Tiara
kelewatan. Pertemuan dengan Datin Maizurah tidak berjalan lancar. Ada sahaja
yang tidak kena pada pandangan wanita di usia pertengahan abad itu. Tiara
lelah! Kadang-kadang karenah pelanggan yang terlalu cerewet sungguh merimaskan.
Tetapi dia tidak punya pilihan. Tiara bukan bos untuk senang-senang membatalkan
sesuatu urusan. Dia hanya kuli yang makan gaji. Ada ketika terlintas di
fikirannya untuk berhenti dan bekerja di syarikat milik papanya sahaja. Tetapi
fikiran sebegitu dicantas sehingga itu sahaja. Buah fikiran yang datang ketika
kekusutan ada saatnya hadir menerusi bisikan syaitan. Makanya, bisikan-bisikan
seperti itu Tiara tidak ambil kira. Lagi pula hanya sebilangan pelanggan sahaja
yang cerewet, selebihnya memang sering memuji hasil rekaannya. Hon
kenderaan yang berbunyi dari belakang menyedarkan Tiara daripada lamunan. Agak
lama Mazda 6 miliknya berhenti di hentian isyarat bulatan Seberang Jaya
membuatkan fikirannya terbang melayang. Menyedari khilaf di pihaknya, Tiara
pantas menurunkan break tangan dan menekan pedal minyak. Mazda 6 merah itu
dipandu menuju bangunan yang menempatkan Pyramid Creative. Tiara
sedikit gopoh. Tanpa melihat Vintage Omega yang tersarung di pergelangan
tangannya sekalipun dia sudah maklum bahawa kali ini dia benar-benar
terlewat.Bukan seminit dua bahkan lebih
daripada itu. Jam tangan diintai sekilas. Jarum menunjukkan 2.20 minit petang.
Maknanya da sudah terlewat 20 minit. Ini semua gara-gara Datin Maizurah.
Perbincangan yang sepatutnya menjadi mudah bertukar jadi sukar. Pelbagai
perubahan terpaksa dilakukan pada rekaan yang telah disediakannya itu. Ketika
hendak meninggalkan banglo kepunyaan wanita korporat itu, tiba-tiba sahaja dia
diajak sama untuk meninjau taman di perkarangan banglo mewah itu. Pada mulanya Tiara menolak. Tetapi apabila Datin Maizurah
menyebut nama Tuan Haji Minhad Muhaimin, bos besar Pyramid Creative, Tiara
sudah tidak mempunyai pilihan lagi. Kata Datin Maizurah, pasti Tuan Haji akan
marah jika mengetahui ada di antara para pekerjanyayang tidak pandai menjaga hati
pelanggan-pelanggan Pyramid Creative. Bagi
Tiaraa pula, bukan kemarahan Tuan Haji Minhad Muhaimin yang digeruni, tetapi
kepuasan pelanggan yang menjadi keutamaan prinsip diri.Lalu jika kesudiannya memberikan pandangan
dan buah fikiran tentang taman di astana itu mampu menggembirakan hati Datin
Maizurah, maka dia akan menuruti kemahuan wanita elegan itu. sejujurnya,
Farisha sendiri tak pasti mengapa tiba-tiba pandangan dirinya dituntut. Sedangkan
rekaan dalaman ruang taman banglo itu yang disiapkannya itu pun dikritik oleh
Datin Maizurah. Jadi untuk apa khidmatnya ditagih untuk halaman laman pula?
Tambahan pula skop kerja Tiara di Pyramid Creative tidak meliputi seni hiasan
laman dan taman. Barangkali jambangan lili putih yang diberikan awal tadi,
mungkin? Tiara
sudah sampai di ruang pejabat. Pintu kaca ditolak. Penyambut tetamu masih setia
dengan senyuman. Isyarat mata Ika, penyambut tetamu di Pyramid Creative sudah
cukup menunjukkan bahawa dia sudah terlewat untuk menghadiri mesyuarat
tergempar pada petang itu. bergegas Tiara ke bilik mesyuarat. Dia sudah tidak
punya masa untuk merapikan penampilannya. Bilik mesyuarat terus diterpa. Tetapi
malang bagi Tiara. Bagaikan nangka busuk, dia jatuh terduduk di situ. Seluruh
isi bilik mesyuarat memberikan perhatian kepadanya. Tiara
mengadu kesakitan. Tetapi hanya perlahan bunyi suaranya. Seakan-akan berbisik.
