Judul: Melati, Bunga Tidak Mewangi
Penerbit: Tinta Mell Enterprise
Penulis: Mell Mariann
Tahun: Oktober 2020
Bilangan Halaman: 445 muka surat
Sinopsis:
Melati.
Hadirnya dia ke dunia tidak dipinta. Hadirnya dia ke dunia ini tidak didamba.
Hadirnya dia ke dunia ini tidak dinanti. Hadirnya dia ke dunia ini tidak dirai.
Namun, Tuhan itu adil. Dalam pada kewujudan Melati itu berlaku secara tanpa
rela, namun Melati dianugerahakn dengan paras yang cukup jelita. Ramai orang
mendambakan kejelitaan, apatah lagi jika ianya seorang gadis yang fitrahnya di
situ. Malangnya, jelita wajahnya turut mengheret Melati dalam dakapan lelaki
bertunjangkan nafsu tanpa ikatan yang sah. Melati mengulangi sejrah neneknya,
Kemboja dan ibunya Melur bagaikan satu sumpahan yang tiada noktah. Takdir mengubah
seorang Melati yang polos kepada seorang wanita yang matang dengan permainan
dunia. Kehadiran Nazeem secara tanpa sengaja buat kali pertama dalam hidupnya
menjadi pertemuan kali kedua yang diinginkan oleh lelaki itu. Namun, pertemuan
kali kedua ini Melati gunakan sebaik-baiknya. Nazeem seorang lelaki pertengahan
usia dengan gelaran Tan Sri itu harus menjadi jambatan untuk segenggam dendam
yang selama ini mengikat jiwa Melati. Apatah lagi dendam itu bukan sekadar
miliknya sebaliknya turut mengheret Melur, si ibu malang yang warasnya sudah
lama tiada.
Keterangan Penulis:
Mell Mariann
bukan satu nama yang terlalu mentah dalam dunia penulisan. Sebelum kehadiran
naskah Melati, Bunga Tidak Mewangi; Mell Mariann sudahpun memiliki tujuh buah
novel, antaranya Tulang Rusuk Mr Duncan, Big Boss I Need You dan Semanis Mimpi.
Penulisnya seorang yang terbuka menerima pandangan pembaca apabila
mengalu-alukan ulasan pembaca menerusi status beliau di akaun Facebook
personalnya.
Ulasan:
Naskhah ini
pertamanya menarik hati kerana judul dan tata rias kulit hadapannya. Benar kata
orang don’t judge a book bt it’s cover.
Tetapi percayalah... Kulit hadapan memainkan peranan yang sangat besar dalam
menjentik hati dan keinginan seseorang untuk membelek buku tersebut mengitari
sinopsis dan blurb yang terpapar pada kulit hadapan. Cumanya, kesilapan cetakan
dengan adanya pengulangan beberapa perenggan sebanyak dua kali sedikit
mencantas rasa, di samping dua tiga kesilapan ejaan yang wujud dalam naskhah
ini. Begitupun, novel cetakan pertama diterbitkan oleh penulis ini wajar diberi
pujian. Adunan novel Melati, Bunga Tidak Mewangi cukup sekata. Siapa sangka
hampir kesemua watak-watak sampingan yang menonjol dalam novel ini mempunyai
pertalian antara satu sama lain. Persoalan demi persoalan yang tidak
berpenghujung akhirnya bernoktah dengan satu jawapan yang cukup mengejutkan.
Nak tahu apa jawapannya yang mengejutkan? Melati, Bunga Tidak Mewangi pasti
membuai rasa anda!
★★★★