yang berbilang-bilang
kaum ini meskipun tampak istimewa namun tetap ada cabarannya apatah lagi dalam
arus peredaran dunia semasa yang semakin melahirkan individu persis enau dalam
belukar melepaskan pucuk masing-masing. Justeru, slogan masyarakat penyayang
sering bermain di bibi pemimpin negara sebagai suatu wadah dalam melahirkan
masyarakat Malaysia yang harmoni. Persoalan yang bermain-main di gawang fikiran
adalah apakah manfaat-manfaat yang boleh diperoleh daripada budaya masyarakat
penyayang di Malaysia? Marilah kita capahkan lensa
perbincangan dengan melihat manfaat daripada pelaksanaan budaya masyarakat
penyayang di Malaysia iaitu dapat mewujudkan suasana aman dan harmoni. Hal ini
dikatakan demikian kerana pelaksanaan budaya penyayang dapat mendidik
masyarakat untuk saling toleransi. Apabila nilai toleransi menjadi pegangan
dalam kehidupan seharian maka kehidupan yang sejahtera dapat dijalin dengan
baik. Sebagai contoh, masyarakat akan memahami dan menghormati adat resam
sesama kaum, agama dan kepercayaan. Secara tidak langusng, isu sensitif
melibatkan agama, kepercayaan dan adat dapat dielakkan. Oleh itu, jelaslah
mewujudkan suasana aman dan harmoni merupakan faedah manfaat pelaksanaan budaya
masyarakat penyayang. Berikutnya marilah kita lihat perspektif
kedua faedah yang akan diperoleh daripada pelaksanaan budaya masyarakat
penyayang, iaitu mengeratkan hubungan antara kaum. Hidup bermasyarakat menuntut
kita meneladani peribahasa bagai aur dengan tebing. Apatah lagi konteks
masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum memerlukan ikatan yang sangat kukuh
antara satu kaum dengan kaum yang lain. Justeru, menerusi konsep budaya
penyayang program kemasyarakatan seperti gotong-royong secara berkala di semua
kawasan penempatan di seluruh tanah air dapat menjadi asbab dalam memastikan
hubungan silaturahim dalam kalangan anggota masyarakat sentiasa terpelihara. Tambahan
lagi, menerusi aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, pelbagai nilai
murni seperti bekerjsama, ambil berat dan tanggungjawab dapat dipupuk dalam
diri setiap warganegara Malaysia. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa
pembudayaan masyarakat penyayang mampu mengeratkan hubungan antara kaum. Menyusuri idea berikutnya,
meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik juga merupakan antara
kelebihan apabila budaya masyarakat penyayang menjadi pegangan hidup setiap
lapisan masyarakat di tanah air tercinta kita ini. Setiap suatu yang bernyawa
pasti akan diuji, sama ada diuji dengan kesenangan atau kesusahan. Justeru,
budaya masyarakat penyayang yang disuntik dalam setiap nafas masyarakat
Malaysia sehingga kini sedia menempa nama sebagai antara raykat paling cakna
menghulurkan bantuan kemanusiaan di seantero dunia. Bukti yang terpampang di
hadapan mata tentu sahaja sumbangan dan bantuan rakyat Malaysia dalam bentuk
kewangan dan material kepada mangsa perang di Gaza, mangsa bencana alama
seperti gempa bumi dan tsunami di Indonesia serta tidak ketinggalan mangsa
banjir besar yang menimpa penduduk di Kelantan pada Disember 2014 dan di Pahang
juga Selangor pada Disember 2021. Oleh itu, kenyataan kelebihan masyarakat yang
mendukung budaya penyayang sebagai masyarakat yang prihatin dalam menghulurkan
bantuan dan meringankan beban sesungguhnya tidak dapat dinafikan sama sekali. Konklusinya, budaya masyarakat
penyayang hendaklah disuburkan dalam kalangan setiap generasi tanpa mengira
peringkat usia. Ibu bapa khususnya perlu mendidik anak-anak sedari kecil
tentang kepentingan budaya penyayang dalam kehidupan seharian kerana sedang
rebung elok dipatah, jadi buluh melepuh jari. Pihak kerajaan juga
bertanggungjawab menggalakkan budaya penyayang menerusi kempen yang perlu
diusahakan secara mega dengan membabitkan pelbagai pihak yang berkepentingan
kerana muafakat pasti membawa berkat dalam misi murni melahirkan masyarakat
Malaysia yang mendukung tinggi nilai kasih sayang dalam setiap nafas yang
dihembus. Semoga budaya masyarakat penyayang yang dipasak dalam jati diri
rakyat Malaysia akan menjadi contoh teladan kepada masyarakat dunia.