Takkanlah dia mahu menjerit sakan macam dalam sinetron Indonesia pula kan? Dia
cuba bangun. Tetapi kakinya tidak stabil. Baru Tiara perasan sebelah tumit
tingginya sudah patah. Patutlah dia boleh terjatuh. Entah macam mana boleh
patah pun dia tidak tahu. Bukannya dia beli di Jalan Tunku Abdul Rahman atau
Petaling Street. Ini tumit tinggi original punya tau! Dah nasib dia petang itu,
nak buat macam mana. Sabar sajalah Farisha! Tidak
mahu meneruskan drama sebabak, Tiara pantas menanggalkan kasut tumit tingginya.
Hujung jemari memegang tali sepasang kasut tumit tinggi. Dan dengan selambanya Tiara
berjalan menuju ke arah teman-teman sepasukannya yang sedang memerhatikannya
dengan wajah simpati. Sampai di sebelah Ikram, Tiara duduk. Tempat kosong itu
memang untuknya. Sudah dia seorang sahaja yang belum mengisi ruang kosong dalam
bilik mesyuarat itu. Tumit tinggi dilepaskan ke bawah. Permaidani tebal yang
mengalas lantai di bilik mesyuarat itu menghalang sebarang bunyi daripada
tindakan spontannya yang bagaikan melepas geram kepada tumit tinggi itu! Tuan
Haji Minhad Muhaimin berdeham. Barangkali ingin membawa kembali situasi bilik
mesyuarat kepada perbincangan yang sudah tertangguh ekoran insiden yang tidak
diundang. “Hurmm,
Tiara baru habis perbincangan dengan Datin Maizurah ke?” Tanya Tuan Haji Minhad
Muhaimin. Pandangan mata bos besarnya itu memang betul-betul menikam sepasang
anak mata Farisha. “Ya,
Tuan Haji. Sebenarnya perbincangan tentang rekaan ruang tamu banglo tu dah
habis awal. Tapi lepas tu, Datin ajak saya tinjau taman di perkarangan banglo,
nak minta pandangan saya katanya. Saya nak tolak pun rasa serba-salah. Datin
Maizurah kan pelanggan tetap dan setia Pyramid Creative. Lagipun Encik Jay ada
pesan dekat saya suruh layan Datin Maizurah elok-elok.” Terang Tiara. Sempat
lagi dikaitkan nama Encik Jay. Kononnya mahu lelaki itu menyokongnya. “Saya
tahu, Tiara. Datin dah mesej saya beritahu awak akan masuk lambat. Saya tak
marah. Malah saya puji sikap awak yang sanggup layan permintaan tambahan
pelanggan. Mana tahu selepas ni, Datin Maizurah mahu gunakan khidmat kita untuk
ubah suai taman dia pula? Pyramid Creative juga yang untung kan?” Balas Tuan
Haji Minhad Muhaimin pula. “Oh
ya, awak dah ketinggalan satu makluman penting. Tak mengapa saya ulang sekali
lagi. Mulai esok saya akan bercuti hingga ke pertengahan Syawal. Saya dan
isteri nak ke tanah suci. Dan sementara itu Encik Jay akan ambil alih tempat
saya buat sementara. Manakala, anak saudara saya, Faliq Zaquan akan meneruskan
kerja-kerja Encik Jay. Pendek kata, Faliq akan jadi bos kecil awak mulai esok!”
Jelas Tuan Haji Minhad Muhaimin sambil mengunjukkan tangan kepada seorang
jejaka yang duduk bersebelahan dengannya.
