Ujian Bertutur SPM KSSM mulai tahun 2021 tidak lagi sama bentuk taksirannya seperti ULBS SPM KBSM. Ujian Bertutur SPM KSSM akan dikendalikan sepenuhnya oleh pentaksir luar yang dilantik oleh Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri. Pelaksanaan Ujian Bertutur SPM KSSM kali pertama untuk calon SPM 2021 akan bermula pada 8 Februari 2022 hingga 10 Februari 2022.
- Calon akan berada di dalam bilik menunggu (bilangan calon mengikut saiz bilik)
- Calon akan dipanggil oleh pengawas bilik menunggu (dijaga oleh pengawas yakni guru dari sekolah lain, biasanya bukan guru BM) untuk membaca bahan rangsangan (bacaan mentalis – 3 minit)
- Calon akan meninggalkan bahan rangsangan dan menuju ke bilik pentaksiran. Pastikan membawa kad pengenalan.
- Terdapat dua orang pentaksir luar (guru BM dari sekolah lain) yang sedia menunggu di dalam bilik pentaksiran.
- Serahkan kad pengenalan kepada pentaksir.
- Calon akan diberikan bahan yang serupa seperti dibaca tadi di dalam bilik menunggu.
- Calon akan terus duduk dan mula membaca bahan rangsangan (bacaan mekanis)
- Selesai membaca calon akan diajukan dengan empat soalan.
- Soalan pertama dan soalan kedua adalah berdasarkan bahan rangsangan.
- Calon wajib mengemukakan jawaban bagi soalan pertama dan kedua daripada bahan rangsangan yang telah dibaca.
- Soalan ketiga dan soalan keempat merupakan soalan KBAT.
- Bilangan isi yang perlu dikemukakan oleh calon bagi soalan KBAT bergantung kepada kata kunci dalam soalan. Jika ‘langkah’ satu isi memadai. Sebaliknya, jika ‘langkah-langkah’ perlu dikemukakan lebih daripada satu isi. Walau bagaimanapun, SATU isi sudah dikira cukup dan dianggap soalan telah dijawab.
- Masa yang diperuntukkan kepada calon minimum 3 minit, maksimum 5 minit.
- Calon perlu peka dengan masa agar masa cukup untuk membaca dan menjawab kesemua empat soalan.
- Loceng akan dibunyikan sebagai peringatan masa tamat.
- Calon yang selesai ujian bertutur individu akan bergerak masuk ke dalam bilik kuarantin.
- Terdapat seorang pengawas (dari sekolah lain) yang dilantik oleh JPN bertugas di dalam bilik kuarantin.
- Calon perlu menunggu kesemua ahli dalam kumpulan selesai ujian bertutur individu sebelum diberikan tugasan kumpulan.
- Masa selama 10 minit diberikan untuk persediaan ujian bertutur secara berkumpulan.
- Calon digalakkan mengendalikan perbincangan dalam kumpulan secara sembang santai.
- Perbicangan ala forum tidak disarankan kerana akan menjejaskan markah pengerusi forum.
- Cukup masa 10 minit kesemua ahli (biasanya empat orang) akan masuk ke dalam bilik pentaksiran.
- Pusingan pertama, calon akan bertutur mengikut giliran yang telah disepakati. Dalam pusingan ini calon mesti menjawab kehendak tugasan.
- Dalam pusingan kedua, mana-mana calon boleh bertutur mengemukakan pendapat masing-masing. Pusingan kedua boleh diteruskan dengan fokus sampingan tetapi masih menyentuh tema yang sama.
- Bagi calon yang fasih bertutur, satu pusingan dengan hanya menyentuh kehendak utama soalan sahaja sudah memadai sebagai fokus perbincangan andainya mencakupi 15 minit.
- Jumlah masa yang ditetapkan untuk ujian bertutur berkumpulan ialah 12 hingga 15 minit.
- Pentaksir akan berperanan sebagai penggalak jika ada mana-mana calon terlalu dominan sehingga menenggelamkan calon lain.
- Pentaksir juga akan merangsang perbincangan sekiranya masa minimum ujian bertutur berkumpulan iaitu selama 12 minit tidak tercapai.
- Setelah selesai ujian berkumpulan, calon akan diserahkan kepada pihak sekolah untuk diuruskan (sama ada kembali meneruskan pembelajaran atau dibenarkan pulang).