SOALAN: Huraikan cara-cara untuk
meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan murid?
Sebagai suatu ciptaan yang
bernama manusia dan dikurniakan akal fikiran, meraih kejayaan dalam kehidupan
merupakan impian setiap individu. Bagi golongan murid, kecemerlangan dalam
akademik merupakan angan-angan indah yang harus direalisasikan menjadi
kenyataan. Namun, adat hidup di dunia, tak semua yang didambakan akan datang
bergolek tanpa usaha bak kata peribahasa yang bulat tak datang bergolek, yang
pipih tak datang melayang. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah insan akan
diuji dengan kegagalan meskipun sudah menanam benih usaha yang berterusan. Justeru,
patah hati dan kecewa akan menjadi kamus hidup individu sebegini. Persoalan yang
menambat tangkai akal ialah apakah langkah yang boleh diimplementasikan sebagai
usaha memulihkan keyakinan murid yang gagal dalam peperiksaan?
Sebagai pembuka kalam, marilah
kita melihat dapatan kajian tentang musuh utama keyakinan diri, iaitu perasaan
takut, ragu, gusar dan pemikiran negatif yang seumpamanya. Pemikiran sebegini
mendominasi akal dan hati apabila murid terlalu membandingkan diri sendiri
dengan diri orang lain. Oleh itu, prakarsa pertama dalam memulihkan keyakinan
murid ialah berhenti membandingkan diri dengan orang lain. Murid perlu berhenti
membandingkan diri mereka dengan rakan lain sama ada dari aspek paras rupa,
personaliti, keterampilan, apatah lagi kejayaan dalam bidang akademik dan
kokurikulum. Setiap individu mempunyai kualiti yang tersendiri. Justeru, murid
perlu bereksperimen dengan diri sendiri untuk mencari kekuatan diri mereka
kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Konklusinya,
jelaslah mencari kekuatan diri dan tidak membandingkan diri dengan orang lain
merupakan azimat besar dalam membina keyakinan diri.
Marilah kita capahkan lensa
diskusi dengan meneliti langkah seterusnya untuk membina keyakinan diri murid
melalui program-program motivasi sebagai sokongan minda dan hati yang boleh
dilaksanakan di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana golongan murid yang
berstatus remaja sentiasa mendambakan perhatian dan kasih sayang. Oleh itu,
menerusi program motivasi, pihak sekolah boleh memegang hati dan pemikiran
murid supaya berada pada landasan yang betul. Program motivasi ini boleh
dianjurkan dalam bentuk ceramah, bengkel, latihan dalam kumpulan mahupun kem. Natijahnya,
asas keyakinan dalam diri murid dapat diteguhkan menerusi tiupan semangat yang
berkobar oleh para guru sendiri mahupun daripada penceramah jemputan. Sehubungan
dengan itu, sudah terang lagi bersuluh program motivasi berupaya menjadi
perantara membina keyakinan diri murid menerusi aktiviti-aktiviti yang
dianjurkan oleh pihak sekolah.
Dalam membincangkan isu keyakinan
diri, peranan kaunselor tidak boleh diketepikan. Kaunselor mendapat pendidikan
khusus dalam menyelami karakter seseorang individu. Oleh yang demikian, sesi
kaunseling secara individu atau berkelompok boleh menjadi suatu wadah untuk
meningkatkan keyakinan diri dalam murid. Apabila menjalankan sesi kaunseling,
kaunselor dapat mengenal pasti punca utama yang mengakibatkan murid hilang
keyakinan diri. Impaknya, kaunselor dapat mencari alternatif penyelesaian bagi
membantu murid tersebut dalam membina semula keyakinan diri. Misalnya, lawatan
sambil belajar ke Kolej Vokasional boleh membuka minda seseorang murid bahawa
bidang akademik bukanlah satu-satunya cabang yang menjanjikan masa hadapan yang
gemilang. Tuntasnya, peranan kaunselor dalam membina keyakinan diri murid
bukannya bersuluh batang pisang, bersuluh bulan matahari.
Sebelum pena diskusi melabuhkan
noktah, jelaslah bahawa usaha membina keyakinan diri murid memerlukan kerjasama
daripada semua pihak. Ibu bapa dan pihak sekolah terutamanya perlu bersinergi
bagai aur dengan tebing agar anak-anak watan terus bercambah matang dengan
keyakinan bersinar bak cahaya mentari. Tanpa kerjasama yang padu daripada ibu
bapa, usaha pihak sekolah hanya akan pincang bagai irama tanpa lagu. Oleh itu,
tanggungjawab membina keyakinan diri dalam diri murid merupakan tanggungjawab
bersama yang harus dipikul dengan rela demi melahirkan generasi pelapis bangsa
yang berkualiti tinggi.