Mata
Tiara terjojol saat terpandangkan lelaki itu. Faliq Zaquan. Nama baru pertama
kali dia dengar. Tetapi rupa lelaki itu, masuk yang ini sudah tiga kali dia
bertembung. Takdir apakah ini Tuhan? Kenapa mamat sengal bermulut puaka ini
harus menjadi bos kecilnya? Tambah-tambah waktu sibuk di musim perayaan
sebegini. Tiara sendiri baru berkira-kira untuk membincangkan dengan lebih
terperinci dengan bos kecilnya tentang ubah suai pelan hiasan dalam ruang tamu
Datin Maizurah. Jika mulai esok, Encik Jay akan mengambil alih posisi Tuan Haji
Minhad Muhaimin, maknanya, dia terpaksa berhadapan dengan mamat sengal itu
untuk membincangkan skop kerjanya!Oh My
Gucci! Ah,
nampak gayanya aku memang kena baca buku yang mamat itu beri di awal pagi tadi.Bisik hati Tiara sambil tangannya menyelak
beg tangannya, lalu terserlahlah judul buku yang diberikan Faliq Zaquan tadi.
‘Indahnya Sabar’. Macam tahu-tahu pula dia yang aku memang amat memerlukan
kesabaran selepas ini!
******
Di
Pyramid Creative, Tiara resah memikirkan hari-hari mendatang yang terpaksa
dilalui bersama Faliq Zaquan. Tetapi sebaliknya pula yang berlaku di banglo
mewah Datin Maizurah. Wanita separuh abad yang masih elegen itu sedang
bersantai di sofa Cleopatra. Sambil jari-jemari membelek majalah Saji keluaran
terkini, bibir wanita itu mula senyum sumbing. Sebenarnya fikiran Datin
Maizurah sedang hanyut. Hatinya sudah jatuh suka pada Tiara. Lantaran itu dia
bersikap terlebih cerewet dan mengada-ngada pada hari itu. Itu merupakan ujian
pertama buat Tiara. Ujian kedua, apabila dia meminta Tiara melihat dan meninjau
taman di perkarangan banglonya. Pada awalnya gadis itu keberatan kerana
mempunyai komitmen tugas di pejabat. Tetapi akhirnya Tiara setuju juga.Secara tidak langsung Tiara sudah lulus dalam
dua ujian yang dilakukannya pada hari itu. Datin
Maizurah bukan saja-saja mahu menguji Tiara. Dia sekadar mahu tahu sejauh mana
kesabaran dan sifat-sifat dalaman lain tentang gadis itu. Kata orang jika
sedang marah dan tertekan, manusia akan mempamerkan sikap yang sebenar kerana
tidak mampu berpura-pura pada ketika itu. Sejauh mana kebenarannya, Datin
Maizurah tidak tahu. Apa yang dia tahu, Tiara sudah lulus tahap pertama untuk
menjadi bakal menantunya! Ya, bakal menantu. Dia mahu padankan Tiara dengan
anak teruna bongsunya, Faisal Fathuddin. Anak teruna yang sudah hampir ke
pertengahan 30-an tetapi masih membujang. Lagipun, Tiara bukan siapa-siapa.
Anak kawan lama. Kebetulan Datin Maizurah terjumpa Datin Khalidah di Kuala
Lumpur beberapa minggu lalu. Dan ketika itulah terbuka cerita tentang Tiara.
Datin Maizurah yang sudah lama berurusan dengan Tuan Haji Minhad Muhaimin,
mudah saja menjalankan misi untuk meminta Tiara mereka hias ruang tamu
banglonya dengan tujuan mengenali rapat gadis itu. “Harap-harap
rancangan aku ni akan menjadi.” Spontan terluah bicara di bibir Dtain Maizurah. Bibik
yang kebetulan sedang mengemas di situ berasa hairan. Datin Maizurah sedang
bercakap dengannyakah? “Apa
yang akan jadinya, Datin?” Tanya bibik polos. Datin
Maizurah terkejut pula dengan suara bibik yang terlebih merdu menyapa gegendang
telinganya. “Sibuk
ajalah kamu ni, Sari! Ada aku cakap dengan kamu ke? Dah, pergi masuk dapur,
buat apa yang patut untuk berbuka nanti.” Arah Datin Maizurah. Bibik
hanya menurut. Sebagai pekerja yang agak lama di banglo itu, bibik sudah masak
dengan fiil majikannya. Sarang tebuan usah dijolok.
