Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa berlegar-legar sekitar watak
utama, iaitu Adnan. Pada peringkat awal penceritaan, novel ini mengisahkan
kehidupan Adnan semasa kecil. Beliau dilahirkan di sebuah kampung di Sungai Ramal, Selangor. Rata-rata penduduk
kampung itu masih berada dalam kemiskinan. Kehidupan mereka bergantung pada sawah
dan kebun getah yang luasnya sekadar cukup makan sahaja. Keadaan ini turut
dirasai oleh Pak Saidi dan Mak Milah, iaitu bapa dan ibu Adnan yang membesarkan
tiga orang anak, iaitu Adnan, Ahmad, dan
Amarullah. Adnan merupakan anak sulung keluarga Pak Saidi. Sewaktu masih kecil, Adnan
merupakan anak yang rajin membantu keluarganya dan taat akan perintah orang
tuanya. Walaupun usianya baru mencecah sepuluh tahun, setiap pagi Adnan akan
pergi ke kebun getah untuk membantu orang tuanya menoreh getah. Selain itu, dia
mengerjakan sawah bendang.
Pak Saidi sebenarnya
berketurunan pahlawan. Beliau sengaja merahsiakan keturunannya kerana khuatir
akan diburu oleh pihak penjajah kerana moyangnya menjadi orang buruan Inggeris.
Darah kepahlawanan itulah yang mengalir dalam jiwa Adnan. Semangat patriotik
yang dimiliki oleh Pak Saidi amat tebal. Pak Saidi amat mengambil berat tentang
sejarah tanah air. Beliau senantiasa menekankan peri pentingnya orang-orang
Melayu mengubah kehidupan di negara sendiri. Para penjajah telah mengambil
kekayaan negeri ini dan menjadikan kaum peribuminya hidup dalam kemiskinan.
Nasib orang-orang Melayu terpinggir dan tidak terbela. Pak Saidi tidak mahu
anak-anaknya mewarisi pekerjaannya. Pak Saidi memiliki keazamanan yang tinggi terhadap
masa depan anak-anaknya. Pengetahuan Pak Saidi tentang sejarah tanah air
dikagumi oleh penduduk kampungnya.
Sejak kecil, Pak Saidi tidak
mengabaikan tanggungjawab memberikan didikan terbaik untuk anak-anaknya. Pak
Saidi mahukan anak-anaknya berbakti kepada agama, bangsa, dan tanah air. Pak
Saidi sedar bahawa dengan ilmu pengetahuan
sahajalah negara akan dapat dibangunkan. Pihak penjajah sememangnya tidak suka orang-orang
Melayu menjadi pandai. Atas dasar itu, Pak Saidi berhasrat mahu menghantar
anak-anaknya mendapatkan ilmu pengetahuan di sekolah aliran Inggeris. Tindakan Pak
Saidi itu mendapat tentangan daripada masyarakat kampung yang khuatir anak-anak
Pak Saidi akan diresapi pengaruh agama Kristian, dan seterusnya menjadi murtad.
Adnan bersekolah di sebuah
sekolah aliran Inggeris. Di sekolah, Adnan terkenal sebagai pelajar yang rajin
dan pintar. Sikap ringan tulangnya amat disenangi oleh temanteman dan juga
guru-guru sekolah. Adnan menyatakan cita-citanya untuk menjadi askar. Setelah
tamat persekolahan, dia diterima menjadi guru pelatih di Sekolah Melayu Sungai
Ramal. Namun begitu, bidang perguruan bukanlah minatnya. Cita-citanya hanyalah
satu, iaitu untuk menjadi askar. Adnan terpilih menjadi askar dalam temu duga
yang diadakan di Port Dickson. Adnan berkahwin dengan Sophia. Adnan membawa
isteri dan anak-anaknya ke Singapura. Namun, Adnan terpaksa menghantar
anak-anak dan isterinya pulang ke kampung apabila mendengar berita Jepun akan
menyerang Singapura.
Pada Sabtu 6 Disember 1941,
suatu persidangan telah berlangsung di Manila yang dihadiri pegawai-pegawai Tentera
Laut Amerika Syarikat dan British. Laporan perisikan menyatakan bahawa angkatan
laut Jepun telah belayar menuju ke Asia. Risikan mendapati
sekurang-kurangnya 25 buah kapal
pengangkut yang diiringi oleh kapal tempur, kapal penjajap, dan kapal pembinasa
sedang menuju ke Laut China Selatan. Hal
ini merupakan isyarat yang jelas bahawa
Jepun akan terlibat dalam Perang Dunia Kedua.
Batalion Kedua Askar Melayu
ini ditempatkan di Kelantan menentang
pendaratan askar Jepun dan mereka
terlibat dalam pertempuran di Pantai Cahaya Bulan pada 8 Disember 1941. Pada
hari pertama askar Jepun mendarat, mereka telah ditentang hebat oleh askar Melayu
yang dibantu oleh tentera India British yang berkubu di sepanjang pantai. Pada hari kedua,
kapal-kapal perang Jepun telah melepaskan tembakan di sepanjang pantai menyebabkan
banyak askar terkorban. Askar Melayu terus bertahan dan berjaya menggagalkan
pendaratan askar Jepun. Namun begitu, pada hari yang ketiga, Askar Melayu yang
sedang bertempur diarahkan supaya berundur. Askar Jepun akhirnya berjaya mendarat
di Kelantan setelah tiga hari bertempur.
Pada mulanya British begitu
yakin akan kekuatan tenteranya untuk menangkis serangan askar Jepun. Sebaik-baik
sahaja mendapat laporan bahawa tentera Jepun akan mendarat di Kota Bharu,
Inggeris telah menghantar askarnya berkubu di sepanjang pantai. British juga
menghantar dua buah kapal perang, iaitu Prince of Wales dan Repulse untuk mempertahankan Tanah
Melayu. Malangnya, kedua-dua buah kapal perang kebanggaan British itu berjaya
ditenggelamkan oleh kapal terbang Jepun
yang melakukan serangan kamikaze. Berita tenggelamnya dua buah kapal perang itu telah
mengejutkan British sekali gus
melemahkan moral dan semangat askarnya.
Pihak Inggeris percaya bahawa
kubu pertahanannya di Singapura kebal. Malah Inggeris yakin bahawa kubunya di
Singapura itu tidak akan dapat ditembusi oleh askar Jepun. Dalam pertempuran di
Kelantan dan di Singapura, askar Melayu telah menunjukkan keberanian dan
semangat keperwiraan yang hebat. Sebanyak 152 orang askar Melayu, termasuk 7
orang pegawai Melayu yang dipinjamkan ke Rejimen Askar Melayu terkorban. Antara
pegawai askar Melayu yang terkorban itu
termasuklah Leftenan Adnan bin Saidi. Beliau bersama-sama 42 orang anggotanya
telah berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Pada 15 Februari 1942, askar Jepun berjaya
menakluki Singapura setelah berlaku pertempuran yang hebat. Akhirnya, British terpaksa
menyerah kalah kepada Jepun.