Judul: Hazel
Penulis: Emy Roberto
Penerbit: Idea Kreatif Publication
Tahun: Februari 2022
Bilangan Halaman: 266 muka surat
Ulasan:
Dalam lambakan novel tema cinta bersulam asmara,
akhirnya dapat juga mata membaca naskhah thriller seperti Hazel karya Emy
Roberto. Sekilas pandang kulit hadapan novel ini, reka bentuknya sama sekali
tidak terjangkau akal dengan plot cerita yang dijalin. Tidak setebal mana, cuma
266 muka surat; namun ceritanya padat dan mendebarkan.
Jarang kita lihat watak utama wanita yang diangkat
kuat dalam sisi berbeza setelah mengalami episod hitam seperti yang dilalui
Hazel. Aura bengis, kejam dalam setiap tutur kata yang menghiris bak belati,
dan tindakan yang merobek ketenangan hati bukan sengaja diungkapkan oleh
seorang perempuan bernama Hazel Adilla. Ada sebab kenapa dia jadi begitu.
Apatah lagi dengan tuduhan pembunuh suami sendiri!
Naskhah ini diadun cantik dengan elemn cinta sebagai
sisipan antara Hazel dan pembantu peribadinya, Azat. Tidak terlalu sarat dengan
momen romantisme, Hazel dilukis dalam randisi tersendiri iaitu dalam mengungkap
siapakah pembunuh sebenar suami Hazel?!
Mampukah kebenaran terungkap? Apakah realiti lebih
pedih daripada sejarah hitam yang pernah membaluti kehidupan seorang Hazel
Adilla? Masih adakah sinar kebahagiaan dalam nafas duri dalam daging?
Singkaplah karya ke-10 Emy Roberto bersama terbitan Idea Kreatif ini untuk
mengetahui kisah selengkapnya.
Kesimpulan:
★★★★