******
Seminggu
bekerja di bawah arahan Faliq Zaquan, kehidupan Tiara sudah berubah seratus
peratus. Jika dahulu kerjayanya terasa indah, tetapi sekarang batinnya merana
terseksa. Saban hari ada sahaja yang tidak kena di mata Faliq Zaquan.
Kadang-kadang rekaannya diibaratkan seperti sampah. Masakan tidak?
Penat-penatTiara memerah idea sampaikan
tidur dua tiga pagi, senang-senang mamat sengal itu reject proposal yang
disediakannya. Kalau setakat reject
tak mengapa. Tiara boleh bersabar lagi. Ini siap datang berpakej dengan kutukan
dan sindiran lagi. Lepas tu disuruhnya Tiara siapkan rekaan baharu. Kalau dah terror sangat, kenapa tak siapkan saja
rekaan itu sendiri? Hari
ini Tiara lemah sahaja melangkah ke pejabat. Semalaman dia tidak tidur
menyiapkan rekaan baharu untuk ruang tamu banglo Datin Maizurah. Jika pertemuan
terdahulu dengan Dati Maizurah, wanita itu yang menyuruh Tiara membuat
penambahbaikan, tetapi sejak kemunculan Faliq Zaquan, sudah dua kali perubahan
yang dilakukan terhadap rekaan dalaman banglo mewah itu ditolak mentah-mentah
oleh lelaki itu.Ini menyebabkan
pertemuan yang dijanjikan bersama Datin Maizurah terpaksa dibatalkan. Petang
ini Tiara sudah menetapkan janji temu bersama Datin Maizurah. Dia berharap rekaan
kali ini akan dipersetujui oleh Faliq Zaquan dan diterima oleh Datin Maizurah.
Dia sudah penat asyik memikirkan dua nama ini sejak akhir-akhir ini. Teman
serumahnya juga sedar akan perubahan lakunya lewat seminggu ini. Tiara yang
riang sudah bertukar jadi muram. Ada juga Watie dan Saleha bertanyakan
perubahan Tiara itu. Namun, Tiara lebih senang memendam cerita sendiri. Fikiran
yang melayang membuatkan pemanduan Tiara tidak lancar. Mazda 6 yang dipandu
tidak senada. Kawalan stereng juga tidak sebaik selalu. Jasadnya sedang berada
dalam kereta, sebaliknya jiwa dan minda Tiara tidak sudah-sudah memikirkan
reaksi Faliq Zaquan tentang rekaan terkini ruang tamu banglo Datin Maizurah
yang disiapkannya. Tanpa sedar Mazda 6
Farisha hampir tersasar ke lorong sebelah kanan di jalan berkembar itu. Hon
kuat kereta di belakang mengejutkan Tiara. Pantas break kaki ditekan. Mazda 6
terberhenti di bahu jalan. Di
belakang, ada sebuah kereta lagi turut sama berhenti di laluan kecemasan.
Pemandunya keluar. Seorang lelaki. Daripada pakaian yang dikenakan seperti
seorang ahli korporat. Seluar slack garis halus kelabu dipadankan dengan baju
kemeja hijau muda polos. Penampilan lelaki itu dilengkapkan dengan tali leher
hijau tua berbelang putih. Rambutnya pendek dan digayakan ala Mohawak. Nampak
menarik dan kena dengan betuk wajahnya. Lelaki itu cemas sebenarnya. Dengan
pantas pintu kereta Bentley Continental GT V8 berwarna jingga ditutup. Mazda 6
merah yang tersadai di bahu jalan di hadapannya dituju. Sampai
di sebelah tingkap kereta pemandu, lelaki itu mengetuk cermin. Tiara yang
ketika itu sedang memejamkan mata terkejut. Sangkanya tadi dia sudah mati dan
berada di alam roh. Rupanya dia masih hidup. Tiara tarik nafas dalam-dalam.
