Info Semasa

6/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Resensi Novel Tuan Editor Garang Karya Rinsya Chasiani

 

Judul: Tuan Editor Garang
Penerbit: RC Publication
Penulis: Rinsya Chasiani
Tahun: November 2021
Bilangan Halaman: 396 muka surat
 
Ulasan:
Sebagai naskhah pertama penulis ini yang saya baca, tanggapan awal yang agak skeptikal apatah lagi melihat judul dan kulit hadapan novel ini tidak dapat saya elakkan. Sejujurnya, saya membayangkan naskhah ini tentunya kisah cinta muda-mudi. Kisah si gadis yang mengejar perhatian si hero, kemudian akan ada halangan bilamana mereka saling menyukai blablablabla... Ternyata, anggapanku meleset sama sekali.
 
Awal dua muka surat sebelum bermulanya prolog, sudah ada daya tarikan. Pertama sekali, mata tertancap kepada tafsir surah Al-Fatihah, ayat 6-7. Berikutnya, ada sedikit peringatan tentang gejala buli dan implikasinya. Terus, akal cuba membuat kesimpulan awal, bagaimana agaknya penulis yang menamakan novel ini sebagai Tuan Editor Garang bakal menghubungkaitkan dengan isu buli. Apatah lagi mesej buli yang hendak disampaikan dalam bacaan ringan seperti novel pop ini agak berat dan menarik untuk diterokai.
 
Apabila saya membelek-belek halaman awal, kesimpulan awalnya adalah lega. “Ya, jiwa aku boleh masuk dengan gaya penceritaan penulis ini”. Bukannya apa, sejak tahun lepas saya cuba mendekati karya-karya penulis yang saya belum pernah membaca tulisan mereka. Meskipun ada antaranya sudah ada banyak karya dan nama dalam kalangan pengikut novel Melayu, namun ada satu dua tidak boleh sebati dengan jiwa. Jadi, rasa risau juga bila baru buka satu dua bab tetapi ada rasa terpaksa untuk habiskan pembacaan.
 
Pada awal kisah kita langsung tidak pernah menyangka bagaimana rupa bentuknya Misya Khalida pada ketika zaman sekolahnya. Perwatakan yang ditampilkan oleh penulis lewat Misha Khalida apabila berhadapan dengan Jawdan Raffiq bagai langir dengan bumi jika dibandingkan dengan perwatakan Misya Khalida di sekolah ketika bersama-sama Aidil dan Jeeyan. Watak, heronya Jawdan Raffiq (Pada awalnya menyampah pula nak baca nama si hero ni, mujur juga penulis baik hati masukkan dialog macam mana nak sebut nama yang boleh tergeliat lidah nak baca ni...😝 Hahahah!) yang dipotretkan sebagai bos yang tegas agak klise, namun bagaimana tegas itu dikembangkan dengan sebab musababnya, adalah sangat menarik. Apatah lagi pembaca boleh mendapat input tentang tugas editorial, cetakan dan lain-lain berkaitan dengan penerbitan.
 
Kisah cinta Misya Khalida dan Jawdan Raffiq pula pun agak menarik. Lain sungguh daripada biasa. Dia macam awalnya tak ada apa-apa. Namun, lepas tiap-tiap hari jumpa, ada pula insiden ‘hulurkan tangan ringankan beban’ maka rasa itu muncul sendiri. Sebagai pembaca, saya agak suka apabila momen ‘manih terlebih gula’, lari-lari pusing taman, mengorat keliling pasu bunga tidak dilonggokkan dalam naskhah ini. Barangkali faktor umur saya sebagai remaja purba yang sudah membaca ratusan novel dah macam lali dengan babak sebegitu untuk menaikkan keterujaan ketika membaca.
 
Konflik hadir... Ya, Aidil muncul antara Misya dan Jawdan dengan rahsia yang cukup besar. Rahsia yang mengheret Jeeyan yang hidup bagaikan mayat bernyawa. Suatu rahsia yang merupakan hukuman atas dosa masa lalu kepada seseorang yang bernama Misya Khalida. Sebesar apakah dosa Misya Khalida yang berwajah polos sehingga menjadi asbab kepada kematian ibu kandungnya sendiri? Adakah Jawdan Raffiq masih mampu menerima diri Misya Khalida seadanya apabila kenyataan disingkap hijabnya pada babak-babak terakhir novel ini? Segalanya pasti terjawab apabila ada menekuni setiap aksara dalam novel setebal 396 muka surat ini.
 
Kesimpulan:
★★★★★

Post a Comment

0 Comments