Contoh Karangan Usaha Meningkatkan Keyakinan Diri Pelajar (Karangan Cemerlang SPM 2022)

Cikgu Muzz
By -
1
 


USAHA-USAHA MEMBANTU MURID CEMERLANG MENGHADAPI MASALAH KEYAKINAN DIRI
 
Penat telah menjadi rintihan,
     Rindu pelukan sang ibu di desa;
Keyakinan diri menjadi pilihan,
     Agar hidup bahagia sentiasa.
 
     Pantun empat kerat tersebut membawa maksud bahawa keyakinan diri amat penting dalam menjamin kehidupan serta masa hadapan yang bahagia. Namun demikian, adakah rakyat kita khususnya remaja benar-benar menghayati maksud pantun tersebut jika disandarkan pada kejadian hari ini? Realitinya, remaja kini mempunyai tahap keyakinan yang sangat rendah dan terlalu merendah diri walaupun berada dalam kelas paling cemerlang. Hal ini terjadi kerana pelajar kini sering membandingkan diri mereka dengan pelajar-pelajar cemerlang yang lain. Kejadian ini bertambah teruk ketika berita penularan wabak COVID-19 menggemparkan masyarakat global. Hal ini demikian kerana semua rakyat terpaksa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berkurung di rumah. Kesannya, pelajar tidak mempunyai peluang untuk menyertai aktiviti untuk mencungkil bakat diri dan menjadi antisosial. Persoalannya, apakah inisiatif-inisiatif yang harus diimplementasikan untuk mengatasi polemik kekurangan keyakinan diri dalam pelajar?
 
     Sebelum bibir mengorak bicara, sebelum kata dimapankan bukti, marilah kita memperincikan prakarsa dominan dalam membendung masalah kekurangan keyakinan diri dalam pelajar. Pihak sekolah memainkan peranan signifikan dalam membendung masalah ini. Dalam konteks ini, guru merupakan insan terdekat kepada seseorang pelajar. Guru-guru mendukung tanggungjawab dalam membentuk sahsiah seseorang pelajar atau remaja yang merupakan aset penting kepada negara. Hal ini dikatakan demikian kerana, guru-guru berperanan untuk mencungkil bakat serta potensi diri pelajar sejak di bangku sekolah dengan menggalakkan penyertaan pelajar dalam pertandingan antarabangsa. Sebagai contoh, pelajar boleh menyertai pertandingan Inovasi Sains dan Teknologi peringkat antarabangsa dan memenangi pertandingan tersebut. Kesannya, pelajar boleh menyedari kebolehan diri mereka dan berasa bangga terhadap pencapaian mereka. Secara tidak langsung, hal ini akan meningkatkan hormon dopmain dalam diri pelajar yang merupakan sebatian kimia atau neurotransmitter yang mengawal serta memberi isyarat kepada otak. Dengan ini, pelajar akan berasa lebih yakin terhadap potensi diri dan menjadi peneraju negara ke persada dunia. Memetik kata-kata mantan presiden Indonesia, Soekarno, “Berikan aku 100 orang tua nescaya aku dapat menterbalikkan perahu tertangkup, tetapi jika aku diberikan 10 orang muda, nescaya aku dapat menggegarkan dunia.” Jelaslah bahawa guru-guru di sekolah dapat membentuk akhlak dan sahsiah pelajar yang cemerlang seperti cogan kata guru pembina negara bangsa.

     Menurut hadis Rasurullah SAW, “Anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya, menjadi nasrani atau majusi.” Menyedari hakikat tersebut, ibu bapa berperanan dalam membentuk remaja atau pelajar yang berminda modal kelas pertama. Misalnya, ibu bapa boleh menjadi uswah hasanah kepada anak-anak mereka dengan sentiasa mengamalkan keyakinan diri dalam setiap tindakan dan perbuatan. Dengan ini, anak-anak juga akan mencontohi perilaku ibu bapa mereka sehingga keyakinan diri mereka menjadi kelaziman dalam kehidupan. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama anak-anak untuk menunjukkan perasaan kasih sayang terhadap mereka. Ibu bapa sebagai entiti mithali kepada anak-anak juga sewajarnya memberikan kata-kata motivasi dan bimbingan kepada anak mereka yang sedang menghadapi apa-apa jua cabaran. Impaknya, remaja akan berasa dihargai dan tidak akan meragui kebolehan serta keunikan diri mereka. Sudah terang lagi bersuluh pelajar yang mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dibentuk menerusi institusi kekeluargaan yang kukuh dan penuh kasih sayang.
 
     Lensa perbincangan dicapahkan lagi dengan mengulaskan isi seterusnya iaitu media massa haruslah menyebarkan maklumat tentang kepentingan keyakinan diri. Media massa seperti televisyen dan radio haruslah dijadikan platform untuk menghebahkan informasi mengenai keyakinan diri dalam kalangan pelajar secara meluas. Sehubungan dengan itu, penerbit siaran televisyen haruslah mengadakan dokumentari serta menyiarkan rancangan serta filem-filem yang meningkatkan keyakinan diri seseorang individu. Misalnya, penerbit tersebut boleh menyiarkan filem Leftenan Adnan Saidi. Filem tersebut menceritakan keberanian tokoh negara, iaitu Leftenan Adnan Saidi dalam pertempuran di Bukit Candu menentang tentera Imperial Jepun. Hal ini demikian kerana filem seperti ini dapat meniupkan kesedaran dan pengajaran agar sentiasa berani untuk berjuang demi masa hadapan. Implikasinya, kita dapat membentuk pelajar yang berkeyakinan tinggi dan tidak mudah goyah dalam menghadapi onak pancaroba dalam kehidupan. Tuntasnya, peranan media massa amat kritikal dalam meningkatkan keyakinan diri pelajar.
 
     Sebagai penghias akhir bicara, tiada penyakit yang tiada ubatnya, tiada racun yang tiada penawarnya. Oleh itu, semua lapisan masyarakat haruslah bekerjasama bagai ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam usaha mengatasi masalah kekurangan keyakinan diri dalam pelajar. Sebagai rakyat Malaysia, pelajar haruslah mengambil inisiatif untuk membaiki kelemahan diri. Menurut ayat 11 surah Ar-Ra’d, “Sesungguhnya Allah tidak membantu keadaan sesuatu kaum jika mereka sendiri tidak membantu keadaan mereka.” Marilah kita bersama-sama merealisasikan impian kerajaan untuk membentuk pelajar yang yakin yang mentransformasikan negara agar dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain seperti Jepun dan Amerika.


Tags:

Post a Comment

1Comments

Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!