Tangannya masih melekap di dada. Jantungnya berdegup laju. Kalah pelari pecut
100 meter.Sekali lagi kedengaran cermin
keretanya diketuk perlahan. Kali ini Tiara melihat siapa gerangannya. Melihat
lelaki asing yang tidak dikenali, Tiara hanya sekadar menurun cermin tingkap
separuh cuma. “Cik!
Cik tak apa-apa ke?” Soal lelaki itu. Tiara
mengerdipkan matanya. Kenapa dengan aku? Apa yang dah berlaku? Persoalan itu
sekadar bermain dalam dirinya. “Rasanya
Cik masih terkejut.” Tambah lelaki tadi. “Tadi
Cik hampir tersasar ke lorong sebelah. Nasib baik saya nampak. Sebab tu saya
bunyikan hon dengan kuat. Bukan nak takutkan Cik. Tapi kebetulan lorong sebelah
tu ada lori balak sedang lalu, dan saya rasa Cik tak sedar pun akan kewujudan
lori balak tu. Melihat kereta Cik semakin hampir ke lorong sebelah, saya risau
ada apa-apa yang buruk akan terjadi. Itu yang hon terlama sedikit tadi. Maaflah
kalau buat Cik terkejut.” Terang lelaki tadi panjang lebar. Mungkin dia rasa
bersalah melihat wajah Tiara yang pucat. Sedangkan tindakannya tadi hanya spontan.
Dia sendiri tidak pasti sama ada gadis yang memandu Mazda 6 itu sedar atau
tidak dengan cara pemanduannya yang agak bahaya itu. “Oh,
saya rasa macam tak ingat apa yang berlaku tadi.” Luah Tiara pendek. Lelaki
itu sekadar memerhati. Nampaknya Tiara masih lagi terkejut. Lemah semangat
mungkin gadis ini. “Cik,
rasa-rasanya Cik boleh memandu lagi tak? Kalau tak boleh, saya boleh tolong
hantarkan.” Pelawa lelaki itu. Tiara
memandang pelik. “Sebelum
Cik berfikir yang bukan-bukan, saya bukan orang jahat. Cik boleh tengok kat
belakang tu ada kereta saya. Saya bukan nak ambil kesempatan ke apa, Cuma
sekadar membantu. Lagipun ini bulan puasa kan, tak salah menolong orang yang
memerlukan.” Jelas lelaki itu. “Kalau
awak nak tolong hantar saya, habis tu macam mana degan kereta awak? Tanya Tiara
kembali. “Tak
apa, saya tinggalkan di situ, nanti saya minta driver datang ambil dan follow
kita. Lepas hantar awak, saya dah boleh terus ke pejabat dengan driver saya
tu.”Terang lelaki tadi. Tiara
sekadar menganggukkan kepala. Tidak manis berterusan duduk di dalam kereta,
Tiara membuka pintu di ruang pemanduan. Dia keluar. Kereta masih bersimpang
siur di jalan raya. Langsung tidak menghiraukan dan lelaki asing yang pertama
kali ditemuinya itu. “Hello,
Assalamualaikum Abang Mat! Saya
dekat highway Seberang Jaya ni. Bertentangan
dengan Caltex. Bentley
saya ada tepi jalan. Abang
boleh cam kan? Saya
tengah tunggu. Okay...” Dalam
pada Tiara ralit memerhatikan keadaan jalan raya, rupanya lelaki itu sudah
menghubungi pemandunya.Tiara memberikan
sekuntum senyuman manis buat jejaka itu. Tampan juga orangnya. Baru Tiara
sempat meneliti raut wajahnya.Melihat
kebisuan dan kejanggalan, lelaki itu pantas bertindak. Kad perniagaan yang
tersimpan di dalam kocek dikeluarkan. Sekeping kad dihulurkan kepada Tiara. “Saya,
Faisal Fathuddin. Orang biasa panggil Faisal saja.” Faisal menghulurkan salam
perkenalan. Hanya anggukan kepala dan senyuman manis. Tidak ada salam yang bersentuhan. Hati
Tiara tersentuh. Pandai lelaki ini menjaga pergaulan. Sudahlah baik hati mahu
menolongnya. Budi bahasanya juga tinggi. Tidak seperti Faliq Zaquan yang
fiilnya mengalahkan perempuan yang hendak menopause! “Saya
Tiara. Nak panggil Tia pun boleh.” Tiara membalas salam perkenalan. Belum
sempat Tiara menambah bicara, sebuah motosikal menghampiri mereka.
