Resensi Novel Dingin Karya Rehan Makhtar

Cikgu Muzz
oleh -
0
 


Judul: Dingin
Penulis: Rehan Makhtar
Penerbit: Blogijau Enterprise
Tahun: Disember 2023
Bilangan Halaman: 451 muka surat
 
Coretan Hati:
Kalau menyebut sebaris nama Rehan Makhtar, saya masih ingat lagi dahulu buku pertama beliau yang saya baca lama dahulu dengan judul Terlerai Kasih di bawah rumah penerbitan Karyaseni. Buku berkulit hadapan dengan rona ungu itu masih elok dalam simpanan, cumanya barangkali tertimbus dalam koleksi longgokan. Sekali baca, gaya tulis, adun cerita, rencam rasa, terus sebati dalam jiwa. Saya ikuti tulisan beliau. Saya simpan karya beliau. Sampai suatu ketika, kerjaya menjadi keutamaan, membaca dan mengulas semakin sukar direalisasikan. Ketika itu ada tanda noktah dalam membeli karya baharu bernama novel, lalu saya ketinggalan nukilan tulisan Rehan Makhtar terkini. Sampaikan saya tidak tahu kewujudan rumah penerbitan atas nama Blogijau. Ketika saya mahu mengejar koleksi yang terlepas, ada ralat yang besar. Buku yang bernilai RM30 ada yang jualnya sampai RM80 atas nama terhad. Namun itulah... Kalau sudah rezeki, ada permintaan maka adalah cetakan semula sama ada di bawah label Blogijau, Karyaseni atau Penulisan2u... Alhamdullilah; semuanya sudah elok tersimpan dalam suatu ruang petak khas yang menghimpunkan karya-karya Rehan Makhtar, cumanya hanya masa akan menentukan naskhah mana akan dipegang untuk dihadam setiap isi dan ruang kandungan.
 
Sebagaimana Terlerai Kasih karya pertama Rehan Makhtar yang saya baca mendukung sebaris nama lagu popular dendangan Ziana Zain. Karya terkini Rehan Makhtar pada lembaran hujung 2023, berjudul Dingin juga persis nama lagu Ziana Zain yang termasyhur itu selamat dikhatam apabila terus didakap. Sesuatu yang jarang saya buat dalam lingkungan 10 tahun kebelakangan ini, iaitu beli, dapat dan terus baca...
 
Nak baca ulasan seikhlas hati, silakan menjamah perenggan-perenggan di bawah...
 
Ulasan:
Prolognya ada dua. Lantas minda mengungkap tanda tanya, apakah pengakhirannya juga akan punya dua versi. Malas pula mahu menyingkap lembaran terakhir untuk memeriksa, takut-takut ada baris atau ayat lembaran terakhir memaku mata lalu mencantas mood membaca.
 
Mukminin ialah satu nama watak utama perempuan atau heroin yang sangat rare. Seingat saya dalam 300 buah novel yang telah saya baca, belum lagi rasanya ada nama watak utama perempuan dengan sebaris nama Mukminin. Namun, bilamana menyebut ada rasa enak menyelubungi hati. Bilamana lama-lama membaca maka tahulah kenapa Mukminin yang menjadi pilihan, tidak lain dan tidak bukan sebagai pelengkap kepada Amirul.
 
Hidup ialah suatu perjalanan yang sukar diduga. Manusia merancang. Lalu Tuhan juga merancang dengan perancangannya. Amirul merancang membina bahagia bersama Mukminin seawal usia 16 tahun. Bagi individu yang serkap jarang dan prejudis tentang novel pop, tentu sahaja cinta monyet sebegini akan menjadi bahan untuk kritikan sesedap rasa. Namun siapa sangka, perancangan Amirul jauh tersasar dan Mukminin merupakan satu-satunya gadis yang begitu tega mencampakkan Amirul ke lembah kedinginan sehingga ‘menghancurkan’ keluarga lelaki tersebut.
 
Perasaan. Novel setebal 451 muka surat ini sangat bermain dengan emosi dan perasaan pembaca. Bagi yang hidup dalam keluarga yang pincang, menyaksikan keganasan rumah tangga dengan dua kelopak mata sendiri, menghadapi kemiskinan yang terpahat pada dahi, menggalas umpat keji orang sekeliling yang tidak henti, anda mungkin dapat menyelami sisi hidup Mukminin dengan sebaik-baiknya. Ya, bukankah yang terluka sahaja mengetahui betapa peritnya suatu luka?
 
Hati. Ya, Dingin juga bermain-main dengan hati pembaca. Mana mungkin, hati seorang lelaki sebaik Amirul tidak menjadi sekeras kerikil, beku dan dingin sehinggakan jika ada yang menyentuhnya barangkali akan menjadi kaku seperti disumpah menjadi bongkah ais yang tidak pernah akan mencair... Makanya, salahkah Amirul menjadi kejam? Salahkah jika seorang Amirul hanya membalas setiap kesakitan yang pernah dihadiahkan oleh Mukminin?
 
Soalnya, adakah benar kesakitan akan terbalas jika yang dibalas itu adalah dengan kesakitan. Apatah lagi yang membalas kesakitan itu turut sama tersakiti meskipun di luarnya pura-pura kuat membina benteng benci.
 
Dingin, sebuah karya yang begitu hangat memacu rasa pembaca. Dari segenap baris, perenggan sehinggalah bab, rasa ingin larut dalam perasaan seorang Mukminin dan Amirul begitu kuat membadai jiwa. Tenggelam dalam rasa yang berbaur; terkesima dalam takdir yang diatur, pada akhirnya keyakinan tetap satu bahawa di sebalik setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan, di sebalik setiap kegelapan itu pasti akan muncul cahaya berkilauan.
 
Ya, pada akhirnya ada kehangatan yang mencairkan kedinginan.
 
Kesimpulan:
★★★★★
Tags:

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)