Ujian Bertutur (Bahasa Melayu 1103/03) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan kertas yang wajib diambil oleh calon SPM mulai tahun 2021. Ujian ini kali pertama akan ditaksir pada 8 Februari 2022. Pentaksiran Ujian Bertutur terbahagi kepada dua, iaitu Ujian Bertutur Individu dan Ujian Bertutur Berkumpulan. Bagi tahun 2024, calon SPM 2023 akan mula menjalani Ujian Bertutur Bahasa Melayu bermula 8 Januari 2024 hingga 11 Januari 2024.
- Semasa di dalam Bilik Menunggu, guru bertugas akan memberikan bahan rangsangan kepada calon. Masa selama tiga minit diberikan untuk membaca secara senyap (bacaan mentalis). Calon dinasihatkan membaca dan menganalisis bahan rangsangan dengan tenang.
- Apabila cukup tiga minit, calon akan bergerak ke Bilik Pentaksiran TANPA membawa bahan rangsangan. Setibanya di bilik pentaksiran, serahkan kad pengenalan kepada pentaksir. Pentaksir akan memberikan bahan yang sama seperti yang dibaca dalam bilik menunggu kepada calon. Duduk dengan selesa. Tarik nafas. Apabila mendapat isyarat mula, calon perlu membaca dengan bacaan kuat (bacaan mekanis).
- Calon perlu membaca dengan fasih dan lancar. Bagi mengelakkan terlangkau baris, calon dinasihatkan menggunakan jari telunjuk sebagai penunjuk ketika membaca bahan rangsangan.
- Calon juga perlu memastikan menggunakan sebutan yang betul. Hal ini bermaksud, pembacaan mestilah seperti nada penutur jati menggunakan Bahasa Melayu Standard atau Bahasa Melayu Baku. Calon tidak boleh membaca dalam pengaruh dialek dan bahasa ibunda sekiranya ingin memperoleh markah cemerlang.
- Seterusnya, intonasi bacaan juga perlu sesuai dengan teks. Intonasi pembacaan hendaklah sesuai, terutamanya semasa permulaan dan pengakhiran ayat. Jangan baca terlalu cepat. Jangan baca secara mendatar. Pastikan naik turun intonasi suara sesuai dengan teks yang dibaca agar pembacaan lebih menarik.
- Berikutnya, aspek nada juga diambil kira dalam penskoran. Sekiranya terdapat ayat tanya dalam petikan, maka pembacaan juga perlulah mempunyai nada pertanyaan. Nada yang tepat dengan jenis ayat akan memberikan kefahaman yang lebih optimum kepada pendengar.
- Semasa menjawab soalan, gunakan tatabahasa yang betul dan tepat. Elakkan kesalahan tatabahasa popular dalam kalangan murid seperti ‘di kalangan’, ‘antara langkah-langkah’, ‘hal ini kerana’ dan lain-lain.
- Cukup sekadar memberikan isi apabial menjawab soalan KBAT. Namun tidak salah jika hendak menyertakan huraian.
- Pastikan apa-apa sahaja yang dituturkan terutamanya ketika menjawab soalan KBAT merupakan idea yang relevan, logik dan memberi makna dan nilai yang positif. Elakkan juga memberikan jawaban sensitif yang menyentuh isu agama, perkauman, dan politik.
- Calon perlu ingat, walaupun pentaksiran secara berkumpulan, markah tetap akan dinilai secara individu.
- Gunakan masa 10 minit dalam bilik kuarantin untuk membuat pembahagian peranan mengikut tajuk soalan. Tidak ada sebarang alat tulis dibenarkan dalam bilik kuarantin. Oleh itu, calon perlu membuat persediaan secara lisan.
- Apabila masuk ke dalam bilik pentaksiran, calon akan bertutur mengikut giliran yang telah ditetapkan dalam perbincangan ketika dalam bilik kuarantin. Sekiranya masa masih berbaki, pusingan kedua akan diteruskan dengan mana-mana calon boleh bertutur tanpa mengikut giliran menggunakan fokus yang sama atau fokus yang berbeza tetapi mesti merujuk tema yang serupa.
- Seseorang calon boleh mencelah ketika calon lain sedang bertutur untuk memberikan pandangan sama ada mengukuhkan huraian dan memberikan contoh baharu bagi isi yang sedang dibincangkan. Calon diingatkan untuk bertatasusila sebelum mencelah, mohonlah dengan sopan kepada calon yang sedang bertutur untuk mencelah. Hal ini demikian kerana aspek kesantunan dan kesusilaan dalam berbahasa juga menjanjikan markah buat calon.
- Calon diingatkan saling meyokong dan menzahirkan perbincangan yang ‘hidup’. Jangan terlalu mendominasi dan jangan pula masing-masing bertutur terlalu sedikit.
- Sepanjang ujian bertutur berkumpulan, calon perlu ingat untuk memberikan idea yang logik dan relevan dan disampaikan dalam bahasa yang gramatis dengan penggunaan tatabahasa yang betul.
Terima kasih cikgu diatas perkongsian. Sangat bermanfaat untuk saya dan rakan-rakan
ReplyDeleteSama-sama...
Delete