Penunggangnya mengangkat tangan kepada Faisal. Faisal membalas. Pemboncengnya
kemudian turun dan mendekat Faisal selepas menyerahkan topi keledar kepada
penunggang motosikal itu tadi.Sejurus
itu, motosikal itu memecut meninggalkan mereka. “Tiara,
ini Abang Mat, pemandu di tempat kerja saya. Abang Mat, nah ni kunci kereta.
Abang Mat tolong bawa kereta saya tu. Follow kami dari belakang, ya?” Arah
Faisal dalam bentuk mintaan. Abang
Mat hanya mengangguk. Kunci kereta mula bertukar tangan. “Tiara,
jomlah kita gerak sekarang.” Ajak Faisal. Tiara
hanya mengangguk. Seketika, Tiara dan Faisal mula meninggalkan bahu jalan itu
menuju ke Pyramid Creative. Faisal jadi pemandu pada pagi itu manakala Tiara
pula sebagai penunjuk arah.
******
Tiara
menapak perlahan. Pejabat Pyramid Creative bertempat di salah satu tingkat di
bangunan yang tinggi melangit itu. semangat kerjanya sudah melayang. Jika tidak
kerana Datin Maizurah dan rekaan ruang tamu untuk banglonya, mungkin dia sudah
mengambil cuti pada hari itu. Cuti? Mahu mengaum harimau jantan seekor yang
menggantikan Encik Jay itu. Sampai di Pyramid Creative, pintu kaca ditolak. Ika
masih setia di ruang penyambut tetamu. Tanpa membuka peluang bicara bersama
Ika, Tiara pantas melangkah ke ruang kerjanya. Sampai
di partiton miliknya, mata Tiara disogokkan dengan sehelai memo yang sebesar
gedabak.
“Jumpa
saya dengan segera!!! – Faliq Zaquan” Tiara
mendengus. Apa lagi yang lelaki itu mahu? Diambilnya memo tadi. Direnyukkan
lalu dibuang ke dalam bakul sampah yang berhampiran. Selepas menyusun
barang-barangnya Tiara duduk di kerusi.Melepaskan lelah dan melapangkan dada. Bias terkejut peristiwa pagi tadi
masih terasa. Sepantas itu fikirannya melayang kepada Faisal. “Okay, Tia! Kita dah sampai.” Faisal
bersuara memecahkan sunyi antara dia dan Tiara. Mereka tidak banyak berbicara.
Kecuali untuk menunjuk dan bertanyakan arah ke pejabat Tiara sahaja. Mungkin
disebabkan pertemuan itu masih baru, lalu kedua-duanya kelu. “Awak,
terima kasih banyak-banyak tau. Tak sangka masih ada orang yang baik seperti
awak dekat dunia ni.” Tiara mengucapkan terima kasih kepada Faisal yang sudah
bebrudi kepadanya. “Tak
apa. Bukan ada apa-apa sangat pun. Okay,
Tia. Saya rasa awak pun dah lewat, saya pun ada kerja lagi ni. So, kita berbual
lain kali, ya? Nombor telefon saya ada di kad tu. Kalau tak keberatan boleh saya
tahu nombor contact Tia tak?” Soal
Faisal. Tiara
pantas memberikan kad peribadinya. Faisal terima dengan senyum lebar. Kemudian
lelaki itu masuk ke dalam Bentley Continental GT V8. Dan kereta mewah itu terus
memecut pergi. Tiara
teringatkan kad perniagaan pemberian Faisal. Dicarinya dalam tas tangan. Jumpa.
Dibacanya dengan teliti maklumat yang tertera pada kad itu.Setiap tulisan pada kad itu seolah-olah
menjelmakan senyuman Faisal. Manis. Tiara tersenyum. Baik betul lelaki itu. Tak
dikenali tetapi sudi membantu. “Hei,
ingat ini office bapa sendiri ke?
