Info Semasa

6/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

10 Soal Jawab Isu Panas Ujian Bertutur Berkumpulan SPM; Jangan Terus Percaya Apa Yang Anda Dengar!

 

Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM merupakan kertas wajib bagi calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia. Kertas 3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu ini menguji kebolehan calon bertutur. Ujian ini terbahagi kepada dua iaitu bertutur secara individu dan bertutur secara berkumpulan.
 
Semakin hampir kepada hari pentaksiran semakin banyak pula persoalan yang timbul. Hendak pula pelbagai kupasan yang diberikan menerusi media sosial seperti Tiktok. Persoalannya, sejauh manakah kebenaran dan kesahihan maklumat yang dikongsikan oleh pempengaruh tentang UBBM SPM?
 
Nasihat cikgu, rujuklah guru KPM yang bertauliah yang mengajar pada peringkat SPM dan sudah menerima penataran, bengkel dan taklimat secara langsung daripada jurulatih utama UBBM peringkat kebangsaan dan peringkat negeri.
 
Pada perkongsian kali ini cikgu akan timbulkan beberapa persoalan popular tentang ujian bertutur berkumpulan dan jawapan bagi persoalan-persoalan tersebut. Semoga membantu!
 
Giliran dalam ujian bertutur berkumpulan, perlukan ikut kedudukan angka giliran?
Sebaik-baiknya ikutlah. Mudah bagi pentaksir untuk catat markah. Tapi kalau tak boleh, nak ubah, calon kedua untuk bercakap dahulu, boleh sahaja.
 
Perlukah perkenalkan diri? Ada yang cakap tak perlu sebab tak ada markah dan sudah beri kad pengenalan kepada pentaksir.
Bertutur perlu ada adab. Pengenalan diri memang tak ada markah khusus. Namun, cukuplah dengan beritahu nama penuh dan kelas. Tak perlulah nak berpantun, nak bersyair, kemudian nak beritahu hobi, cita-cita blablabala...
 
Memang kena cakap dahulu apa yang soalan minta kah?
Ya, kehendak soalan menjadi fokus utama perbincangan. Bincangkan dahulu fokus utama soalan. Jika ada tambahan fokus berkaitan tema boleh tambah kemudian.
 
Perlukah ada dua pusingan?
Sebenarnya tak perlu pun tak apa, jika kumpulan anda mampu bertutur selama 12-15 minit hanya berpandukan fokus utama yang terdapat dalam soalan. Cadangan dua pusingan hanyalah untuk membantu dan lebih memudahkan calon untuk bertutur.
 
Jika ada dua pusingan, bagaimana nak mulakan pusingan kedua?
Sekiranya fokus utama soalan punca-punca pencemaran alam, keempat-empat calon bertutur dahulu tentang punca pencemaran. Selepas selesai, calon pertama yang hendak memulakan pusingan kedua boleh menggunakan contoh ayat berikut “Seterusnya, marilah kita teruskan perbincangan dengan melihat cara-cara untuk menangani pencemaran alam sekitar”.
 
Perlukah pakai bahasa tinggi dan bahasa berbunga?
Bergantung kepada diri. Ada calon memang sedia dan selalu guna peribahasa, jadi teruskan. Namun, tak perlulah guna bahasa berbunga-bunga yang berbelit-belit sehingga boleh memeningkan rakan-rakan sekumpulan yang lain. Kadang-kadang lebih ringkas dan padat lebih baik berbanding berjela-jela tetapi tidak ada hala tuju dan kabur.
 
Kalau tiba-tiba sangkut ketika sedang bertutur, apa perlu saya buat? Bagaimana saya nak minta kawan sambung?
Tersangkut ketika bertutur ialah perkara biasa. Kadang-kadang calon lupa. Jadi untuk memastikan perbincangan nampak lancar, anda boleh sahaja guna cara paling mudah, iaitu “Itu sahaja perkongsian saya buat masa ini, apa pandangan rakan saya yang seterusnya?”  Jangan diam terus, tunjukkan kepada rakan bahawa kamu ingin kawan kamu menyambung perbincangan.
 
Perlukah ada kesimpulan? Ada yang kata tak perlu sebab tak ada markah.
Markah ujian bertutur berkumpulan ini ialah holistik. Ada banyak perkara dalam rubrik yang akan dipertimbangkan sebelum pemberian markah kepada calon. Sekiranya kumpulan anda bertutur dengan mengemukakan banyak fakta sehingga tamat masa 15 minit tanpa sempat membuat kesimpulan, tidak ada apa-apa masalah. Jika kumpulan anda sudah mengeluarkan semua idea perbincangan dan loceng belum dibunyikan, tidak ada salahnya jika setiap seorang calon dalam kumpulan anda membuat kesimpulan ringkas yang mengandungi ayat cadangan dan ayat harapan.
 
Perlukah menggunakan bahasa baku?
Jika boleh guna dan sedia guna bahasa baku, silakan guna. Namun, penggunaan bahasa baku tidak wajib, ya. Gunakan bahasa standard, bahasa pertuturan seharian yang boleh difahami oleh pentaksir. Gunakan tatabahasa yang betul, sebutan dan intonasi yang tepat, serta fasih.
 
Saya tak sempat habis cakap, loceng dah dibunyikan. Pentaksir cakap dah tamat. Markah saya akan rendahkah sebab berhenti di tengah ayat? Ada orang cakap kalau ayat tak habis hurai nanti nampak barai! Bolehkah minta tambah 15 saat.
Masa tamat maknanya tamat. Tak ada istilah tambah masa atau masa kasihan, waima 15 saat. Tak perlu risau,  dalam ujian bertutur asalkan anda bertutur pasti ada markah; pentaksir yang dilantik pun bukanlah kejam dan nak cari salah semata-mata. Tenang, ya.

Post a Comment

0 Comments