Judul: Pernah Benci Penulis: Mia Azwari Penerbit: Love Novel Publishing Sdn. Bhd Tahun: Mei 2022 Bilangan Halaman: 428 muka surat Ulasan: Kisah cinta pandang pertama antara dua orang remaja
yang masih bersekolah, Daim dan Raiqa. Cinta pandang pertama buat Daim. Alasan
cinta untuk mengubah nasib bagi Raiqa. Disatukan dalam suatu penipuan tanpa
restu orang tua menjadikan rumah tangga Daim dan Raiqa tidak mampu bertahan
lama. Lafaz talak terzahir saat Raiqa sendiri tidak mengetahui dirinya sedang
berbadan dua. Maka, bermulalah episod mencabar kehidupan seorang Raiqa. Takdir mempertemukan semula Daim dan Raiqa. Namun,
Raiqa yang wujud kini bukanlah Raiqa yang lama, tetapi Raiqa yang serba baharu.
Apakah masih ada cinta dalam hati Daim dan Raiqa, sesudah masing-masing pernah
benci? Pernah Benci merupakan karya pertama Mia Azwari yang
saya baca. Penulis ini sudah ada koleksi novel dan pengikut yang tersendiri.
Sebelum membeli Pernah Benci, ada juga saya membaca maklum balas menerusi
Goodreads. Terdapat komen yang bercampur, namun saya tetap mencapai novel ini
kerana mahu mencuba sentuhan penulis yang belum pernah saya baca. Alhamdulillah
masih mampu disudahkan pembacaannya walaupun kebanyakan plot yang disusun mampu
ditebak akan kesinambungan dan kesudahannya!