Orang lain tengah buat kerja dia boleh mengelamun!” Segah satu suara memetir! Tiara
terperanjat. Mujur tak terlatah! “Saya
dah suruh awak datang jumpa saya kan? Tak cukup besar ke memo tu?” Faliq Zaquan
masih lagi bersuara dengan lantang. Melihat
Tiara yang masih diam, Faliq Zaquan terus memberi arahan. “Masuk
sekarang! Bawa sekali rekaan ruang tamu untuk banglo Datin Maizurah sekali!”
Usai memberi arahan, Faliq Zaquan terus ke biliknya. Pintu dihempas. Kuat
bunyinya. Rakan-rakan sepejabat sekadar memandang simpati. Tiara
membuat muka tidak berperasaan. Dengan hati yang sebu dia melangkah masuk ke
pejabat Faliq Zaquan. Tangannya membimbit fail yang menyimpan rekaan ruang tamu
banglo Datin Maizurah. Hatinya sudah nekad. Hari ini dia tidak akan diam. Dia
akan melawan! Tiara hanya akan mengalah kepada yang layak menerimanya sahaja.
Bukan kepada manusia ego dan bongkak seperti mamat sewel bernama Faliq Zaquan
itu! Tanpa
mengetuk pintu, Tiara menonong masuk ke dalam bilik Faliq Zaquan. Tanpa disuruh
dia duduk bertentangan di hadapan ketua barunya itu. Fail dibuka dan rekaan
yang disediakan sehingga awal pagi tadi diserahkan kepada Faliq Zaquan. Beberapa
ketika ada jeda antara mereka. Tiara memandang siling. Faliq Zaquan pula
meneliti rekaan. Tetapi kesenyapan itu hanya seketika. “Tiara,
apa yang awak buat ni? Saya suruh awak buat penambahbaikan. Bukannya
menjahanamkan rekaan awak yang sedia jahanam sebelum ni! Suara Faliq Zaquan
meninggi. Tiara seperti sengaja mengujinya. Rekaan semalam jauh lebih baik
tetapi masih ditegur olehnya. Tetapi apa yang dihidangkan sebentar tadi begitu
meleset daripada jangkaan. Sangkanya ego Tiara akan tercalar dengan teguran
semalam. Dan kerana itu Tiara akan tampil dengan rekaan yang lebih
eksklusif.Sebaliknya apa yang baru
disaksikan oleh Faliq Zaquan, jauh tersasar. Rekaan ini seperti pelajar
praktikal yang langsung tiada pengalaman! “Awak
nak saya buat sangat kan? Hah, tu saya dah buatlah tu.” Tiara membalas. “Awak
jangan nak main-mainkan saya Tiara! Saya bos awak dekat sini tau! Jangan buat
syarikat ini serupa milik bapa awak sahaja!” Faliq Zaquan enggan mengalah.
Baginya Tiara sengaja mahu mencipta masalah dengan rekaan merapu itu. “Fine, awak bos dekat sini. Jadi saya
akan resign 24 hours. And rekaan ni
semua, just go to the hell.” Suara
Tiara nyaring membingit. Suaranya itu selari dengan perbuatan. Tangannya lincah
mengeluarkan beberapa helai kertas yang mengandungi rekaan sebenar yang telah
ditambah baik. Ditalakan betul-betul pada pandangan Faliq Zaquan. Kemudian Tiara
mengoyakkan kesemua rekaan itu lalu melempar ke arah muka Faliq Zaquan. “Nak
buli saya sangat kan? Now, rekaan
untuk Datin Maizurah punya ruang tamu dah kojol! Pandai-pandailah awak settle sendiri. Good bye! Adios!” Selesai berkata-kata Tiara keluar dari bilik
Faliq Zaquan. Partition miliknya dihampiri. Barangan peribadi dikemas. Tidak
sampai 30 minit dia sudah meninggalkan pejabat itu. Surat peletakan jawatan
akan dititipkan menerusi Ikram kemudian.