Jangan Buat Cikgu Macam Kawan; Akhlak Dijaga, Biadab Jangan!

Cikgu Muzz
By -
0

 


Guru. Seorang guru tugasnya mengajar di sekolah. Guru mengajar ilmu pendidikan berteraskan akademik. Guru juga mendidik anak-anak murid menjadi insan yang memiliki nilai-nilai murni. Dalam usaha menjadi seorang murid yang berjaya, keberkatan ilmu itu adalah sesuatu yang sangat penting. Hendak berjaya dalam pelajaran, bukan semata-mata bersandarkan guru di sekolah. Boleh jadi atas usaha keras sendiri, dorongan biu bapa, kelas tambahan dan tuisyen dari luar sekolah dan lain-lain. Namun, betapa kecil nampak pada mata tentang sumbangan seorang guru di sekolah, jangan sesekali biadab dengan mereka. Bahaya! Keberkatan dalam menuntut ilmu boleh hilang! Jangan sesekali mencarik hati dan perasaan cikgu dengan tingkah kata yang biadab! Kelak boleh berselirat laluan masa hadapan dalam jangka hayat.

Dulu. Cikgu sangat-sangat dihormati. Cikgu dipandang tinggi dalam institusi sosial. Di sekolah murid hormat kepada cikgu. Lawan mata ketika bertegur sapa dengan guru pun takut-takut. Suara dijaga nada. Tutur kata ditapis sehabis daya. Adab sopan dijaga. Tak suka dengan seseorang cikgu itu sekalipun tidak ditunjuk terang-terangan, apatah lagi dengan tindakan yang sengaja kurang ajar.

Sayang seribu kali sayang... Adab kebanyakan murid zaman moden ini semakin luntur-selunturnya. Murid tidak lagi memandang guru sebagai insan yang memberi ilmu dan mendidik jiwa. Ada yang langsung tidak menghormati guru dengan sengaja. Ada juga yang tidak sedar bahawa dari pertuturan dan perlakuan mereka sebenarnya sudah melambangkan bahawa adab mereka dengan guru sudah sifar belaka.

Guru bukan meminta mereka dijunjung hingga ke langit. Guru bukan perlu ditakuti. Guru hanya perlu dihormati. Ucaplah salam dengan santun. Fokus dan diam ketika guru mengajar. Aktif dalam pembelajaran dalam kelas. Bercakap dengan guru ada had batasannya. Jangan berbual dengan guru seperti berbual dengan rakan-rakan. Jangan gunakan bahasa slanga ketika berbicara dengan guru. Jangan bergurau dengan cikgu seperti bergurau dengan rakan-rakan. Jangan tidur dalam kelas ketika guru mengajar. Jangan tunjuk muka bosan  ketika belajar. Jangan dengan sengaja tidak menyiapkan kerja sekolah.


Tipulah kalau cakap ada cikgu yang kita tak suka. Ada cikgu yang kita tak gemar personalitinya. Ada cikgu yang tak masuk dengan jiwa kita. Ada cikgu yang tak boleh hadam cara pengajarannya. Percayalah, dengan kita menyisih ke tepi semua rasa tidak suka kepada guru itu dan menerimanya dengan seadanya, laluan hidup kita akan lebih berkat. Hal ini demikian kerana kita berusaha menghormati guru itu walau dalam apa-apa jua keadaannya, dan bukankah Tuhan sedang melihat segala perlakuan kita saat itu. Apakah balasan buruk yang akan ditimpakan kepada kita sedang kita berusaha menyantuni seorang guru dengan baik?

Teringat saya ketika di Prauniversiti Rendah, di SMK Tinggi Bukit Mertajam. Ketika itu bangunan 6 Rendah di belakang sekali, hampir ke pagar pemisah dengan sekolah rendah SK Stowel. Pohon-pohon besar tersusun dengan gemersik daun ditiup angin. Waktu 12.00 tengah hari ke atas memang meronta matn untuk lena. Ada sehari itu sampai tersengguk-sengguk kepala ketika subjek Perniagaan. Mujur cikgu tak sedar. Usahakan juga menongkat mata. Biadab sekiranya lena ketika guru berada di dalam kelas! Itu yang saya pegang dalam kamus hidup.

Anak-anak, para murid sekolah yang terbaca catatan ini... Sebagai seorang manusia tidak ada yang sempurna dalam kalangan kita. Baik murid atau guru, sama-sama punya lebih dan kurangnya. Namun, catatan ini hanya mengajak anak-anak untuk menghormati guru. Hormatilah guru. Hormatlah cikgu. InsyaAllah akan tenang dan bahagia hidupmu...

Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn more
Ok, Go it!