BENTUK-BENTUK
BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR
Banjir adalah merupakan antara fenomena bencana alam yang sering melanda negara kita, Malaysia. Sesuai dengan peribahasa Melayu iaitu malang tidak berbau, beberapa negeri di negara kita kerap kali menghadapi hujan lebat secara tiba-tiba yang berpanjangan sehingga beberapa hari. Buktinya ialah bencana banjir besar yang melanda Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan pada penghujung tahun 2021. peristiwa itu menyebabkan ribuan kediaman ditenggelami air dan berbelas-belas ribu penduduk perlu dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir. Oleh itu, sebagai rakyat yang prihatin terdapat beberapa bentuk bantuan yang boleh kita salurkan kepada mangsa-mangsa bencana tersebut.
Cetusan idea saya
yang pertama ialah kita boleh memberikan bantuan dalam bentuk sumbangan
bahan-bahan makanan serta pakaian harian. Hal ini dikatakan demikian kerana
pakaian-pakaian yang bersih dapat memastikan keselesaan para mangsa banjir
sekali gus mengekalkan kestabilan emosi mereka. Selain itu, umum sedia tahu
bahawa banjir juga boleh menyebabkan makanan dan sumber air tercemar dengan
kotoran dan kuman. Maka, penyediaan bahan makanan yang berkhasiat dan dijamin
kebersihannya dapat mengelakkan wabak penyakit seperti keracunan makanan dalam
kalangan mangsa. Pihak kerajaan serta organisasi-organisasi bukan kerajaan
wajarlah menggerakkan pengutipan ataupun pemberian sumbangan ini. Ternyata bahawa
bahan makanan serta pakaian harian
merupakan antara bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada mangsa-mangsa
banjir.
Melihat dari
perspektif yang seterusnya, bantuan berbentuk pelajaran boleh disumbangkan oleh
para sukarelawan. Menurut Nelson Mandela, ‘Pendidikan adalah merupakan senjata
paling ampuh yang mampu untuk mengubah dunia’. Sehubungan dengan itu, para
sukarelawan seperti pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta
mahasiswa dan mahasiswi dari universiti tempatan boleh menghulurkan bantuan
pendidikan. Perkara ini dapat direalisasikan dengan mengadakan tuisyen atau
kelas harian di pusat-pusat pemindahan banjir. Usaha ini pastinya dapat
menyumbang kepada pembinaan generasi masa hadapan yang berdikari dan
berpendidikan tinggi kerana tetap menimba ilmu walaupun ditimpa dengan bencana.
Jelaslah, bantuan berbentuk pelajaran akan dapat membantu mangsa-mangsa banjir.
Meninjau daripada
skop yang terakhir, bantuan kesihatan boleh diberikan oleh pihak-pihak yang
bertanggungjawab. Kementerian Kesihatan Malaysia perlulah melakukan pemeriksaan
kesihatan secara berkala terhadap para mangsa banjir. Hal ini dikatakan
demikian kerana bencana banjir boleh mengakibatkan gangguan kesihatan secara
fizikal dan emosi kepada para mangsa. Sehubungan dengan itu, khidmat kaunselor
juga seharusnya disediakan untuk memberikan dorongan dan sokongan emosi buat
mangsa-mangsa banjir yang terlibat. Sudah terang lagikan bersuluh bahawa
bantuan kesihatan semestinya dapat membantu para mangsa banjir sekiranya usaha
ini bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.
Secara holistiknya,
bantuan dalam pelbagai bentuk sememangnya perlu untuk diberikan kepada
mangsa-mangsa banjir. Sebagai negara yang bersatu padu dan mempunyai hubungan
yang erat dalam kalangan masyarakatnya, kita mestilah menghulurkan sedikit
sebanyak bantuan agar para mangsa dapat meneruskan kehidupan mereka. Besarlah harapan
saya agar semua pihak dapat berganding bahu bagai ke bukit sama didaki, ke
lurah sama dituruni untuk membantu para mangsa banjir. Sekiranya bantuan ini
tidak disumbangkan, nescaya perpaduan dan ekonomi negara akan mundur.